Rabu, 9 Mac 2022

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI

(Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg)


Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun 1957, ia bukanlah benar-benar bebas merdeka seperti apa yang digambarkan oleh golongan yang tidak pernah memikirkan makna disebalik erti sebuah kemerdekaan. Sebaliknya British telah membekalkan negara dengan seribu satu persoalan besar yang sehingga kini masih sikar terjawab.

Antaranya ialah isu kerakyatan secara "jus-soli", sistem pendidikan vernakular (atau terpisah berasaskan kaum), status tanah rizeb Melayu, status bumiputera, pensektoran ekonomi berasaskan bangsa, kewujudan ekonomi dualisme, jurang ekuiti yang amat teruk, jurang sosial dan pelbagai isu serta permasaalahan lagi.




Apabila Tunku Abdul Rahman (seorang anak raja dari Kedah) memulakan pemerintahannya, beliau pasti tidak dapat lari dari realiti yang wujud dalam masyarakat pada ketika itu. Gelora ancaman militia Partai Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng menambahkan kekalutan politik bagai sebuah negara yang baru dibebaskan dari belenggu penjajahan yang cukup panjang. 

Untuk bangkit sendiri sebagai sebuah negara bukanlah semudah membina sebuah rumah. Ia menagih suatu pendirian yang amat jauh, keberanian, keyakinan, kejituan keputusan, keadilan sosioekonomi, kepekaan terhadap realiti dan macam-macam lagi.. Kerap-kalinya kita tersilap konsep - kita menyangka bahawa penguasa-penguasa politik adalah segala-galanya. 

Selama ini kita memikirkan bahawa pemerintahlah tempat kita menggantungkan harapan. Jarang sekali kita memikirkan bahawa ahli-ahli politik hanyalah insan biasa seperti kita - senantiasa buas terhadap kuasa; sentiasa buas terhadap material dan kemewahan duniawi..

Hari ini masyarakat tidak banyak berubah. Mereka terus terbelenggu dengan persepsi yang diwarisi dari generasi pertama pasca merdeka. Walaupun mereka telah banyak berubah dalam konteks budaya berfikir atau perilaku, tetapi itu cuma pada kulitnya sahaja. 

Realitinya, mereka tidak banyak berubah kecuali sedikit... Namun, golongan inilah yang bakal merubah wajah lanskap politik negara ini. Tanpa kesedaran yang mendalam, politik negara tidak akan kemana-mana. Sebaliknya, negara akan terus mengalami kemunduran dalam amalan politiknya...!


PRU14

Mengapa Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14)? Dan, kenapa? Sehingga artikel ini di tulis, negara ini tidak pernah mengalami pertukaran sang pemerintah..! Sebaliknya satu-satunya partai (komponen partai) yang terus menyandang mandat negara ialah Barisan Nasional (BN) yang dulunya dikenali sebagai PERIKATAN. BN..BN..dan, BN semata. 

Akibat memerintah terlalu lama, maka prestasi pemerintahannya mengalami kemunduran yang amat ketara. Kualiti pemerintahan mulai menunjukkan rosotan yang melampau. Ia diburukkan lagi oleh konsep berpolitik yang tidak banyak berubah sejak dahulu iaitu: amalan penyalahgunaan kuasa, perebutan pengaruh serta korupsi. Politik wang sudah menjadi suatu amalan lumrah selain dari penyalahgunaan dana negara yang melampaui batas logika.

Platform pilihanraya yang suatu ketika dahulu cukup dihormati sebagai simbol demokrasi kini sudah kehilangan maruahnya. Ia berpunca dari apabila manusia sudah tidak mempedulikan etika berpolitik. Mereka secara terbuka menyanggah falsafah politik yang bersih dan suci. 

Zaman ini rata-rata manusia berpolitik kerana mahu menjadi kaya dengan serta-merta selain membolot segala peluang yang ada didepan mata. Amat sukar untuk mencari kejujuran dalam berpolitik. Jauh sekali keinginan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Hari ini pilihanraya menjadi pentas untuk manusia menebarkan jerat masing-masing. Jika jerat mereka mengena, maka mereka akan menjadi "kaya-raya" dalam jangkamasa yang paling singkat sekali. Hutan, rimba, kayu-kayan, pasir, bauxit, minyak, gas, air, tanah, segala jenis bijih, atau apa-apa sahaja yang wujud dalam "wilayah pengaruh" kerusi parlimen atau DUN masing-masing secara otomatis akan jadi "hak" mereka..! "Kepakaran" yang diperlukan bagi seorang MP atau ADUN ialah kecekapan membelit atau memanipulasi peraturan, akta atau undang-undang sedia ada - sesuai dengan sindiran Machiavelli : "....tujuan boleh menghalalkan cara..."...!

Oleh itu pilihanraya adalah faktor penentu cepat atau lambatnya seseorang itu boleh menjadi "orang kaya" atau "orang besar". Dan, bagi makhluk yang sudahpun "berakar-umbi" di tampuk kuasa dan menyandang pelbagai portfolio, mereka lebih suka agar pilihanraya diperlambatkan, atau, tidak pernah ada pilihanraya. Agar mereka dapat terus membaham segala kekayaan yang ada di mukabumi ini hingga lenyap semuanya. 

Bagi mereka persoalan "halal" atau "haram" tidak timbul. Yang timbul ialah, mereka telahpun diberikan "mandat" untuk "menyamun" apa saja oleh si luncai, sang anjing pecacai dan penjilat yang terlalu bodoh dan bebal... Maka, serahkan soal "halal" atau "haram" kepada agamawan untuk ditazkirahkan di corong-corong surau dan masjid... Siapa peduli...?

Jadi, bagaimana dengan PRU14? Andalah yang tahu jawabannya...lantaran andalah penentu siapa yang bakal menyangak atau menyamun "mandat" itu...! Jadi, jika anda masih terus terbelenggu dalam penjara pemikiran ortodok atau konservatif, anda benar-benar tidak akan maju kemana-mana. Sebaliknya, anda akan menyaksikan sebuah negara yang bobrok, mundur dan terpenjara dalam stagnasi ciptaannya sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri enggan berubah...!


KENAPA REFORMASI?

Semua orang takut dan menjadi kecut bila disebutkan perkataan "REFORMASI". Kenapa? Adakah kerana kita memang keturunan si pengecut? Atau, kita sudah menjadi terlalu materialistik hingga tidak berdaya lagi untuk keluar dari kepompong materialisme? 



Atau kita memang dilahirkan "bebal" hingga tidak mampu menggunakan otak untuk memikir dan membezakan mana yang baik atau mana yang buruk untuk kita, masyarakat dan negara? Pembelian tanah TRX (Tun Razak Exchange) seluas  67,954 kaki persegi dgn harga RM188.5 juta oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dari 1MDB - sebagai contoh - adakah ini suatu langkah yang bijak? 1MDB hanya membeli tanah itu dengan kos RM60 sekaki persegi (RM4.07juta sahaja!) tetapi bertindak menjualnya kepada TH dengan keuntungan RM184 juta..!

Bukankah ini suatu gambaran mentaliti kurang siuman, kalau bukan sasau atau separuh gila...? Bagaimana sang pemerintah atau kabinet boleh menghalalkan sesuatu yang tidak sepatutnya dihalalkan? Menggunakan dana TH demi menyelamatkan 1MDB...? Dan, apakah peranan anda sebagai pencarum TH (jika anda mencarum...)..? Bersetuju atau sekadar menyumpah seperti seekor cicak? 

Kerapkali ada orang menganggap REFORMASI itu adalah adik-beradik REVOLUSI. Walhal, konteksnya amat berbeza. Reformasi ada kalanya dipanggil PEMBAHARUAN atau Rennaisance. Ada juga yang menyebutnya sebagai ISLAH. Tetapi tidak pernah orang memanggilnya REVOLUSI, kecuali si tolol...

Reformasi adalah suatu proses yang membabitkan evolusi dari keadaan yang buruk kepada baik dan dari keadaan yang baik kepada situasi yang lebih baik lagi. Ia turut membabitkan proses "renewal", "renovation", "make-over", "refurbishment", "facelift", penambahbaikan, baikpulih dan macam-macam lagi. Ia tidak menyatakan sesuatu yang lama itu perlu dihumban seratus-peratus. Sebaliknya, mana-mana "parts" atau "bahagian" yang masih boleh dipakai hendaklah "dipulihara" dengan secantik mungkin. Mudah, bukan?

Dalam dunia ini, tiada apa yang tidak perlu diperbaharui. Contohnya, cukai jalan, perlu diperbaharui setiap 12 bulan! Wudhu' perlu diperbaharui sekiranya terbatal. Malah, terkadang, sesuatu perkara itu "wajib" di "baikpulih" serta digantikan dengan yang baru jika telah menjadi buruk, usang, pudar atau terlalu korup. 

Demikianlah dengan pemerintah. Bukan semua pemerintah itu sempurna. Dan, bukan mudah untuk sesebuah pemerintahan itu mengekalkan prestasinya. Bak kata bidalan, air yang pasang ada surutnya. Dan, sepandai-pandai sang tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Apatah pula pemerintah yang hanya terdiri dari sekelompok manusia yang naif, jahil dan bergelumang dengan segala macam kelemahan? 

Bukan senang jadi "pemerintah". Apatahlagi untuk kekal cekap, amanah, bersih, saksama, bijak, jitu, demokratik dan macam-macam lagi....! 

Sebenarnya ada banyak agenda yang perlu dilaksanakan dalam konteks reformasi. Misalnya, memberikan hak mengundi kepada golongan yang telah mencapai usia 18 tahun. Selain itu, status mahkamah syariah hendaklah disama-tarafkan dengan mahkamah awam (selama ini mahkamah awam memiliki kuasa veto yang boleh membatalkan segala keputusan mahkamah syariah dan fatwa mufti..!). 

Begitu juga dengan amalan melantik terlalu ramai menteri, timbalan menteri, setiausaha-setiausaha politik, pembayaran ganjaran secara "once-off" berjumlah RM250,000 kepada menteri-menteri yang berhenti atau diberhentikan khidmat atau melantik politikus-politikus untuk menyandang jawatan-jawatan besar di syarikat-syarikat kerajaan (GLCs). Ini adalah antara perkara-perkara karut yang membazir, terlalu korup, tidak berintegriti dan menyebabkan negara tidak efisyen. Ia perlu dihentikan segera oleh sang pemerintah atau sesiapa sahaja yang menguasai kerajaan!

Ini sekadar beberapa contoh. Banyak lagi islah yang boleh diperlakukan. Yang diperlukan ialah adanya "kemahuan politik" (political will) serta keikhlasan untuk merealisasikannya..!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...