Ahad, 27 Disember 2009

KESEDARAN POLITIK: SATU PREVIEW KE ATAS SIKAP MASYARAKAT KONTEMPORARI

INTRODUKSI

Politik bukan lagi konsep baru bagi mana-mana masyarakat kontemporari. Mahu tidak mahu, hampir setiap orang akan terbabit dalam proses politik. Suka tidak suka, tiada yang dapat lari dari tingkah-laku politik atau berpolitik. Sesungguhnya politik adalah sebahagian dari komponen utama kewujudan sesebuah negara. Tanpa politik, tiadalah negara. Jika masyarakat tidak menghiraukan politik, kuasa golongan khawarij atau anarki akan mengambil tempatnya.

Oleh itu politics segregational atau pengasingan berpolitik tidak dapat diterima oleh mana-mana masyarakat. Sebagaimana yang berlaku dalam dasar apartied sebelum kemerdekaan Afrika Selatan, politik rasisme tersebut akhirnya tersungkur dibaham kuasa de facto rakyat minoriti yang bangkit atas kesedaran berpolitik yang cukup mendesak.

APA ITU BERPOLITIK ?

Dalam pengertian mudah, BERPOLITIK bermaksud mengambil tahu serta bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang membabitkan kuasa-kuasa serta peraturan-peraturan dalam menguruskan negara atau negeri. Ia membabitkan penjanaan nilai-nilai positif (yang diminta oleh rakyat) serta pengagihan nilai-nilai tersebut (kepada rakyat) secara adil dan saksama. Ini merangkumi pembentukan dan penggubalan dasar-dasar sosial, ekonomi, keamanan, keselamatan, keharmonian dan kelangsungan hidup negara termasuk penetapan dasar-dasar luar serta hubungan antarabangsa.

Oleh itu berpolitik menuntut keupayaan berfikir yang luas dan mendalam, kepakaran serta keilmuan yang tinggi, integriti yang cukup murni, ketakwaan yang sukar dirungkai. Lantaran itu secara rasionalnya, kejahilan, kebodohan, materialisme serta kerakusan tidak sepatutnya diterima dan dirangkumkan dalam amalan berpolitik. Politik itu mulia. Adalah suatu kebiadaban atau kebinatangan sekiranya ia dicampur-adukkan dengan kepentingan dan matlamat peribadi.

KESEDARAN BERPOLITIK

Mungkin tidak keterlaluan atau menjadi satu kesalahan sekiranya dikatakan masyarakat perlukan induksi atau suntikan khas untuk menjurus atau menyedarkan mereka terhadap satu tanggungjawab klasik: iaitu kesedaran berpolitik. Kesedaran untuk berpolitik atau kesedaran berpolitik adalah suatu tanggungjawab umum yang tiada banyak bezanya sebagaimana tanggungjawab-tanggungjawab sosiopolitik lainnya. Mungkin juga terlalu ekstrim untuk kita menyimpulkan bahawa ia merupakan salah satu tanggungjawab. Tetapi, jika bukan tanggungjawab, apakah konsep yang lebih sesuai yang boleh dipakai dalam konteks ini?

Kesedaran berpolitik jelas mengandungi dua perkataan iaitu kesedaran dan berpolitik. Kesedaran bermaksud insaf, sedar dan faham dengan sepenuhnya dengan apa yang telah terjadi akibat dari suatu proses, tindakan, persekitaran atau gejala-gejala yang wujud dan tahu impak positif atau negatif hasil dari tindakbalas proses-proses tersebut.

Berpolitik pula (sebagai tambahan kepada apa yang telah dijelaskan diawal tadi) bermaksud amalan-amalan berbentuk politikal seperti menganggotai parti-parti politik, mengikuti ceramah-ceramah politik, berkempen dalam pilihanraya, membuang undi sewaktu pilihanraya, menyebarkan dakyah-dakyah politik samada sebagai bahan-bahan bercetak, lisan atau apa-apa sahaja system audio-visual, mendapatkan kuasa memerintah melalui pilihanraya, menjadi wakil rakyat, menubuhkan badan perundangan (selepas menang dalam pilihanraya umum), membuat dasar-dasar untuk faedah rakyat, agama dan negara dalam semua segi dan lain-lain. Termasuk amalan politikal ialah membicarakan tingkah laku pemerintah, birokrasi dan lain-lain. Skopnya adalah teramat luas dan dinamik. Jangan sampai kita menyempitkan konsep ini dengan pemikiran-pemikiran yang sempit!


MENGAPA KESEDARAN BERPOLITIK PERLU?

Mengapa kesedaran berpolitik? Mengapa harus membelenggu fikiran ke arah yang boleh merosakkan? Mungkin ada yang menyanggah demikian terutamanyanya "golongan yang berkepentingan". Agak ironi apabila ada pihak berandaian bahawa hanya mereka sahajalah yang bijak serta layak memiliki kesedaran berpolitik. Kesedaran berpolitik hanya milik peribadi golongan yang tertentu yang terbabit atau berkecimpung dalam gelanggang atau geladak parti-parti politik. Bagi mereka yang enggan atau bukan menjadi ahli pada mana-mana parti politik, maka hak berpolitik bukan menjadi milik mereka.

Lantaran itu, masyarakat umum lazimnya tersisih dari pengetahuan dan pendedahan politik. Masyarakat umum mahu difahamkan bahawa pengetahuan mengenai politik atau kesedaran berpolitik bukan urusan mereka dan mereka harus menghindarkan diri dari unsur-unsur ini. Kakitangan birokrasi serta pelajar-pelajar terutamanya ditegah sama-sekali dari bergiat cergas dalam politik kecuali jika mahu meletak jawatan atau berhenti belajar dan berkecimpung secara penuh masa dalam parti-parti politik.

Apa inikah yang cuba ditegaskan kepada "Civil Society" (rakyat)? Jauh sekali untuk secara terbuka menyatakan bahawa berpolitik itu ialah tanggungjawab bersama. Jadi, bilakah orangramai akan berkesedaran terhadap tanggungjawab politik? Bila sudah "masuk suku" dan jadi "POLITIKUS" ? Jika tidak masuk politik, jangan buang tabiat dan berlagak pandai. Bertabiatlah seperti sang kodok, tikus, lipas atau pecacai... Jangan jadi hantu politik...

Aneh Bin Pelik, tetapi benar. Tanggungjawab tiba-tiba digesa apabila tiba musim-musim pilihanraya. Pada musim-musim tersebut hampir seluruh masyarakat samada tua atau muda (dalam konteks Malaysia disyaratkan berumur 21 tahun ke atas dan memiliki taraf kewarganegaraan yang rasmi) digemblingkan bagi memastikan parti-parti politik tertentu dipilih untuk mewakili rakyat dan diberi mandat untuk menubuhkan pemerintahan (dalam konteks Malaysia - badan legislative) sesuai dengan aspirasi Perlembagaan negara. Selepas wakil-wakil rakyat (WR) telah dipilih, orangramai tidak perlu bersusah payah untuk melibatkan diri dalam gelanggang dan aktiviti-aktiviti politik. Serahkan kepada WR untuk menguruskannya.

Dalam sesetengah situasi, kegiatan-kegiatan berpolitik adalah dilarang dan dianggap sebagai suatu jenayah kepada masyarakat dan negara. Dengan adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka keinginan-keinginan untuk aktif berpolitik boleh dipudarkan. Masyarakat enggan mengambil risiko untuk ditangkap dan diletakkan di pusat-pusat tahanan politik tanpa hak dibicarakan. Mindset atau kerangka minda masyarakat harus ditanamkan bahawa aktiviti-aktiviti berpolitik adalah unsur-unsur yang sangat negatif dan harus dipinggirkan jauh-jauh dari fokus harian mereka. Serahkan bulat-bulat kepada parti-parti politik untuk berpolitik dengan sebebas-bebasnya.

Dengan itu, keinginan, cita-cita, wawasan ke arah kematangan politik di kalangan masyarakat tidak akan dicapai. Politik akan terus dibolot oleh puak yang sama. Ini ialah antara pemikiran-pemikiran konservatif atau ortodok yang perlu ditanamkan dalam diri dan pemikiran masyarakat umum khususnya generasi yang baru mahu mengenal erti hidup dan bernegara. Dengan itu, kesedaran berpolitik terus terasing dari masyarakat.

AMALAN POLITIK PASIF

Memang wujud sesetengah masyarakat dunia yang mengamalkan politik pasif. Terutamanya di negara-negara otoritarian, kerajaan-kerajaan yang mengamalkan politik sentralisasi atau yang memerintah secara kuku besi. Rakyat mereka memang berminat dan mahu bergiat aktif dalam politik. Malangnya, ia dihalang oleh pelbagai dasar yang sengaja membelenggu kebebasan rakyat untuk berpolitik. Kebebasan bersuara disekat. Kebebasan menulis dihapuskan. Kebebasan berpersatuan dihimpit. Dan, kebebasan untuk memilih dan melantik wakil representasi juga dikawal ketat. Forum perbahasan awam yang terbuka ditiadakan. Keputusan politikal terletak ditangan beberapa kerat pemimpin politik.

Penjara dan tahanan tanpa perbicaraan menjadi sesuatu yang lumrah diamalkan. Media massa menjadi alat politik pemerintah. Pada akhirnya, rakyat hanya berupaya mengamalkan politik pasif atau langsung tidak ambil kisah tentang politik. Ini ialah untuk memastikan hidup mereka lebih "tenteram" dan "selamat"!

Kenapa digunakan istilah politik pasif? Sebagaimana konsep-konsep kabur high politics dan low politics, maka "passive politics" tidak salah untuk digunakan dalam memahami fenomena politik. Walaupun tidak diterimapakai sebagai suatu konsep politik yang khusus, adalah memadai sekiranya masyarakat dapat memahami konsep ini (secara umum) dalam mengenali sesuatu senario atau gelagat politik.

Kita cuba "menceduk" dan "meninjau" perangai orangramai terhadap politik (dalam konteks ini masyarakat sekeliling kita). Terdapat suatu bentuk segregasi antara golongan-golongan yang wujud dalam negara ini. Bagi golongan kelas menengah terpelajar, mereka memiliki persepsi yang kritikal dalam melihat politik. Bagi golongan kelas peniaga dikawasan bandaran, mereka melihat politik sebagai peluang untuk mencipta keuntungan. Dan, bagi golongan terpinggir di hulu dan dikampong-kampong, mereka tidak melihat apa-apa kecuali angan-angan kosong. Tetapi bagi golongan muda, melihat politik sebagai gelanggang yang harus digamatkan secara fanatik, kalau bukan ekstrim. Pun begitu, mereka mudah tersilap dan disesatkan langkah lantaran ketiadaan ilmu dan pimpinan baik.

Segregasi telah menyebabkan golongan terbesar (generasi muda serta masyarakat pinggiran) bersikap negatif atau pasif terhadap politik. Bagi mereka, politik tidak menjanjikan sebarang faedah. Politik tidak lebih dari candu yang ditagih oleh gerombolan politikus yang gilakan kuasa dan pengaruh. Mungkin juga gilakan pangkat, darjat dan keduniaan. Sedangkan ini merupakan perkara-perkara yang diluar jangkauan golongan pinggiran. Maka itu, langkah terbaik ialah meminggirkan diri dari dunia politik, atau setidak-tidaknya, berpendirian pasif terhadap politik.

Kita tidak sepatutnya bersikap pasif terhadap politik. Kita tidak wajar mengamalkan sikap tidak ambil tahu dan ambil berat tentang politik. Jika kita terus membiarkan diri dibelenggu oleh sikap tidak peduli terhadap hal ehwal politik, maka akan muncullah syaitan-syaitan politik berlumba-lumba merebut peluang yang ada. Dan, pada ketika itu nanti, tiada gunanya kita menangisi apa yang sudah terlepas dari genggaman. Juga, tiada guna dicacimaki orang-orang yang datang semata-mata untuk menindas kita!


ISU PENGETAHUAN DAN KEPIMPINAN POLITIK

Sebelum membabitkan diri dalam gelanggang, individu harus tahu pengertian dan makna politik. Lebih penting lagi mereka perlu mengerti apakah implikasi apabila menjadi salah satu anggota dalam senario politik yang lebih besar. Mereka harus terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan segala bentuk ilmu pengetahuan dunia dan akhirat sebelum memperakukan diri untuk melangkah masuk ke alam berpolitik. Ini kerana persoalan utama politik ialah soal tanggungjawab, akauntibiliti, keadilan, kesaksamaan, integriti serta nilai-nilai murni dan bermunafaat samada dalam konteks sosial, agama mahupun ekonomi.

Persoalan ilmu dikalangan penggiat-penggiat politik (baik apa jenis politik, kasta, darjat atau tujuan sekalipun) adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua. Lebih kritikal jika mereka berangan-angan mahu menyandang jawatan politik atau menjadikan politik sebagai kerjaya mereka. Ilmu pengetahuan (yang luas, dalam, saintifik dan integral) adalah asas kepada segala-galanya. Orang yang jahil memang tidak layak untuk bergiat pada mana-mana tahap atau jenis politik sekalipun, lantaran ia akan membinasakan masyarakat. Orang yang tidak berilmu pasti tidak tahu untuk bertanggungjawab.  Lantaran itu, ia cukup membahayakan.

Mengapa ilmu? Ini kerana ilmu merupakan "imam" atau "pemimpin". Ilmu adalah panduan petunjuk arah yang betul. Ilmu adalah "penyuluh" atau "pemimpin" yang dapat membezakan antara yang benar dan yang bathil. Jadi, bagaimana kalau seorang menteri atau raja itu jahil? Mampukah mereka merangka dasar-dasar yang bijak dan adil untuk masyarakat? Atau, mereka hanya sekadar mampu menjadi pemerintah yang kejam dan zalim?

Kejelikan pemimpin yang tidak berilmu adalah terlalu hina untuk dibincangkan. Ketidakadilan, korupsi, penyelewengan, sumbang moral, rakus - sekadar contoh kepimpinan yang tolol. Kita belum lagi menyebut tentang dasar-dasar bodoh yang membazirkan wang negara dan duit rakyat. Dasar-dasar yang kadangkala terlalu dangkal dan separuh masak, atau, masih terlalu mentah (langsung tidak difikir masak-masak?) Projek-projek yang langsung tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Pembangunan-pembangunan yang sekadar menjahanamkan lagi alam sekitar, kemapanan masyarakat, keharmonian serta kesejahteraan negara. Segalanya berpunca dari pemimpin-pemimpin yang bengap, bebal dan bodoh!


PENGLIBATAN POLITIK

Politik bukan bergantung pada ideologi. Oleh itu penglibatan individu dalam politik atau berpolitik bukan dibataskan oleh politik kepartian semata-mata. Jika itulah yang didakyahkan kepada masyarakat selama ini (hanya parti politik sahaja yang layak berpolitik..), maka tidak hairanlah jika ada yang tergamak mengatakan bahawa politik itu kotor, politik itu jijik. Siapakah yang bertanggungjawab membangkitkan kesedaran songsang seperti ini? Jika bukan ahli politik sendiri? Orangramai yang rata-rata "buta politik" cuma sekadar mengulangi apa yang dijaja oleh broker-broker politik yang tidak bermaruah. Tidak lebih dari itu.

Namun, meninjau kembali gelagat-gelagat politikus (samaada domestik atau antarabangsa), masyarakat dapat merasakan "kengerian" untuk berpolitik. Bagai suatu ketakutan (yang melampaui batas?) jika kita cuba mendekati politik. Apatahlagi menceburi politik partisan. Banyak yang sudah lama menunggu. Pusat Tahanan Kamunting, ISA, Bukit Aman, polis. Semua sudah bersiap-sedia untuk "mencekup dan menyumbat". Dan, akhirnya masyarakat kehilangan perangsang untuk aktif menyuarakan pendapat serta mengemukakan input-input dalam pembuatan dasar-dasar negara.

Pun begitu, bagi golongan yang gila berpolitik, mereka memiliki pendirian yang jauh berbeza. Dan, ini merupakan sesuatu yang cukup kontradik dengan realiti sosial bersifat "pemalu" kepada politik. Maka, sejauhmanakah umum berani mengatakan bahawa politik itu sesuatu yang terlalu buruk, penuh korupsi serta kotor? Dan, dengan menyertainya bererti kita mengundang pertaka kepada individu serta anakcucunya nanti? Ramai menteri, penjawat-penjawat politik serta kuncu-kuncunya menikmati hidup yang gemilang hasil dari berpolitik. Sebagaimana pasaran saham, ia memang amat berisiko dan sesiapa sahaja boleh tumbang tanpa perlu menunggu waktu yang terlalu lama khususnya mereka yang menjadikan politik sebagai platform menangguk kekayaan ekonomi.

Namun ini bukan penghalang kepada mereka untuk mengekalkan politik sebagai kerjaya masing-masing. Bak kata perpatah baru: Kalau takut dilambung tsunami jangan berkampong di pinggir pantai. Politik pada asasnya adalah terlalu murni kerana ia memperkatakan soal pentadbiran dan Pengurusan sebuah Negara, negeri dan rakyat umumnya: Bagaimana mengurustadbir negeri dan Negara agar semua pihak termasuk alam sekitar, hutan-belentara dan binatang-binatang yang yang melata menikmati hidup yang aman sejahtera hingga ke akhir hayat. Apatahlagi kesejahteraan manusia?

Bukankan itu sesuatu yang mulia? Dan ini hanya boleh dicapai melalui penyertaan politik atau penglibatan politik. Ia tidak mungkin dicapai sekiranya masyarakat bersikap anarki, hanya berpeluk tubuh berdiam diri dan menyerahkan segala hal Ehwal Pengurusan dan pentadbiran Negara kedalam tangan dua atau tiga orang manusia atau dua-tiga kelompok birokrasi sahaja. Dalam ertikata lain, masyarakat perlu berperanan aktif dalam hal politik. Jika tidak, negara akan diperintah secara hegemoni oleh golongan otoritarian secara sentralisasi. Dalam keadaan ini, manupulasi serta pembolotan nilai ekonomi dan sosial secara korup sukar untuk dihindari.


PENOLAKAN OTORITARIANISME DAN HEGEMONI

Bagaimana otoritarianisme boleh terjadi dalam masyarakat atau negara? Ia terlalu mudah. Kuasa yang pada asalnya adalah milik rakyat (civil society) bertukar tangan kepada seorang individu atau sekumpulan kecil manusia. Apabila kuasa politik berpindah sepenuhnya kepada satu orang/sekelompok kecil elit politik dan tiada lagi unsur "check and balance" yang akan mengimbangi pemusatan kuasa tersebut, maka wujudlah otoritarianisme. Orang yang memiliki kuasa ini digelar otoritarian. Dan, hegemoni menerangkan tentang pemilikan atau monopoli kuasa dan pengaruh sepenuhnya oleh seseorang/segolongan individu/kerajaan/negara dimana dengan monopili ini mereka jadi terlalu berkuasa hingga berupaya mengancam rakyat/ atau negara-negara lain.

Dalam bahasa mudah, hegemoni menggambarkan tentang tahap pengaruh yang terlalu besar hingga berupaya memanipulasi keadaan disekelilingnya dan memusnahkan sesiapa sahaja yang cuba menentang pengaruhnya. Dan, ini bukan sahaja terjadi diperingkat global (contoh: Amerika menceroboh Afghanistan dan Iraq; Israel menyerang Lebanon). Ia juga terjadi diperingkat domestik. Bukan sekadar diperingkat negara, negeri dan daerah. Hingga ke peringkat serendah ketua kampong, ketua kaum dan tok batin, hegemoni dan otoritarianisme kerap menjadi amalan.

Otoritarianisme adalah bertentangan dengan ideologi demokrasi. Ia juga akan menjurus kepada kewujudan rejim otokrasi yang bersifat unitari dan monopoli kuasa. Dalam ertikata lain, segala keputusan-keputusan awam atau pembuatan dasar-dasar negara adalah diputuskan oleh seorang manusia atau sekelompok elit politik. Mereka menolak input-input atau kehendak-kehendak awam (civil society). Mereka mengenepikan hak-hak rakyat dalam perkongsian kuasa dan menentukan halatuju negara. Mereka menjadikan "mandat" yang telah diamanahkan oleh masyarakat sebagai alat untuk membolot kuasa dan mengekang orangramai dari memperolehi "nilai-nilai" politik yang dijanjikan dalam kempen pilihanraya.

Oleh itu, secara kualitatif, otoritarianisme boleh diukur. Bagai sebuah pemerintahan oritaritarian, tidak perlulah kita mengukurnya lagi, lantaran ia sudah termaktub sebagai suatu ideologi. Yang kerap meragukan kita ialah negara-negara yang mengakui bahawa mereka adalah negara-negara demokrasi. Ini kerana pegila-pegila kuasa kerap menyamar diri sebagai "juara demokrasi" walhal mereka merupakan segerombolan otoritarian yang cenderung memerintah secara otokratik dalam persekitaran sebuah sistem demokrasi yang lemah, lembab dan korup. Ini cukup berbahaya. Malangnya, ia benar-benar wujud. Benarlah seperti kata bidalan: "Power is CORRUPT. ABSOLUTE POWER CORRUPT ABSOLUTELY!" Inilah hakikat otoritarianisme.

Kesan otoritarinism dan hegemoni adalah amat buruk kepada masyarakat. Sekiranya ia sudah mencapai peringkat kritikal, masyarakat akan menjadi goncang dan negara menjadi tidak stabil. Walaupun sejarah pernah memperlihatkan bahawa institusi politik berasaskan otoritarianism dapat kekal untuk suatu jangkawaktu yang agak panjang, namun akhirnya kuasa de facto dapat membenamkannya. Itulah yang terjadi di China, India dan kebanyakan negara-negara di barat. Republik atau corak-corak pemerintahan berasaskan kuasa rakyat (people power) adalah gelombang besar yang bakal merobohkan sistem-sistem kejam berkenaan.

Namun begitu, kebangkitan semula kuasa-kuasa ini samasekali tidak mustahil dan ianya memang benar terjadi. Russia dan China sebagai mengambil contoh mudah. Maharaja-maharaja kejam telah digulingkan oleh de facto. Namun pada hari ini kuasa de facto ditunggangi oleh diktator-diktator yang dilantik secara de jure. Bukankan ini amat ironi dan memalukan?

Barangkali inilah impak dari politik pasif yang membenam hasrat golongan rakyat untuk bangkit melaksanakan reformasi yang benar-benar jitu. Apa yang terjadi di Russia dan China ialah gambaran sebuah perjuangan yang separuh masak oleh de facto mengakibatkan pihak politbiro berjaya memanipulasi keadaan dan mewujudkan pemerintahan walaupun secara kuku besi. Ini memang benar-benar memalukan.Agak ironi apabila ada pihak berandaian bahawa hanya mereka sahajalah yang layak memiliki kesedaran berpolitik. Kesedaran berpolitik hanya milik golongan yang tertentu yang terbabit atau berkecimpung dalam gelanggang atau geladak parti-parti politik. Bagi mereka yang enggan atau bukan menjadi ahli pada mana-mana parti politik, maka hak berpolitik bukan menjadi milik mereka.

Hatta, lantaran itulah masyarakat umum (civil society) kian tersisih dan terus dipinggirkan dari ilmu politik, tidak memiliki akses atau peluang untuk terdedah kepada falsafah politik yang sebenar. Masyarakat umum mahu direncatkan dari pengetahuan mengenai politik. Otak mereka perlu diserabut atau dijumudkan agar kesedaran berpolitik tidak muncul. Bukan sekadar itu, malah mereka perlu diindoktrinasi supaya menganggap bahawa politik bukan urusan mereka dan mereka harus menghindarkan diri dari terbabit dengan unsur-unsur ini. Jauh sekali untuk secara terbuka menyatakan bahawa berpolitik ialah tanggungjawab bersama.

Oleh itu, kita wajib menolak otoritarianisme dan hegemoni.

KESIMPULAN UMUM
Masih belum terlambat untuk kita menginsafi peranan kita sebagai rakyat atau "Civil Society". Adakah kita harus bersikap seperti katak yang tidak mahu dilepaskan dari tempurungnya lantas membiarkan penguasa atau "the State" bebas melakukan apa sahaja? Kita perlu sedar bahawa segala buruk dan baiknya negara ini - kita ada "saham" yang perlu dikongsi dan kita punya "beban" yang mesti digalas serta "persoalan-persoalan" yang perlu dijawab. Sikap berlepas tangan terhadap persoalan politik negara merupakan merupakan sikap yang cukup tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik. Sebagaimana tanggungjawab mempertahankan negara dari pencerobohan serta penjajahan asing - tiada siapa yang akan menyelamatkan negara ini. Kitalah yang akan mempertahannya, dengan darah dan nyawa kita.

Dan, jika kita tidak berminat untuk "mempedulikan" keadaan politik negara sendiri, pasti ada yang berminat serta "membuang tabiat" untuk campur tangan dalam urusan rumahtangga kita. Serta, "mengajar" kita "cara-cara bermain politik" menurut acuan kebiadaban mereka!

neosangsapurba..

Isnin, 21 Disember 2009

PATRIOTISME VS MATERIALISME

TULISAN kali ini bukannya ditujukan khusus untuk angkatan tentera. Ia bermotif untuk semua warganegara Malaysia. Khususnya yang belum pernah mengenali erti perjuangan, patriorisme dan peperangan serta golongan yang langsung tidak memiliki waktu untuk menjengah, melihat dan menghayati apa yang terjadi dalam sebuah negara yang hancur di landa peperangan.

TULISAN ini juga amat relevan untuk semua peringkat anggota dalam angkatan wataniah, orang awam biasa ATAU sesiapa sahaja yang masih bernyawa dan mengaku bahawa beliau adalah warga bagi negara ini, dan, wilayah yang digelar Malaysia ini diperakui sebagai "TANAH TUMPAH-DARAH" beliau setiap kali menyanyikan lagu NEGARAKU.

Mudah-mudahan kita akan sama-sama berfikir dan merenung semula apa, siapa dan bagaimanakah kekuatan kita sebenarnya. Kita masih belum terlalu lambat. Nasi belum benar-benar menjadi bubur. Jikapun bubur, ia masih boleh di makan dan masih berzat. Tetapi jika bubur itu sudah bertukar menjadi basi, itu adalah balasan yang amat bertepatan bagi golongan yang terlalu leka, mungkar dan sombong terhadap kebenaran. Selagi kemusnahan tidak terjadi, manusia jarang sedar untuk membuat persediaan awal. Pengalaman Bosnia, Kuwait, Iraq, Lebanon dan Afghanistan masih belum mampu mengajar manusia untuk berfikir secara strategik serta menghentikan khayalan, angan-angan dan omongan kosong mereka.

Pengalaman di Kampuchea, Indonesia selatan Filipina belum cukup untuk membangkitkan umat Muslimin dari paradigma tidur panjang di tilam empuk, kamar berhawa dingin serta mimpi yang penuh dengan adegan-adegan ekstravaganza. Adalah suatu penyelewengan minda dan hati jika kita menganggotai angkatan wataniah, pertahanan awam atau mana-mana kelab sukarela dan NGOs sekadar untuk memburu imbuhan dan darjat. Demikian juga jika kita bersikap anti kepada organisasi pertahanan negara atau sistem ketahanan nasional, itu sesungguhnya lebih terhina dari seekor anjing jalanan! Jika itulah sikap kita, bererti, kita terlalu korup. Kita menolak untuk menerima ganjaran implisit yang murni dan besar lalu memilih ganjaran ketara yang terlalu kecil.

Ganjaran implisit itu tidak lain dari balasan baik dan rahmat Allah Taala di dunia dan di akhirat. Itu lantaran keikhlasan kita untuk memperdalami pengetahuan, pengalaman serta kemahiran dalam strategi peperangan yang sebenarnya bersifat fardu ain dan merupakan sebahagian dari perintah Allah. Yang nantinya akan membolehkan kita berperang dengan cekap dan berkesan. Bukannya kecundang sebagai pengecut dan jadi pelarian di negara orang! Kita dituntut untuk mengkaji dan memperdalami sains atau seni peperangan kerana ia menjadi sebahagian dari kewajipan umat Islam. Ia adalah satu tanggungjawap sosial yang perlu dipikul oleh setiap warga yang mengakui dirinya beriman. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat ini.

Amat irony. Apabila berlaku sesuatu kesilapan kecil dalam organisasi angkatan tentera misalnya, orangramai (samada yang cerdik, berpendidikan atau si bahlul, jahil dan daif...) akan bersekongkol menuding jari ke arah angkatan tentera. Sebab itu persoalan-persoalan kecil dalam tentera begitu mudah menjadi “big business” bagi masyarakat terutamanya yang mempunyai implikasi kewangan, walaupun adakalanya ia samasekali bukan kesilapan tentera. Ramai yang dengan spontan akan keluar untuk menjadi “juara kebenaran” walaupun mereka sendiri hidup dengan hasil riba’, pecah amanah serta lain-lain hasil korupsi.

Ada yang berani mendakwa bahawa di zaman kemajuan ini tentera sudah tidak relevan lagi. Tentera sekadar duri dalam daging yang menjadi beban kepada ekonomi negara. Ada juga yang sanggup mempolitikkan isu tentera dan pertahanan nasional. Lantaran itulah kita amat sukar untuk menemui pemikir-pemikir berwibawa untuk merangka strategi pertahanan negara yang holistik. Jangan sampai kita mengupah perunding-perunding asing untuk merangka program pertahanan kita pulak...! Jangan jadi sejahil itu!

Dan, ada yang berani mencadangkan bahawa sudah tiba waktunya angkatan tentera diswastakan sahaja, sebagaimana perkhidmatan-perkhidmatan lain yang telahpun diswastakan. Jangan sampai kita mengambil contoh yang terjadi di Iraq ketika ini - Amerika mengupah agensi-agensi sekuriti persendirian untuk melaksanakan misi-misi khas keselamatan. Walhal, jumlah tentera Amerika yang ditempatkan di negara itu sudah melampaui 100,000 orang (tersimpan baik di "Green Zone"..!) Demikianlah sandiwara sang pseudo-zionis ini. Langsung tidak menghairankan. Lantaran negara itu terlalu kaya membelanjakan USD 150 bilion (= RM570 bilion..!!) setahun utk menentukan kepentingannya di Timur Tengah.

Sebagai negara yang gilakan perang, mereka sanggup berbelanja apa sahaja atas nama "To defend my national security and my NATIONAL interest!" Lihat tu, CUKUP PATRIOTIK sekali..!!! Sanggupkah kita contohi mentaliti patriotik "segila" ini? Atau, kita yang "gila", kerana langsung tidak mahu mengambil iktibar dari kemusnahan orang lain? Lantaran itu gamaknya, kita selalu dimomokkan dengan konsep-konsep “think positive”, “think strategically” - serta entah apa-apa lagi gimik dunia akademik atau dunia korporat yang terlalu materialistik - sebagai sajian bagi jiwa kosong yang dibelenggu hipokrasi. Konsep-konsep itu pada realitinya tidak pernah wujud walaupun "tokguru"nya mungkin digelar sarjana dalam dunia pentadbiran dan pengurusan atau menjadi presiden pelbagai organisasi awam atau swasta. Yang kerap diamalkan ialah strategi mensabotaj, pembunuhan psikologi secara senyap.

Hari ini konsep patriotisme telah disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya oleh golongan elit. Demi pengaruh, patriotisme dipolitikkan. Patriotisme dijatuhkan martabatnya - disamatarafkan dengan nasionalisme walhal kedua-dua konsep ini jelas berbeza asas dan tujuannya. Pun begitu, ia ada kait mengait. Patriotism bermakna cinta kepada watan. Nasionalism atau assabiyah bermaksud cinta kepada bangsa sendiri, puak sendiri, keturunan sendiri - lebih menjurus kepada nepotisme. Apapun, adakalanya nasionalisme relevan untuk digunakan dengan mengambilkira bukan orang faham ertinya yang sebenar.

Tetapi yang dituntut oleh Islam ialah patriotisme lantaran ia lebih holistik. Cinta kepada watan bermakna cinta kepada tanah air, penghuni serta segala isi didalamnya. Ia adalah salah satu dari cawangan IMAN. Cinta kepada bangsa sendiri lebih menjurus kepada pertelingkahan etnik kerana ia meminggirkan kewujudan serta kepentingan bangsa lain. Ini amat berkontra dengan konsep Islam yang menyamatarafkan hak bernegara bagi seseorang warga itu. Malah orang kafir yang menjadi rakyat bagi negara Islam berkewajipan sama-sama mempertahankan negara dari ancaman musuh.

Itulah dia PATRIOTISME. Terlalu murni. Terlalu berharga. Terlalu indah. Dan, pelengkap kepada IMAN seseorang. Tidak sempurna iman jika tidak cinta kepada negara. Tetapi, jangan sampai kita mempertuhankan negara. Itu lebih dimurkai Tuhan! Maka, berpada-padalah. Dan, berwaspadalah selalu. Jika ditakdirkan kita hidup di negara taghut, wajarkah kita patuh kepada pemerintahan syaitan dan kafir itu? Patutkan kita berjihad dan mati atas nama negara ateis, kafir dan mungkar itu? Fikir, dan cuba renungkan sendiri!

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...