INTRODUKSI
Pada Januari 1988 suatu kongres anjuran Negeri Kedah telah dilangsungkan di UUM Sintok. Ini merupakan rentetan dari Seminar Melayu Dunia yang pertamakalinya dilangsungkan di Melaka pada Disember 1982 dan Sri Lanka pada Ogos 1985. Antara objektif umum seminar-seminar tersebut ialah meninjau kewilayahan Dunia Melayu serta rumpun bangsa Melayu melalui perspektif antropologi, kumpulan etnik manusia dan bahasa Melayu Polynesia. Selain itu ia cuba melihat Islam sebagai identiti khusus bangsa Melayu kontemporari walaupun ada kelompok umat Melayu yang beragama Islam.
Disamping itu, konteks geopolitik Dunia Melayu juga dibicarakan dengan tumpuan khusus kepada wilayah-wilayah utama merangkumi Acheh, Brunei, Filipina, Patani, Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia sekarang). Peranan para penjajah yang bertanggungjawab memecahbelahkan wilayah Dunia Melayu menjadi negara-negara kecil yang terpisah juga disentuh tetapi terhad kepada perspektif kerjasama budaya, senibina, bahasa, perfileman dan kesusasteraan semata-mata.
RAS, BAHASA DAN KETULINAN
Konteks ras (bangsa) lebih banyak berfokus kepada asal usul rakyat setempat serta hubungannya dengan orang dari negeri Cina dan India. Bagi negara-negara seperti Filipina dan Indonesia, aspek penjajahan Sepanyol dan Belanda serta pengaruh agama dan bahasa para penjajah disentuh. Demikian juga dengan Patani yang suatu ketika dahulu (sebelum Perjanjian Bangkok) merupakan wilayah Kedah berasaskan rekod sejarah, adat resam serta budaya yang wujud di wilayah tersebut.
BAHASA menggambarkan BANGSA. Tiada bahasa maka tiadalah bangsa. Maka dalam konteks bangsa Melayu, kefasihan berbahasa Melayu membuktikan nilai kemelayuan yang baik walaupun tidak semestinya tulin atau SESEORANG ITU samasekali bukan berbangsa Melayu. Ketulinan Melayu memang sukar dipastikan dalam era globalisasi yang tiada batasannya sekarang. Perkahwinan campur telah sedikit sebanyak memudarkan keaslian darah Melayu. Disesetengah wilayah seperti Filipina, perkahwinan campur telah menjadi terlalu ekstrim hinggakan ramai Melayu yang bertukar agama menjadi kristian.
Soalnya, siapa berani mengaku bahawa dirinya Melayu Tulin? Bagaimana mahu dibuktikan secara saintifik bahawa kita benar-benar Melayu? Adakah DNA kaum Melayu itu sekata? Memang terlalu sukar. Sepertimana bangsa Afrika, Arab atau Yahudi, apakah pada hari ini mereka masih tulin sebagaimana asal? Bangsa Melayu - Mungkinkah lebih sesuai dipanggil "Melayu Jati" sebagai gantian kepada "Melayu Tulin"? Atau "Melayu Gentian" (lantaran terlalu banyak pembauran)?
PERSOALAN KEJATIAN
HAKIKATnya, tiada siapa yang boleh mengakui bahawa mereka benar-benar sejati. Tidak kisah walau apapun nasab keturunan - samada mereka itu Melayu, Cina, India, Jawa, Siam, Caucasian atau apa bangsa pun. Lantaran orang yang paling mulia disisi Allah Taala ialah yang paling bertakwa. Umat yang diperakui-Nya terbaik ialah umat Islam yang sentiasa mendorong manusia supaya berbuat baik dan mencegah kemungkaran di atas mukabumi ini. Manusia memang sengaja diciptakan agar menjadi berbangsa-bangsa. Maka aqidah, Islam dan takwa akan membezakan darjat sebenar mereka sebagai manusia. Bukan warna kulit, bahasa, keturunan, kekayaan atau darjat keduniaan. Inilah asas kita.
Namun manusia terlalu gemar melakukan ketelanjuran yang melampaui batas-batas manusiawi. Seolah-olah darah mereka telah bercampur dengan haiwan-haiwan yang memang ditakdirkan bersifat liar, buas dan ganas. Lantaran itu apabila masyarakat dengan lagak keras bangkit mempertahankan darjat bahasa Melayu, apakah isu sebenar yang cuba dibela atau dipertahankan? Bahasa Melayu atau hak istimewa orang-orang Melayu? Atau, hak ketuanan Melayu? Ataupun, mungkin kehilangan subsidi, kontrak, status-quo kuasa dan pengaruh ekonomi-politik yang mengenyangkan perut gendut?
ISU KETUANAN
Apakah agenda yang sebenarnya tersirat dalam kebangkitan-kebangkitan terkini? Melayu bimbang jika mereka kehilangan hak menjadi "tuan" di tanahairnya sendiri? Soalnya, adakah mereka itu sendiri benar-benar "Melayu"? Atau sekadar hanya pada gaya dan rupanya sahaja? Sedang dibibirnya terjuih cerut besar dari UK. Dijarinya tersangkut segelas brandi dari France. Mata dan otaknya tekun berputar-putar di langit-langit casino terbesar Macau Vetecian atau di Genting. Adakah ini dinamakan Melayu?
Tetapi "kurang ajar" yang bagaimana? Adakah itu bermaksud Melayu harus memperluaskan aktiviti merempit, buang bayi, penagihan dadah, menderhaka kepada orangtua atau menjadi samseng jalanan? Tentu bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau. Ia hanya lebih simbolik kepada Melayu mesti berani bangkit bersuara, mempertahankan yang hak, memperjuangkan kebenaran dan bergeraktindak secara progresif dan agresif. Bukan lesu seperti cacing-cacing dipadang pasir.
NILAI POLITIK DISEBALIK BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu kalau diamati dengan betul memang indah. Meskipun tak seindah bahasa Arab dan sekuno bahasa Cina atau huruf roman, ia tetap bernilai. Lantaran ia menjadi bukti tentang wujudnya suatu bangsa baru yang digelar Melayu. Kerana itu bahasa Melayu amat wajar untuk dipertahankan hingga ke titisan dakwat yang terakhir, jika tidak sanggup berkorban dengan darah dan nyawa. Dan sudah tentulah, bila wujud suatu bangsa maka tuntutan kepada kepimpinan dan kuasa politik tidak boleh dinafikan. Adalah terlalu munafik untuk menolak keperluan politik dan kepimpinan.
Lantaran itu, dengan alasan apa sekalipun, tuntutan terhadap pemeliharaan martabat Bahasa Melayu perlu diterima oleh semua pihak. Tanah Melayu perlu mengekalkan integriti Melayu dengan sewajarnya. Mahu tidak mahu, sayang atau benci, tanpa prejudis, Bahasa Melayu perlu dipulihkan status-quonya sebagai bahasa nasional negara ini. Jika perlu dibangkitkan kembali konsep "Bahasa Malaysia" yang pernah dimartabatkan suatu ketika dahulu, maka usah berlengah-lengah lagi. Jangan sekadar bersandarkan kepada kemahuan politik semata-mata.
Masyarakat Melayu perlu bangun merangsang kebangkitan semula idealisme ini. Jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama komunikasi serta persuratan dalam negara ini serta rantau sebelah sini. Kita memiliki saudara serumpunan di Indonesia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dominan. Jadi, mengapakah kita bertindak meminggirkan bahasa kita sendiri?
MELAYU, BAHASA DAN POLITIK: DIPERSIMPANGAN JALAN
Tepuk dada tanya selera. Jangan terlambat. Dan jangan sampai tersesat jalan. Jangan kelak dikatakan "menang sorak kampong tergadai". Ini bukan zaman Si Luncai, Pak Pandir atau Tok Kadok yang sanggup ditelanjangi dan dipermainkan di khalayak ramai. Kita adalah bangsa yang cukup bermaruah. Kita ada Islam sebagai konsep hidup. Jangan sampai bangsa ini tergadai gara-gara budaya samseng, korupsi dan kebendaan. Dan jangan sampai menjadi gila lantaran ketaksuban berpolitik!
Tetapi mengapa pula Bahasa Melayu harus dihubungkaitkan dengan politik? Bukankah bahasa patut diasingkan dari gelanggang politik? Jawabannya mudah. Bahasa ialah alat komunikasi yang dominan dalam berpolitik. Bayangkan bagaimana kalau si bisu mahu berpolitik. Bagaimana mahu membentangkan agenda-agenda pembangunan sosial untuk rakyat? Mungkinkah gaya "miming" atau bahasa isyarat dapat memperjelaskan perancangan ekonomi dan pembangunan negara? Atau komputer dan robot sebagai pengganti ekspresi diri?
Belum ada dalam sejarah manusia bisu menjadi pemimpin negara. Kecuali kalau sudah kemahuan Allah Taala. Lantaran itu, bahasa dan pengaruh disebalik kata-kata dan pembahasaan amat penting. Maka kekuatan politik Melayu masih amat bergantung pada mantapnya bahasa ibunda orang-orang Melayu. Jadi kalau ia diperleceh atau diperlekehkan sesuka hati, bimbang nanti igauan buruk akan menjadi realiti.
PENUTUP BICARA
Generasi muda zaman ini kian terpinggir dari kesedaran untuk menghayati bahasa dengan betul. Segalanya diambil mudah. Sebagaimana Al Quran, Allah Taala telah memerintahkan agar ia dibaca dengan tartil dalam bahasa Arab yang betul. Kalau ianya dibaca atau ditulis dalam bahasa India, Jepun dan German, maksud serta maknanya akan mudah terlencong dari kebenaran. Demikian Allah memelihara kitab suci-Nya agar ketulinannya kekal hingga kiamat. Malahan Allah Taala akan membaca Al Quran untuk didengari oleh para penghuni di Akhirat nanti. Demikianlah kehebatan dan status quo Al Quran. Tanpa prejudis dan kompromi lagi.
Segalanya ini wajar dijadikan tauladan iktibar. Kita tidak mahu terlalu longgar dalam berpendirian. Tetapi kita juga menolak mentaliti anarki, dasar-dasar yang fanatik dan perkauman. Jadi apakah langkah-langlah yang terbaik untuk dilaksanakan? Tidak syak lagi kita harus mengambil jalan tengah, bersikap neutral tetapi progresif, dan menjadikan konsep Islam sebagai fundamen perjuangan. Agar kita tidak tersasar jauh dan menjadi sasau bagai si kafir taghut terlaknat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan