Selasa, 22 Februari 2011

EKONOMI HITAM: BAGAIMANA PENIAGA LARI DARI CUKAI?

APA ITU EKONOMI HITAM (the Black Economy)? Ekonomi Hitam ialah kegiatan lari dari membayar cukai. Ia telah menjadi fenomena yang diamalkan oleh sektor swasta khususnya dikalangan syarikat-syarikat multinasional, kilang-kilang haram serta para peniaga kecil di pasar borong, pasar lambak atau pasar-pasar malam. Disini kita akan hanya mengupas salah satu sub sektor yang kurang diberi perhatian oleh kerajaan tetapi turut mengamalkan ekonomi hitam secara berleluasa. Sub sektor yang akan dibincangkan ialah penjajaan atau perniagaan makanan samaada diwarung-warung atau pasar-pasar malam.

Makanan merupakan faktor penting dalam kehidupan seharian. Tiada siapa dapat lari dari makanan, kecuali orang mati. Lantaran itu perniagaan makanan menjanjikan pulangan yang amat lumayan. Namun terdapat spekulasi dan rungutan yang mengatakan bahawa gerai-gerai makanan terutamanya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen atau secara haram mengaut keuntungan berlipat ganda. Mereka tidak membayar cukai. Mereka juga kerap mengotorkan kawasan serta menyumbatkan longkang-longkang serta parit dengan sampah-sarap tinggalan mereka. Adakah ini benar? Jadi, apakah kesannya pada kesihatan setempat dan ekonomi negara?

Selain dari menjalankan perniagaan secara tidak sah, gerai-gerai ini juga didapati mengenakan harga yang tidak menentu. Kadangkala terlalu tinggi. Sebagai contoh, seorang eksekutif di Kuala Lumpur merungut bahawa beliau terpaksa membayar RM 11.00 untuk nasi campur yang lauknya cuma sotong dan ayam, iaitu kadar yang sama seperti yang dikenakan di restoren. Seorang pegawai bank pula mendakwa bahawa para penjaja makanan telah mengaut untung besar kerana mempunyai ramai pelanggan tetap walaupun dengan dikenakan kadar harga yang kadangkala tidak masuk akal.

Persoalannya, apakah peranan pihak berkuasa dalam menangani isu ini? Siapakah yang patut mengawal harga serta mutu makanan? Sejauh manakah agensi percukaian negara telah memastikan bahawa setiap penjaja telah membayar cukai keuntungan? Data kelulusan perlesenan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sehingga Disember 1995 merekodkan jumlah penjaja makanan yang berdaftar ialah 13,949. Statistik tahun 2007 memperlihatkan jumlah 50,393 penjaja berlesen (untuk semua jenis jajaan) yang terdiri dari 26,440 penjaja Cina serta 19,579 penjaja Melayu dan India. DBKL juga turut mengenalpasti 6,000 penjaja yang beroperasi secara haram pada tahun yang sama. Yang gagal dikenalpasti entah berapa ribu lagi. Jadi, bagaimana dengan cukai?

Hari ini kita berada dalam bulan Februari 2011. Ini bermakna jumlah sebenar penjaja makanan di kawasan Kuala Lumpur sekarang mungkin telah mencapai angka lebih dari apa yang telah direkodkan pada tahun 1995 dan 2007. Dan, jika diambilkira jumlah penyertaan baru serta jumlah penjaja yang tidak mempunyai permit (atau menjaja secara haram) sehingga kini, jumlah sebenar penjaja makanan di kawasan Kuala Lumpur sahaja mungkin sudah mencapai angka yang boleh mengejutkan kita. Ini belum lagi mengambilkira penjaja-penjaja haram yang bertempiaran di sekitar Shah Alam, Penang, Kota Bharu, Ipoh serta lain-lain kawasan. Apatah pula dengan Johor Bharu yang cukup popular dengan penjaja-penjaja yang terdiri dari pendatang "dengan izin" atau "tanpa izin"?

Tinjauan yang dilakukan pada tahun 1995 keatas gerai-gerai di bangunan Kota Raya, Pudu Raya, kawasan Chow Kit, Bangsar Baru dan Masjid India di Kuala Lumpur mendapati bahawa mereka (penjaja-penjaja makanan ini) memperolehi pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sehari. Ini bererti mereka memperolehi pendapatan antara RM18,000 hingga RM30,000 sebulan (atau purata RM24,000 sebulan). Ini angka tahun 1995. Bagaimana dengan tahun 2010 atau 2011? Pendapatan sebesar itu telah mengatasi gaji pokok Perdana Menteri Malaysia (iaitu RM17,150 sebulan pada tahun 1995)! Memang hebat, bukan?

Dalam tinjauan yang sama seorang penjaja mengakui bahawa beliau memperolehi pendapatan sebanyak RM1000 sehari. Anehnya beliau mengadu bahawa beliau terpaksa membayar sewa bulanan tapak jajaan sebanyak RM600 yang dianggapnya terlalu tinggi. Walhal pendapatan bulanan beliau ialah RM30,000 sebulan (iaitu melebihi dua bulan gaji Timbalan Perdana Menteri yang cuma RM13,650 sebulan - pada tahun 1995)!

Dengan pendapatan sebesar itu, para penjaja makanan patut membayar cukai perniagaan berpandukan Akta Cukai Pendapatan 1967. Jika dihitung secara purata, jumlah pendapatan bagi 13,949 penjaja makanan berdaftar di Kuala Lumpur sahaja (pada tahun 1995 itu) adalah seperti berikut:

Jumlah Besar Pendapatan= 13,949 x RM24,000 (purata sebulan) = RM33,477,600 sebulan.

Jumlah Besar Setahun = RM33,477,600 x 12 = RM401,731,200.

Dengan jumlah sebanyak itu, kerajaan boleh memungut hasil cukai pendapatan tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM20,086,560 sekiranya kadar cukai yang dikenakan ialah 5% setahun. Ini angka tahun 1995 dan fokus tinjauan hanya tertumpu kepada bandaraya Kuala Lumpur. Bayangkan bagaimana kalau satu negara? Ini bermakna bahawa selama ini kita (negara) telah mengalami kerugian besar kerana belum ada sebarang rekod yang dapat membuktikan bahawa pemerintah telah berjaya mengutip cukai pendapatan dari para penjaja makanan dengan berkesan. Sekali lagi ditegaskan, angka ini hanya menerangkan jumlah penjaja berdaftar di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Bagaimana dengan para penjaja yang langsung tidak pernah berdaftar atau berniaga secara haram?

Kita boleh mengandaikan bahawa ramai penjaja yang sengaja tidak mahu mendaftar demi menghindarkan diri dari membayar cukai pendapatan. Bagaimana jika fenomena ini terus menjadi wabak di seluruh negara? Sudah tentu Malaysia akan mengalami kerugian yang terlalu besar tanpa sesiapapun menyedarinya. Ini belum lagi mengambil kira kebocoran-kebocoran ekonomi yang dilakukan oleh pendatang-pendatang "dengan izin" atau "tanpa izin" serta kebocoran-kebocoran lain di sempadan utara dan selatan tanahair.

Dalam senario ekonomi yang kurang menentu sekarang, keuntungan golongan penjaja makanan tidak terjejas samasekali. Sebaliknya mereka berupaya meneruskan operasi mereka dengan cara menaikkan harga makanan (dengan pelbagai alasan) dan mengekalkan tahap keuntungan yang telah dinikmati selama ini. Yang menjadi mangsa ialah golongan yang berpendapatan serdahana dan rendah.

Dalam pada itu, kegiatan ekonomi hitam didapati telah menghasilkan kecekapan ekonomi lantaran ia berjaya menseimbangkan keluk permintaan (demand curve) dengan keluk penawaran (supply curve) di pasaran makanan. Pun begitu, walaupun keseimbangan tercapai, ia tetap merugikan kerana negara kehilangan dana bebilion ringgit setahun. Kita harus bertanya: Apakah ada satu sistem, pendekatan atau undang-undang yang dapat membenteras fenomena ini secara berkesan? Sampai bilakah situasi yang merugikan negara ini harus dibiarkan berleluasa?

Kita juga mendapati sub sektor ini telah menyebabkan pencemaran persekitaran. Mereka banyak menghasilkan sampah sarap yang memusnahkan "environment" sebagaimana yang berlaku di Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur terutamanya sepanjang tahun 70an hingga awal tahun milinium. Bolehkah aktiviti-aktiviti yang menimbulkan eksternaliti negatif ini diatasi dengan cara mengenakan "surcharge" atau "bayaran langsung" supaya kos sut swasta bersamaan dengan kos sut awam? Kaedah yang diamalkan sekarang ialah pembayaran secara tidak langsung melalui cukai. Tetapi bagaimana dengan mereka yang lari dari membayar cukai ini? Dan bagaimana hendak mengatasi masaalah pencemaran yang kian berleluasa dimerata-rata tempat pada hari ini?

Sebenarnya kita ada pelbagai kaedah untuk mengatasinya. Antara lain, kita boleh terus mengenakan bayaran dengan kadar tertentu kepada setiap penjaja berkenaan. Mereka juga patut disaman jika kesalahan mereka kritikal. Alternatif lain ialah penggubalan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dengan panelti yang tinggi, penyitaan peralatan atau premis penjajaan serta lain-lain hukuman yang lebih berat dan berkesan. Ini bukanlah bermaksud kita mahu menghalang orangramai mencari rezeki. Tetapi matlamat kita ialah untuk menseimbangkan kesemua keperluan-keperluan (samaada kehendak masyarakat, golongan peniaga, pemerintah, persekitaran mahupun negara pada umumnya) demi menghindarkan komplikasi serta konflik yang berpanjangan dikalangan mereka.

Saya berpendapat bahawa pemerintah perlu mewajibkan sesiapa sahaja yang ingin menjaja makanan perlu mendaftar serta mendapatkan permit/lesen terlebih dahulu. Dalam pada itu, sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan yang selalu mengambil terlalu banyak masa untuk memberi kelulusan atau lesen patut dipersoalkan. Kelengahan pemberian kelulusan akan menyebabkan kekecewaan dikalangan penjaja selain dari mendorong mereka untuk menjaja secara haram. Selain dari itu, ia juga boleh membiakkan suapan atau gejala rasuah dikalangan pegawai-pegawai PBT seperti yang kerap dilaporkan didada akbar.

Walaupun keseimbangan antara penawaran dan permintaan tercapai (dengan meningkatnya jumlah penjaja makanan - samaada yang halal atau haram), kebajikan pengguna (serta masyarakat setempat) sering terabai dan terancam. Oleh itu, dengan adanya peraturan serta undang-undang yang tegas (tetapi bistari), penguatkuasaan yang berkesan serta tindakan yang tegas dapat dikenakan keatas penjaja-penjaja yang degil dan tidak mahu mengambil lesen. Peraturan juga hendaklah saksama. Tidak kira samaada mereka cuma ingin berniaga di pasar malam sahaja atau berniaga di warung kopi. Layanan pemberian permit atau lesen tegas dan adil.

Sebagai suatu saranan, agensi-agensi atau PBT-PBT yang diberi kuasa untuk meluluskan permit menjaja hendaklah terlebih dahulu menetapkan syarat-syarat yang rasional, tetapi tegas dan menguntungkan semua pihak. Antara syarat-syarat utama yang dicadangkan ialah:
  • Lulus pemeriksaan kesihatan penuh.
  • Jumlah dan butiran pekerja hendaklah didaftarkan.
  • Pendatang Tanpa Izin tidak boleh diterima.
  • Pendatang Dengan Izin yang tidak ada permit imigrasi, visa serta dokumen-dokumen yang lengkap (termasuk permit bekerja) tidak boleh diterima.
  • Pelarian-pelarian di bawah UNHCR juga tidak boleh dipertimbangkan kecuali jika telah memiliki "purple book", visa, permit bekerja serta dokumen-dokumen yang disahkan oleh KDN.
  • Jumlah pendapatan kasar dan pendapatan bersih harian serta bulanan hendaklah direkodkan dengan betul dan terperinci untuk menghindarkan penipuan serta kegiatan tidak membayar cukai.
  • Ada sistem perakaunan yang betul, teratur dan boleh diperiksa oleh pihak berkuasa yang meluluskan permit/lesen berniaga.
  • Harga makanan hendaklah dipaparkan dengan terperinci untuk makluman pengguna dan ianya hendaklah dipatuhi.
  • Pemeriksaan kesihatan pekerja hendaklah dilaksanakan secara berkala (minimum 3 bulan sekali).
  • Kebersihan premis perniagaan adalah wajib pada sebilang masa.
  • Mendapat permit kelulusan dari agensi yang meluluskan makanan halal.
  • Beruniform bersih.


Ini bererti pemerintah perlu bersikap lebih agresif. Selain dari memperketatkan pengeluaran permit atau lesen menjaja, mereka juga perlu mewujudkan pasukan petugas atau agensi yang akan menjalankan operasi mengejut keatas premis-premis penjajaan makanan. Jika selama ini PBT-PBT telah banyak melumpuhkan operasi rumah-rumah urut dan sarang-sarang pelacuran dipelbagai lokasi (melalui agensi-agensi elit masing-masing), maka tiada alasan mengapa mereka tidak boleh melakukan tindakan yang serupa keatas penjaja-penjaja haram.

Kementerian-kementerian juga perlu bersikap tegar dalam hal ini. Kementerian Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementeriam Pembangunan Industri Kecil dan keusahawanan serta JAKIM perlu berbincang bagi mewujudkan agensi khas untuk menguatkuasakan sebarang peraturan yang diluluskan oleh Parlimen dari masa ke masa. Tugas-tugas yang disarankan untuk agensi ini antara lain adalah:

  • Membongkar kes-kes tidak mengistiharkan jumlah pendapatan bulanan dan tahunan oleh penjaja-penjaja makanan.
  • Menyaman penjaja-penjaja yang melanggar syarat-syarat premis, undang-undang tanah dan syarat-syarat perniagaan.
  • Membawa kes-kes penipuan yang bernilai melebihi RM40,000 ke mahkamah.
  • Membatalkan permit/lesen menjaja jika perlu.
  • Mengenalpasti serta melaporkan angka sebenar kes-kes ekonomi hitam dikalangan penjaja-penjaja makanan di peringkat nasional.
  • Mendapatkan semula (to recover) jumlah cukai yang cuba dilenyapkan oleh kegiatan ekonomi hitam tersebut.


Mungkinkah kerumitan mendapatkan lesen telah menjadi faktor utama yang mencetuskan kegiatan haram ini? Ia suatu kebarangkalian. Oleh itu kerajaan serta agensi-agensinya (termasuk PBT-PBT) patut mengkaji semula prosedur-prosedur sedia ada berhubung pemberian lasan/permit - samaada ia cukup mantap atau terlalu birokratik dan berbelit-belit. Prosedur yang sepatutnya diamalkan perlu holistik demi menentukan kebajikan semua pihak adalah terpelihara (selain dari semua orang mempunyai hak yang sama untuk mendapat lesen berniaga).

Bagaimana pula dengan fungsi masyarakat massa? Peranan mereka sebenarnya amat kritikal. Sebagai pengguna, kita harus bersatu membenteras segala tindak tanduk ekonomi hitam baik dimanapun kita berada. Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat kepada kerajaan sahaja. Apatah lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta tanda-tanda kegawatan sosiopolitik yang boleh meledak dan mewujudkan inflasi serta ketakseimbangan-ketakseimbangan lain dalam ekonomi negara. Sebagai rakyat, kita boleh membantu menangani masaalah ekonomi hitam dengan kaedah-kaedah berikut:

  • Melalui Persatuan Pengguna diperingkat domestik dan nasional.
  • Biro Aduan Awam.
  • Pejabat Penghulu/Penggawa dan wakil-wakil rakyat.
  • Melapor terus kepada Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan kementerian-kementerian berkaitan.
  • Melapor terus kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
  • Melapor ke pihak media massa.
  • Melapor kepada polis, kastam atau JAKIM (untuk kes-kes yang bersesuaian).
  • Melapor kepada jabatan imigresen (untuk hal-hal yang melibatkan kes PATI, UNHCR serta penjaja-penjaja asing yang lain).
  • Melapor kepada PBT serta agensi-agensi berkenaan.


Sebagai kesimpulan, saya berpendapat bahawa kegiatan ekonomi hitam dikalangan penjaja-penjaja makanan merupakan suatu isu yang cukup serius. Ini kerana sektor tersebut terbukti amat menguntungkan (mereka yang terbabit). Oleh itu ia wajar dikenakan cukai (sebagaimana pemakan gaji tetap kerajaan atau swasta yang wajib membayar cukai pendapatan tahunan masing-masing!). Jika kakitangan awam bergaji serdahana perlu membayar cukai pendapatan, maka amatlah rasional jika para penjaja makanan juga perlu melaksanakan "tanggungjawab" mereka. Apa tidaknya. Mereka ini memperolehi pendapatan yang menakjubkan! Hanya mereka sahaja yang tahu berapa jumlah keuntungan yang dikaut sepanjang hari, bulan dan tahun!

Ringkasnya, jika kerajaan meringankan perkara ini, ia akan meninggalkan impak yang buruk keatas pendapatan negara. Negara akan terus-menerus kerugian berbilion-bilion ringgit tiap-tiap tahun. Sudah tentu banyak projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan jika kegiatan ekonomi hitam dapat dibenteras. Pada hakikatnya kita bukanlah mahu secara literalnya membenteras orangramai dari bergiat dalam ekonomi. Tetapi apa yang wajar dilakukan ialah meng"formal"kan kegiatan-kegiatan ini supaya mereka (para penjaja ini) menjadi sekumpulan penggiat-penggiat ekonomi yang benar dan sah disegi undang-undang, disamping dapat menjadi "pembayar cukai" mahupun "zakat' yang cukup bertanggungjawab. Jika tidak, dana yang amat diperlukan untuk pembangunan sosioekonomi negara akan terus menjadi habuan penjaja-penjaja yang rakus dan tidak bertanggungjawab!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...