Isnin, 21 Disember 2009

PATRIOTISME VS MATERIALISME

TULISAN kali ini bukannya ditujukan khusus untuk angkatan tentera. Ia bermotif untuk semua warganegara Malaysia. Khususnya yang belum pernah mengenali erti perjuangan, patriorisme dan peperangan serta golongan yang langsung tidak memiliki waktu untuk menjengah, melihat dan menghayati apa yang terjadi dalam sebuah negara yang hancur di landa peperangan.

TULISAN ini juga amat relevan untuk semua peringkat anggota dalam angkatan wataniah, orang awam biasa ATAU sesiapa sahaja yang masih bernyawa dan mengaku bahawa beliau adalah warga bagi negara ini, dan, wilayah yang digelar Malaysia ini diperakui sebagai "TANAH TUMPAH-DARAH" beliau setiap kali menyanyikan lagu NEGARAKU.

Mudah-mudahan kita akan sama-sama berfikir dan merenung semula apa, siapa dan bagaimanakah kekuatan kita sebenarnya. Kita masih belum terlalu lambat. Nasi belum benar-benar menjadi bubur. Jikapun bubur, ia masih boleh di makan dan masih berzat. Tetapi jika bubur itu sudah bertukar menjadi basi, itu adalah balasan yang amat bertepatan bagi golongan yang terlalu leka, mungkar dan sombong terhadap kebenaran. Selagi kemusnahan tidak terjadi, manusia jarang sedar untuk membuat persediaan awal. Pengalaman Bosnia, Kuwait, Iraq, Lebanon dan Afghanistan masih belum mampu mengajar manusia untuk berfikir secara strategik serta menghentikan khayalan, angan-angan dan omongan kosong mereka.

Pengalaman di Kampuchea, Indonesia selatan Filipina belum cukup untuk membangkitkan umat Muslimin dari paradigma tidur panjang di tilam empuk, kamar berhawa dingin serta mimpi yang penuh dengan adegan-adegan ekstravaganza. Adalah suatu penyelewengan minda dan hati jika kita menganggotai angkatan wataniah, pertahanan awam atau mana-mana kelab sukarela dan NGOs sekadar untuk memburu imbuhan dan darjat. Demikian juga jika kita bersikap anti kepada organisasi pertahanan negara atau sistem ketahanan nasional, itu sesungguhnya lebih terhina dari seekor anjing jalanan! Jika itulah sikap kita, bererti, kita terlalu korup. Kita menolak untuk menerima ganjaran implisit yang murni dan besar lalu memilih ganjaran ketara yang terlalu kecil.

Ganjaran implisit itu tidak lain dari balasan baik dan rahmat Allah Taala di dunia dan di akhirat. Itu lantaran keikhlasan kita untuk memperdalami pengetahuan, pengalaman serta kemahiran dalam strategi peperangan yang sebenarnya bersifat fardu ain dan merupakan sebahagian dari perintah Allah. Yang nantinya akan membolehkan kita berperang dengan cekap dan berkesan. Bukannya kecundang sebagai pengecut dan jadi pelarian di negara orang! Kita dituntut untuk mengkaji dan memperdalami sains atau seni peperangan kerana ia menjadi sebahagian dari kewajipan umat Islam. Ia adalah satu tanggungjawap sosial yang perlu dipikul oleh setiap warga yang mengakui dirinya beriman. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat ini.

Amat irony. Apabila berlaku sesuatu kesilapan kecil dalam organisasi angkatan tentera misalnya, orangramai (samada yang cerdik, berpendidikan atau si bahlul, jahil dan daif...) akan bersekongkol menuding jari ke arah angkatan tentera. Sebab itu persoalan-persoalan kecil dalam tentera begitu mudah menjadi “big business” bagi masyarakat terutamanya yang mempunyai implikasi kewangan, walaupun adakalanya ia samasekali bukan kesilapan tentera. Ramai yang dengan spontan akan keluar untuk menjadi “juara kebenaran” walaupun mereka sendiri hidup dengan hasil riba’, pecah amanah serta lain-lain hasil korupsi.

Ada yang berani mendakwa bahawa di zaman kemajuan ini tentera sudah tidak relevan lagi. Tentera sekadar duri dalam daging yang menjadi beban kepada ekonomi negara. Ada juga yang sanggup mempolitikkan isu tentera dan pertahanan nasional. Lantaran itulah kita amat sukar untuk menemui pemikir-pemikir berwibawa untuk merangka strategi pertahanan negara yang holistik. Jangan sampai kita mengupah perunding-perunding asing untuk merangka program pertahanan kita pulak...! Jangan jadi sejahil itu!

Dan, ada yang berani mencadangkan bahawa sudah tiba waktunya angkatan tentera diswastakan sahaja, sebagaimana perkhidmatan-perkhidmatan lain yang telahpun diswastakan. Jangan sampai kita mengambil contoh yang terjadi di Iraq ketika ini - Amerika mengupah agensi-agensi sekuriti persendirian untuk melaksanakan misi-misi khas keselamatan. Walhal, jumlah tentera Amerika yang ditempatkan di negara itu sudah melampaui 100,000 orang (tersimpan baik di "Green Zone"..!) Demikianlah sandiwara sang pseudo-zionis ini. Langsung tidak menghairankan. Lantaran negara itu terlalu kaya membelanjakan USD 150 bilion (= RM570 bilion..!!) setahun utk menentukan kepentingannya di Timur Tengah.

Sebagai negara yang gilakan perang, mereka sanggup berbelanja apa sahaja atas nama "To defend my national security and my NATIONAL interest!" Lihat tu, CUKUP PATRIOTIK sekali..!!! Sanggupkah kita contohi mentaliti patriotik "segila" ini? Atau, kita yang "gila", kerana langsung tidak mahu mengambil iktibar dari kemusnahan orang lain? Lantaran itu gamaknya, kita selalu dimomokkan dengan konsep-konsep “think positive”, “think strategically” - serta entah apa-apa lagi gimik dunia akademik atau dunia korporat yang terlalu materialistik - sebagai sajian bagi jiwa kosong yang dibelenggu hipokrasi. Konsep-konsep itu pada realitinya tidak pernah wujud walaupun "tokguru"nya mungkin digelar sarjana dalam dunia pentadbiran dan pengurusan atau menjadi presiden pelbagai organisasi awam atau swasta. Yang kerap diamalkan ialah strategi mensabotaj, pembunuhan psikologi secara senyap.

Hari ini konsep patriotisme telah disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya oleh golongan elit. Demi pengaruh, patriotisme dipolitikkan. Patriotisme dijatuhkan martabatnya - disamatarafkan dengan nasionalisme walhal kedua-dua konsep ini jelas berbeza asas dan tujuannya. Pun begitu, ia ada kait mengait. Patriotism bermakna cinta kepada watan. Nasionalism atau assabiyah bermaksud cinta kepada bangsa sendiri, puak sendiri, keturunan sendiri - lebih menjurus kepada nepotisme. Apapun, adakalanya nasionalisme relevan untuk digunakan dengan mengambilkira bukan orang faham ertinya yang sebenar.

Tetapi yang dituntut oleh Islam ialah patriotisme lantaran ia lebih holistik. Cinta kepada watan bermakna cinta kepada tanah air, penghuni serta segala isi didalamnya. Ia adalah salah satu dari cawangan IMAN. Cinta kepada bangsa sendiri lebih menjurus kepada pertelingkahan etnik kerana ia meminggirkan kewujudan serta kepentingan bangsa lain. Ini amat berkontra dengan konsep Islam yang menyamatarafkan hak bernegara bagi seseorang warga itu. Malah orang kafir yang menjadi rakyat bagi negara Islam berkewajipan sama-sama mempertahankan negara dari ancaman musuh.

Itulah dia PATRIOTISME. Terlalu murni. Terlalu berharga. Terlalu indah. Dan, pelengkap kepada IMAN seseorang. Tidak sempurna iman jika tidak cinta kepada negara. Tetapi, jangan sampai kita mempertuhankan negara. Itu lebih dimurkai Tuhan! Maka, berpada-padalah. Dan, berwaspadalah selalu. Jika ditakdirkan kita hidup di negara taghut, wajarkah kita patuh kepada pemerintahan syaitan dan kafir itu? Patutkan kita berjihad dan mati atas nama negara ateis, kafir dan mungkar itu? Fikir, dan cuba renungkan sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...