Khamis, 24 Februari 2011

DASAR PANDANG KE TIMUR: SATU PREVIEU

INTRODUKSI

DASAR PANDANG KE TIMUR (DPT) merupakan salah satu dasar yang penting dalam era Mahathir khususnya di peringkat awal pemerintahan beliau. Dasar ini telah diistiharkan pada 8 Februari 1982. DPT menjadi salah satu dari instrumen beliau dalam memacu perkembangan ekonomi Malaysia pasca kemelesetan ekonomi dunia pada awal 1980an. Namun begitu, DPT kerap menjadi isu yang diperbincangkan dengan hangatnya oleh para sarjana tempatan dan luaran khususnya dalam mengenalpasti munafaat serta impak dasar itu keatas perkembangan sosioekonomi serta sektor perindustrian negara.

DPT merupakan salah satu dari beberapa strategi utama rejim Mahathir dalam melaksanakan reformasi ekonomi Malaysia. Ia telah diistiharkan oleh beliau (sebagai Perdana Menteri pada ketika itu) pada 8 Februari 1982 dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran negara (Ambrin Buang, 1990). DPT dianggap menjadi asas kepada pembentukan dua strategi utama berikutnya iaitu DASAR PENGSWASTAAN dan DASAR PENGKORPORATAN yang selepas itu akan menjadi ideologi utama pemerintah dalam konteks ekonomi. Ringkasnya, DPT adalah salah satu unsur integral dalam pelan pembangunan negara pada ketika itu. Dalam artikel ringkas ini, saya akan melakukan previeu keatas DPT dengan memfokuskan kepada impak pembangunan ekonomi Malaysia berasaskan salah satu model yang cuba diambilpakai oleh dasar ini iaitu model pembangunan ekonomi Jepun.


APA ITU DPT?

DPT bermaksud memandang ke negara-negara timur yang sudahpun maju atau meningkat maju iaitu Jepun dan Korea Selatan dalam ertikata peminjaman teknologi serta mencontohi etika kerja (Ahmad Atory Hussain, 1992) yang diamalkan oleh negara-negara tersebut. Ini bermakna kita mengambil negara-negara timur yang modern dan pesat sebagai rujukan dalam usaha membangunkan Malaysia (Mahathir Mohamad dalam Jomo, 1989). Fokus DPT ialah displin dan kerajinan bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan dimana kakitangan bekerja, disamping keutamaan diberikan kepada organisasi dan tidak kepada diri sendiri (Loc cit.,).

DPT juga memberi fokus dan tekanan terhadap daya pengeluaran dan kualiti yang tinggi, peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan jurang antara eksekutif dengan pekerja biasa, sistem pengurusan yang menitikberatkan pencapaian serta kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan jangka pendek (Loc cit.,), yang pada akhirnya akan menyumbang kepada kemajuan negara. DPT cuba membentuk rakyat agar memberi fokus terhadap daya pengeluaran dan mutu yang tinggi serta peningkatan kecekapan (Fadhlullah Jamil, 1984). Dalam konteks ini, Mahathir menegaskan:

"Tanpa displin dan kesungguhan atau keikhlasan maka amalan tidak mempunyai makna. Begitu juga (dalam) membuat sesuatu kerja, displin dan kesungguhan saja yang mendapatkan hasil yang berkesan." (A.F.Yasin, 1982)

Dalam hal ini, PANDANG KE TIMUR tidak bermaksud meminta-minta atau meminda tanggungjawab memajukan Malaysia kepada negara-negara timur yang sudahpun maju. Tidak juga bermakna membeli semua barang atau memberi semua kontrak kepada syarikat-syarikat negara timur (Mahathir Mohamad dalam Jomo, 1989). Ringkasnya, fokus utama DPT ialah kaedah atau cara bagaimana ekonomi negara ini harus dibangunkan - iaitu melalui model negara-negara timur yang telahpun mencapai kemajuan dalam konteks industri, teknologi dan ekonomi pada umumnya.

DPT SEBAGAI POLISI DAN DASAR AWAM

Pemerintah era Mahathir telah merangka satu dasar unik yang bertujuan untuk merangsang serta melincahkan pembangunan ekonomi negara yang nampaknya agak lembab pada akhir tahun 1970an. Tindakan ini bersifat incermentalism lantaran ia adalah pengukuhan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamatnya masih gagal dicapai. Ini mungkin kerana pemerintah (pada ketika itu) tidak mempunyai dana, cukup masa ataupun tenaga untuk menyemak dan menganalisis semula dasar yang ada (Ahmad Atory Hussain, 1992).

Dari perspektif pentadbiran, DPT adalah suatu strategi pembangunan ekonomi yang mempunyai matlamat jangka panjang yang positif (Loc cit.,).dan dengan ini Malaysia dijangka boleh berjaya didalam bidang ekonomi dan seterusnya membangunkan negara. Dalam konteks ini, Dr Mahathir menjelaskan:

"Amalan terlalu bergantung kepada barat hendaklah diperseimbangkan dengan tumpuan ke timur pula. Ertinya bukan putus hubungan sama sekali dengan barat atau bergantung sepenuhnya pada Jepun." (Takeo Arita, Dewan Masyarakat, 5 Jan 1983)

JEPUN SEBAGAI MODEL PEMBANGUNAN EKONOMI

Ini amat menarik. Benarkah Jepun cukup ideal untuk dijadikan model pembangunan ekonomi bagi Malaysia? Jepun memiliki pengalaman pembangunan yang unik. Dalam hal ini, Chandra Muzaffar telah mengemukakan lima faktor kebangkitan semula Jepun sebagai kuasa ekonomi dunia. Menurut beliau (Chandra, 1989):

  • The internal motivation to modernise in the middle of 19th Century as a result of the Meiji restoration; because of various local and foreign pressures, modernisation became a matter of survival;

  • The ability of Japan to escape from colonialism which meant that indigenous social and cultural values and the concomitant political and economic structures provided tremendous impetus to modernization and industrialization;

  • Japan's entry into industrialization at a time when industrialization was still confined to a relatively small number of countries. It involved in heavy industries in 1896. It did not have to confront massive trade and technological obstacles which thwart the industrialization programmes of many present-day developing countries;

  • Japan's pronounced sense of nationalism engendered by homogeneity, insularity and external hostility helped create a closely-knit social order which influenced industrial work patterns, state-private sector relations, employer-employee ties and so on;

  • The extraordinarily dedicated, determined and dynamic corps of bureaucrats, entrepreneurs, merchants and intellectuals who spearheaded Japan's modernization under Meiji's regime.

    • Kupasan oleh Chandra (seperti yang dinyatakan diatas) adalah cukup jelas dan padat. Selain tidak pernah dijajah, Jepun tidak pernah terbabit dalam Perang Dunia Pertama. Disamping itu, ketewasannya dalam Perang Dunia Kedua masih tetap menguntungkan Jepun. Rancangan MacArthur telah bertanggungjawab meledakkan semula ekonomi Jepun selepas keruntuhannya akibat terbabit dalam Perang Dunia Kedua. Dalam hal ini, Chandra (1989) sekali lagi menegaskan:

      "Its (Japan) non-involvement in the First World War enabled it to capture a large slice of American and European trade in Asia and the Pacific. This was a big boost to its economic growth. Similarly, after the Second World War, the MacArthur Plan, American aid and the easy access to the American market spurred its economic recovery. ...it is wrong to see that the rise of post-World War II Japan as a miracle... "


      Keadaan ini telah mengizinkan Jepun menumpukan sejumlah besar belanjawan negara kearah memperkembang dan mempertingkatkan penyelidikan saintifik, inovasi teknologi dan pengembangan sektor pengkorporatannya. Menurut Chandra (1989), "its comparatively low military spending have all contributed to its illustrious economic boom." Dalam konteks ini, kejayaan sogososha-sogososha Jepun telah mempersonakan pemimpin-pemimpin Malaysia untuk menirunya tanpa mengambil-kira faktor atau suasana perniagaan tempatan (Jomo, 1989) walhal peranan sogososha dalam menguruskan segala aspek perniagaan Jepun tidak dipisahkan dari aspek lain seperti kewangan dan industri. Ini tidak terjadi di Malaysia.

      Jepun juga telah dijadikan pusat sumber rujukan ilmu sains dan teknologi. Menurut Ahmad Atory Hussain (1992) para pelajar Malaysia telah dihantar ke universiti-universiti di Jepun untuk mempelajari pelbagai bidang profesional. Para belia kita juga telah dihantar ke beberapa buah kilang perindustrian disana untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran teknologi perindustrian.

      Dibidang pengurusan awam, pegawai-pegawai kerajaan juga dihantar kesana untuk meninjau serta menimba pengetahuan tentang pengurusan pentadbiran ekonomi (Ibid.,). Ini dilaksanakan dengan harapan agar negara dapat mencontohi Jepun dipelbagai bidang pembangunan. Jepun juga akan menjadi pusat rujukan bagi Malaysia mendapatkan nasihat, pengetahuan dan wang untuk membolehkan kita mencipta suatu masyarakat pekerja yang berdisplin, berdikari dan taat setia kepada tugas dan tanggungjawab (A.F.Yasin, 1982).


      DPT SEBAGAI SUATU ISU PERBAHASAN

      Sewaktu DPT diumumkan, ia telah memeranjatkan banyak negara (Ibid.,) kerana dasar ini dianggap satu perubahan kepada dasar luar Malaysia supaya jangan terlalu merujuk kepada barat. Barat tidak lagi dianggap sebagai model bagi pembangunan negara. Ini diburukkan lagi dengan konfliks pendapat antara Malaysia dengan beberapa negara Barat khususnya Britain dalam isu imbangan pembayaran (Ibid.,) serta sikap barat yang sangat kedekut terhadap teknologi mereka. Sementara itu Jepun telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang terkuat di rantau sebelah timur. Persoalannya, sejauhmanakah Jepun sanggup menggantikan barat serta memberi sokongan padu kearah kita merealisasikan aspirasi DPT?

      Dan, sejauhmanakah pula kita telah memahami sejarah serta pengalaman pembangunan Jepun? Adakah ia sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia? Dalam meninjau isu ini, Wendy A. Smith (dalam A.F.Yasin, 1982) telah memberi komen:

      "Apa yang digembar-gemburkan orang mengenai kejayaan Jepun itu adalah indah kabar daripada rupa sahaja. Dengan mempersoalkan, apakah benar masyarakat pekerja di Jepun memberikan kesetiaan dan dedikasi kepada perusahaan dan majikannya atas kesedaran nasionalisme yang kuat?"

      Jepun pula pernah membayangkan ketidakyakinannya untuk membantu negara memenuhi cita-cita DPT sebagaimana yang diakui oleh dutanya Takeo Arita (dalam Dewan Masyarakat, 1983):

      "Jepun sebenarnya masih belum mempunyai pengetahuan mengajar negara lain. Itulah sebabnya kami beringat-ingat dan berjaga-jaga kerana kami sentiasa memikirkan sekiranya kami gagal untuk membantu menjayakan DPT ini, apakah nanti akibatnya?"

      Ini bercanggah dengan idea awal DPT iaitu Jepun sebagai sumber perolehan teknologi, pelaburan serta pelancaran sogososha di negara ini. Menurut Jomo (1989), ia diburukkan lagi oleh perilaku syarikat-syarikat Jepun yang terus menimbulkan kegelisahan dikalangan rakyat ASEAN umumnya dan Malaysia khususnya.

      Selain itu, korporat-korporat serta perusahaan-perusahaan Jepun sudah terkenal sebagai syarikat-syarikat yang paling kedekut dari segi pemindahan teknologi (Jomo, 1989). Soalnya, apakah kita mahu teknologi-teknologi usang mereka atau teknologi-teknologi yang mencemarkan alam sekitar dipindahkan ke Malaysia? Atau, kita mahu kilang-kilang di negara ini diterajui sepenuhnya oleh teknologi digital dan robotik tercanggih (high end technologies) hinggakan khidmat operator-operator pengeluaran sudah tidak diperlukan lagi?

      IMPLIKASI DPT

      Hubungan erat dengan Jepun adalah unsur utama DPT. Tetapi prestasi perniagaan Jepun yang amat memberangsangkan di negara ini (samaada secara langsung atau tidak) telah mengancam sektor perindustrian serta pemburuhan tempatan. Menurut wendy Smith (1983), sumbangan syarikat-syarikat Jepun kepada aspek sosial DPT adalah tidak memuaskan. Terdapat banyak bukti bahawa syarikat-syarikat Jepun tidak mempedulikan golongan buruh di Malaysia (op cit.,).

      DPT juga telah menyebabkan cengkaman dagangan Jepun di negara ini bertambah kukuh dan mengakibatkan aspirasi sosioekonomi DPT terancam. Jepun tidak melaksanakan prinsip " company welfarism" serta jaminan dan ciri pekerjaan seperti di negara Jepun (Johan Saravanamuttu dalam Jomo, 1989). Lantas impian yang diidam-idamkan oleh kerajaan seperti kebajikan syarikat, jaminan pekerjaan sepanjang hayat, kemudahan-kemudahan seperti pencen, perubatan dan persekolahan bagi kanak-kanak tidak akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat Jepun di Malaysia (Ibid.,).

      Menurut Johan, kajian juga membuktikan bahawa syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi dinegara ini mirip kepada sistem pengurusan dari pusat. Dalam ertikata lain, syarikat-syarikat Jepun dikawal rapi oleh pihak pengurusan atasan termasuk majikan-majikan di Jepun sendiri. Penyertaan eksekutif-eksekutif tempatan adalah kurang memuaskan (Ibid.,). Harapan bahawa syarikat-syarikat Jepun akan membentuk kerajinan dan kesetiaan dikalangan pekerja-pekerja tempatan merupakan suatu ilusi. Layanan mereka lebih dipengaruhi oleh keadaan tempatan dan tidak boleh diharapkan untuk mengujudkan suasana kerja yang terdapat di Jepun.

      Selain dari itu, peniruan sogososha ala Jepun secara tergesa-gesa hanya sekadar merugikan negara. Menurut Jomo (1989), sogososha-sogososha Malaysia masih belum beruntung sejak cadangan sogososha diutarakan dinegara ini. Masa hadapan sogososha-sogososha Malaysia adalah muram.

      Kajian juga telah membuktikan bahawa syarikat-syarikat Jepun tidak melaksanakan usaha mendalam dan menyeluruh untuk menyokong inspirasi DPT seperti pemindahan teknologi dan latihan untuk usahawan tempatan (Jomo, 1989). Dalam hal ini, latihan dan pemindahan teknologi yang berlaku adalah sekadar pada tahap yang boleh memaksimumkan keuntungan mereka semata-mata.

      DPT telah mengakibatkan haluan pembangunan negara banyak ditentukan oleh para kapitalis Jepun. Menurut Jomo, syarikat-syarikat serta pemerintah Jepun (melalui dasar dan bantuan pinjaman) terus menghindarkan Malaysia dari usaha-usaha pembangunan berdikari. Selain itu, DPT juga telah mendorong penyerapan ekonomi ala Jepun kerana pelaburan Jepun adalah suatu ciri penting dasar tersebut (Ibid.,). Padahnya, penyerapan demikian akan dan telah memesongkan perindustrian Malaysia ke arah yang lebih menguntungkan Jepun dan mengakibatkan imperialisme Jepun keatas ekonomi Malaysia.

      KRITIKAN TERHADAP DPT

      Tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan Jepun akan membawa faedah tertentu kepada Malaysia (Johan dalam Jomo, 1989) tetapi haruskah faedah yang begitu terbatas untuk Malaysia menjadi landasan kepada Jepun menjadi "penaung" ekonomi Malaysia? Dalam bahasa mudah, haruskah kita membiarkan Jepun menjajah ekonomi negara ini?

      DPT juga telah memperlihatkan bahawa demokrasi langsung (direct democracy) telah tidak diamalkan dalam konteks masyarakat moden (Ahmad Atory Hussain, 1992) dan kita terpaksa berpuashati dengan keadaan yang amat tidak demokratik ini. Sebagai seorang Perdana Menteri, Dr Mahathir telah memonopoli pembuatan dasar pembangunan negara sekaligus dasar luar Malaysia tanpa cabaran dari golongan-golongan lain (Ibid.,). Dalam ertikata lain, pembuatan DPT adalah terlalu otoritatif sifatnya dan tidak pernah diperbahaskan dalam Parlimen.

      DPT telah mendedahkan betapa kurangnya usaha-usaha untuk merujuk kepada institusi-institusi formal dalam merumuskan sesuatu dasar. Ia mencerminkan bagaimana dasar atau keputusan-keputusan awam dibuat secara "ad hoc" (Jomo, 1989) dan tidak diformalisasikan dengan betul dan mengikut prinsip-prinsip demokrasi yang diwarwarkan oleh Perlembagaan. Walhal ini boleh mencetuskan implikasi negatif kepada negara. Dalam konteks ini, DPT bukan lahir dari legitimasi yang diberikan oleh Parlimen.

      Dalam premis perbincangan ini, patutkah pandangan masyarakat awam (civil society) diketepikan dan dianggap "apatheic" (menyerah nasib kepada keadaan)? Wajarkah rakyat dipinggirkan, dianggap daif (naive), tidak memperduli dan tidak berkemampuan unutk memahami selok-belok membuat dasar atau keputusan awam? DPT telah membuktikan bagaimana golongan elit yang kecil dapat menguasai dan memonopoli pembuatan dasar-dasar negara (Ibid.,) walaupun ia merugikan masyarakat.

      ALTERNATIF KEPADA DPT

      Walaupun DPT kini mungkin tinggal sebagai bahan kajian para pengkaji dasar-dasar pembangunan pasca Mahathir, tetapi perbincangan keatasnya adalah relevan dan wajar dilanjutkan. Ini kerana dokumen-dokumen yang membabitkan dasar-dasar sosial yang terdahulu (termasuk DPT) adalah merupakan sumber rujukan yang penting bagi pembuat-pembuat dasar semasa serta kader-kader (bakal-bakal) pembuat dasar di masa hadapan. Dalam ertikata lain, dasar-dasar atau keputusan-keputusan awam yang lampau wajar dijadikan asas kepada pembentukan dasar-dasar awam masakini dan dimasa akan datang. Ini ialah untuk memastikan bahawa kelemahan-kelemahan yang lampau tidak diulangi (apabila membuat sesuatu dasar awam).

      Menyorot kembali DPT, pembangunan sosial haruslah merupakan suatu proses yang holistik. Sebagai permulaan atau penambahbaikan, liberalisasi ekonomi dan pendidikan hendaklah dijadikan satu dasar ulung dalam membangunkan negara. Dalam hal ini, liberalisasi ekonomi bermaksud pertumbuhan ekonomi berasaskan eksport, dasar lebih berjimat, lebih berusaha dan berdaya saing. Ia juga bermaksud sektor swasta tidak begitu bergantung pada keuntungan-keuntungan palsu serta perlindungan yang mendatangkan munafaat hanya kepada segelintir pengusaha tetapi merugikan masyarakat pengguna dan pengusaha-pengusaha yang lain. Dalam pada itu, amalan terlalu bergantung kepada pengimportan luaran (contohnya bahan makanan seperti beras, susu, daging, gula dan lain-lain) yang keterlaluan pada hari ini hendaklah direndahkan seminimum mungkin jika tidak mampu dihentikan. Ekonomi agraria (asas tani) hendaklah dirangsangkan kembali. Kita perlu mengorak langkah dengan mengeluarkan bahan-bahan makanan sendiri sebelum terlambat!

      Dalam konteks yang sama, pemerintah perlu menggubal dasar deregulasi dengan mengambilkira kepentingan umum. Langkah Bank Negara yang menghapuskan peraturan bagi Kadar Pinjaman Asas (Basic Landing Rate atau BLR) pada tahun 1996 contohnya merupakan salah satu langkah yang bijak dan membantu. Tetapi jika sekadar ini sahaja, ia tidak memadai. Pemerintah perlu juga mengkaji tentang penggubalan skim-skim bantuan serta rangsangan yang holistik untuk industri-industri kecil sederhana (IKS) lantaran IKS merupakan tunggak kepada perindustrian luarbandar (rural industrialization).

      Disamping itu, sektor industri perlu disokong oleh prasarana-prasarana yang baik seperti tapak perindustrian yang strategik, cukup bekalan tenaga, sistem pengangkutan yang rapi, skim pembuangan bahan-bahan terkawal yang cekap, program pengawalan alam sekitar yang mantap dan lain-lain. Selain itu, skim latihan pengurusan, pekerja-pekerja mahir, khidmat perundingan pakar serta modal untuk pelaburan perlu disediakan. Institut-institut penyelidikan dan inovasi perlu diperluaskan bagi membantu pengusaha-pengusaha mendapatkan khidmat kepakaran serta melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam meningkatkan daya pengeluaran serta jenis-jenis produk. Antara rahsia-rahsia kejayaan Jepun ialah kemahirannya mengolah hasil-hasil penyelidikan untuk dijadikan barangan-barangan yang dapat dipasarkan (Mahathir, 1991).

      Sektor swasta mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembangunan ekonomi negara. Menurut Mahathir, Malaysia tidaklah dapat mengharapkan sektor swasta menjadi penggerak pertumbuhan sekiranya sektor itu tidak cekap dan bermaya. Oleh itu kerajaan perlu merangka kod etika korporat yang antara lain mewajibkan sektor swasta bekerja keras, dinamis, kreatif, inovatif serta berdikari. Mereka perlu dirangsang untuk menghasilkan produk-produk yang "bernilai-tambah" (value added) supaya lebih berdaya saing dalam perdagangan antarabangsa. Bukan sekadar mengharapkan dokongan pemerintah semata-mata!

      Selain itu, pendidikan merupakan alat utama pembangunan sumbar manusia. Sikap negatif terhadap kecemerlangan (excel) boleh membantutkan pembangunan. Kerajaan perlu menggubal dasar yang mewajibkan sektor awam dan swasta menggalakkkan kakitangan masing-masing mempertingkatkan kemahiran, kompetensi, pengetahuan serta kemajuan diri melalui konsep Pengurusan Berkualiti Menyeluruh (TQM) yang matlamat utamanya ialah peningkatan kualiti output. Hari ini TQM diberi berbagai gelaran. Gejala rasuah yang mulai menjadi-jadi dipelbagai sektor dalam amalan pengurusan negara adalah "counterproductive" kepada konsep tersebut.

      Disamping itu, kursus-kursus kepakaran untuk semua kategori kakitangan perlu dirancang mencakupi aspek pembangunan dan pengstrukturan semula organisasi, sistem kewangan, perancangan, tadbiran serta reformasi hal-ehwal organisasi. Ini demi memperkukuh serta mempertajam pemikiran pengurusan atasan serta kakitangan selain meningkatkan kecekapan bekerja. Ilmu yang diperlajari harus merupakan integrasi bidang sains, teknologi, sosiologi dan spiritual demi membentuk sikap yang profesional dan beretika.

      Pergantungan kepada pelaburan serta teknologi Jepun (atau mana-mana negara di timur atau di barat) hanya akan mengakibatkan negara gagal untuk berdikari. Oleh itu pemerintah perlu merangka dasar tabungan dalam negeri yang mantap serta memberi rangsangan-rangsangan khas kepada pelabur-pelabur tempatan melalui pakej "pioneer status" yang bijak. Pemindahan teknologi pula boleh dicapai melalui program penghantaran staf atau pelajar-pelajar terbaik tempatan ke institusi-institusi luar negara yang terpilih dengan maksud membentuk mereka menjadi pakar-pakar teknologi dan saintis. Mereka nantinya akan dilantik menjadi instruktur-instruktur yang bakal memimpin penyelidikan serta melatih saintis-saintis muda.

      Selain dari itu, Pemerintah hendaklah lebih demokratik dengan menggalakkan rakyat berpartisipasi dalam proses pembuatan dasar-dasar utama negara. Pandangan masyarakat awam terutamanya golongan profesional hendaklah dihargai. Ini amat penting lantaran setiap dasar awam yang tidak rasional atau tidak mengambilkira aspirasi rakyat lazimnya cenderung kearah menindas dan menzalimi rakyat.

      KESIMPULAN

      Tanggungjawab pemerintah ialah mengekalkan harapan serta impian rakyat melalui pembangunan yang mapan, holistik dan bersepadu (intergrated). Dalam proses ini, kuasa tidak sepatutnya dijadikan alat (oleh pemerintah) untuk sewenang-wenangnya mencipta pelbagai peraturan atau dasar lantaran ia mungkin bercanggah dengan aspirasi rakyat. Sebagaimana dalam kes DPT (atau DEB, ISA dan banyak lagi dasar-dasar lain), ia mengandungi banyak kelemahan dan ketempangan walaupun secara luarannya dilihat sebagai ideal untuk negara ini. Ternyata dasar tersebut telah gagal mencapai matlamat yang direncanakan dan masih terus menjadi "suatu khayalan" Dr Mahathir Mohamad.

      DPT tidak dapat disesuaikan dengan situasi negara yang masih bergelut dengan kelembapan teknologi, kemahiran perindustrian yang masih gerhana, jumlah tabungan dalam negeri yang masih rendah serta krisis hutang negara yang terus genting. Sekadar mengambil contoh terbaru, rizab antarabangsa Bank Negara setakat pada 14 Februari 2011 (sumber: Bernama, 22 February 2011) ialah RM338 bilion berbanding hutang negara yang mencecah RM362.39 (Ambrin Buang, 2010). Dalam satu kenyataan (dikeluarkan pada 22 Februari 2011), bank pusat itu berkata paras rizab ini hanya memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertanggung dan membayar 4.3 kali hutang luar negara jangka pendek. (Nota: Rizab antarabangsa ini terdiri daripada rizab mata wang asing (US$99 bilion), rizab Tabung Kewangan Antarabangsa IMF (US$600 juta), Pengeluaran Khas (SDR) US$2.1 bilion, emas (US$1.6 bilion) dan aset-aset rizab lain (US$6.3 bilion). Aset bank pusat termasuk rizab antarabangsa hanya berjumlah RM407.706 bilion.)

      Negara juga terus menghadapi dilema hutang negara yang semakin meningkat. Fakta terbaru (oleh Ketua Odit Negara, Ambri Buang), hutang negara berada pada paras tertinggi pada tahun 2010 iaitu sebanyak RM362.39 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat. Menurut pandangan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala, Malaysia bakal menanggung hutang berjumlah RM1 trillion sembilan tahun daripada sekarang iaitu tahun 2019. Pada masa itu, Malaysia bolehlah diistiharkan sebagai muflis dan bangkrap. Padahnya, Idris Jala menegaskan rakyat Malaysia perlu bersedia menerima sebarang kenaikan harga di masa akan datang. Demikianlah mudahnya seorang menteri merangka suatu keputusan awam! Dengan mengenepikan Parlimen?

      Sebagai sebuah negara yang tidak pernah terjajah, Jepun sebaliknya telahpun menikmati era pembangunan seawal tahun 1896. Sedangkan Malaysia pada ketika itu masih lagi bergelumang dibawah tindasan penjajahan British. Malaysia hanya mula dibangunkan selepas Ogos 1957 dan terpaksa pula bergelut dengan cengkaman imperialisme ekonomi Britain hingga pertengahan tahun 1970an (Nota: Jepun juga sempat menjajah dan menyedut kekayaan negara ini dari tahun 1941 hingga 1945. Laporan terbaru oleh FOREX Jepun menunjukkan jumlah rizeb negara itu pada tahun 2010 ialah AS$1.096 trilion atau RM 3.836 trilion).

      Akibat dari DPT, Jepun telah membolot faedah yang maksimum. Apa yang patut dipelajari dari negara itu ialah nasionalisme ekonominya, BUKAN peniruan, penyaduran atau pergantungan ekonomi yang boleh menghalang pembangunan berdikari! Oleh itu, DPT (walaupun kini hanya disebut sebagai salah-satu dasar tinggalan Mahathir dan semakin dibenamkan oleh dasar-dasar terbaru Pemerintah) tidak harus dilupakan begitu sahaja. Sebaliknya ia wajar dijadikan panduan dalam kita merangka sesuatu dasar sosial dan dasar-dasar luar.

      Hari ini dasar-dasar sosial (mahupun ekonomi) hendaklah menekankan aspek fundamental, disamping cuba bersikap "robust" dan lestari (sustainable) dalam menghadapi era globalisasi yang kian mencabar dan genting. Sekiranya kita bersikap sambil-lewa (take-for-granted), tidak berilmu serta enggan menggunakan kepakaran-kepakaran yang ada (serta lebih mempercayai khidmat-nasihat perunding-perunding asing termasuk si yahudi), nescaya kita tidak akan mampu bertahan dan menentukan kelangsungan hidup bangsa dan negara ini.


      Tiada ulasan:

      Catat Ulasan

      PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

      INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...