Selasa, 17 Mac 2009

PEDRA BRANCA: NILAI TAHI BURUNG DI PULAU BATU PUTEH

Batu tetap batu. Tetapi batu ini bukan main-main. Diperbuat dari batu. Diputihkan oleh tahi burung yang giat menghambur najis sejak beratus-ratus tahun. Akibahnya, batu yang berwarna hitam-kelabu bertukar menjadi putih. Lantas si penjajah bengali putih (portugis) menggelarkannya sebagai "Perda Branca" sempena najis yang berwarna putih. Cekap sungguh si penjajah berbanding si Melayu. Tiada apa yang tersisa dari genggamannya. Benarlah seperti bidalan: Bagai Belanda mintak tanah! Dah beri betis nak peha pulak? Kalau diberi peha, apa lagi yang engkau mahukan?










 

Segalanya bermula dengan patriotisme. Dan sekarang bukan Portugis atau Belanda atau British yang ingin menjajah tanahair ini tetapi sahabat kita nun di selatan sana. Walaupun kecil sebesar telur pacat di peta dunia, sebagaimana negara haram Israel, taring dan rahangnya cukup besar untuk membaham sebuah negara sebesar kita. Tak cukup dengan ruang udara kita diredah semahu-mahunya. Masih lagi nak benda lain pulak. Jika tidak dengan kata-kata, boleh jugak dengan senjata-senjata arsenal militer yang sudah lama berlapok tidak pernah dicoba-coba. Bila lagi?

Dan, jika benar, kemana orang seperti aku mahu lari? Terjun ke dalam Selat Melaka atau menongkah ombak Laut Cina Selatan pergi ke Sabah atau Sarawak? Atau jadi pelarian ke Siam? Dan, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Tapi sekarang orang pakai CCTV. Siap dengan perakam suara "high-end". Kemana kau nak lari? Ke Kem Kemunting atau Penjara Pudu? Bukankah Penjara Pudu dah lama ditutup! Sudah terlambat untuk menjadi ahlinya. Kau tak akan kemana-mana. Kau berdiri di sini. Pertahankan tanah sekangkang kera ini hingga ke titisan darahmu yang terakhir. Biar mati mulia. Jangan hidup terhina. Barulah patriotik!

Batu Putih kini tinggal sejarah luka. Dan luka itu pasti menjadi pekung yang ditanggung segenap umur negara ini. Amat memalukan. Maruah yang dirobek ditanggung sejuta usia. Mari kita tuding jari: salah siapa sekarang? Entah, aku pun tak tahu! Dulu sewaktu Singapura terlepas dari genggaman Melayu, salah siapa? Entah, aku tak berapa ingat! Pi kutip buku sejarah - tengoklah kalau-kalau ada dicatat kat situ oleh para profesor sejarah...

Namun batu tetap batu. Tapi ini bukan sebarang batu. Walaupun bukan batu berlian, tidak mengapa. Yang penting - maruah dan kedaulatan. Integriti negara terlonggok di atas batu sekecil dan senajis itu. Ini yang paling mustahak. Digniti. Kedaulatan. Integriti. Adakah kita terlalu lesu? Terlalu bodoh dan jahil? Hingga orang sanggup memperkotak-katikkan kita? Ataukah kita memang sudah hilang semangat dan sanggup membiar diri ditelanjangi dan dirogol semahu-mahunya?

Jika kita enggan bangkit sekarang dan masih terus terkhayal seperti penghisap ganja, maka itulah yang bakal terjadi kepada negara ini. Kita terlalu leka dengan gelagat politik domestik. Kita terlalu taksub dengan kerenah parti. Kita terlalu tergila-gila dan terbawa-bawa dengan perangai orang-orang yang gilakan kuasa, gilakan kontrak dan gilakan hartabenda. Hingga kita lupa dengan musuh sebenar yang tidur sekatil dengan kita sepanjang zaman. Dan cuma sedar untuk tercungap-cungap sebelum leher dikelar-kelar untuk dijadikan daging salai.

Cuba lihat kejahilan kita dalam perancangan strategik. Perjanjian Air yang pertama akan tamat pada tahun 2011. Apa langkah dan plan selanjutnya dalam kepala? Bacalah petikan berikut dengan teliti:


PERJANJIAN AIR MALAYSIA-SINGAPURA BERAT SEBELAH, sebagaimana dijelaskan oleh Kerajaan BN di parlimen pada 20 Mac 2002.

Datuk Dr. Leo Michael Toyad:
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan yang mulia ini, perjanjian bekalan air oleh Johor ke Singapura telah dibuat pada tahun 1961 dan 1962. Perjanjian tahun 1961 adalah bagi tempoh 50 tahun dan akan tamat pada tahun 2011. Manakala perjanjian tahun 1962 adalah selama 99 tahun dan akan tamat pada tahun 2061.

Melalui perjanjian tersebut kadar air mentah ke Singapura ditetapkan pada harga 3 sen bagi seribu gelen. Kadar tersebut tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1961 hingga sekarang. Dalam hal ini, pihak kerajaan berpendapat bahawa harga tiga sen bagi 1,000 gelen tersebut adalah rendah dan tidak berpatutan. Ianya tidak mencerminkan nilai sebenar harga pasaran air mentah pada masa ini.

Kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Singapura telah pun bersetuju untuk memasukkan isu bekalan air ke dalam satu isu berpakej untuk diselesaikan secara bersama melalui rundingan. Sejak tiga tahun yang lalu, tiga rundingan telah dijalankan. Pusingan terbaru rundingan tersebut dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur pada tarikh yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Tuan Yang di-Pertua, menyentuh isu perbekalan air antara Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara menyedari akan kesensitifan isu ini. Sebagai negara yang menginginkan keamanan, hal ini perlu dikendalikan dengan bijaksana agar ianya tidak berlarutan dan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Setakat ini, belum ada sebarang persetujuan ke atas penetapan harga air yang baru. Kerajaan berharap untuk mencapai persetujuan perhubungan hal ini melalui rundingan pada tarikh yang akan dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Menjawab soalan mengenai pembelian air mentah oleh Singapura dari Johor dan pembelian air bersih oleh Johor dari Singapura bagi tahun 1995 hingga tahun 001, ingin dimaklumkan bahawa pada puratanya pihak Singapura membeli air mentah sebanyak 202.73 juta gelen sehari pada kadar 3 sen bagi setiap seribu gelen dan menjual air bersih kepada Johor pada puratanya sebanyak 33.23 juta gelen sehari pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Pembelian air yang dirawat dari Singapura adalah untuk menampung keperluan negeri Johor. Sekian, terima kasih.

.................................................................................

Hairan. Jika sudah tahu ianya terlalu berat sebelah, mengapa harus terus berkompromi? Bukankah itu namanya pengecut? Setujukan anda? Kita jual terlalu murah dan beli terlalu mahal. Kita mendapat hasil jualan sebanyak RM608.19 sehari tetapi terpaksa membayar sebanyak RM16,615 sehari. Bererti kita kerugian RM16,006.71 sen setiap hari (atau RM48,018 sebulan). Tiada sebarang keuntungan. Perniagaan apakah ini? Perniagaan si bahlul yang terlalu bodoh atau terlalu korup? Atau kerana terlalu menjaga hati "sahabat" kononnya? Kita terlalu memberi "lemak" kepada orang luar tetapi keras tidak menentu kepada warga sendiri.

Adakah ini benar? Rakyat sendiri terpaksa membayar kos RM1.39 bagi setiap meter padu air (bakal dinaikkan ke RM1.90) dan Singapura hanya membayar 3 sen untuk seribu gelen air mentah? (3 sen Malaysia = 1.3 sen wang Singapura). Negara itu hanya perlu membayar S243.27 sehari untuk 202.73 juta gelen air sehari? Wahai, bandingkanlah. Walhal, terkadang rakyat di Selangor langsung ketiadaan air sebagaimana yang kerap berlaku sekarang. Empat buah koprat air bersaing untuk menguasai pasaran di negeri malang itu. Akibatnya warga tempatan terpaksa menanggung beban tak sudah. Kerajaan Negeri telahpun berhutang sebanyak RM114 juta gara-gara air. Dan, terpaksa menompok hutang air bulanan sebanyak RM38 juta.

Apakah ertinya ini?

Barangkali negeri itu sedang menjurus ke arah kebangkrupan yang melampau.
Walhal negara asing kekembungan air - lantaran harga yang terlalu rendah - yang lebih masuk akal kalau diberikan secara FOC (Free of Charge)! Manakala air di Selangor menjadi alat politik yang bakal menjahanamkan semua pihak di negeri itu. Inikah yang dikatakan "Bersih, Cekap dan Amanah"? Atau itu cuma slogan klasik ciptaan orang dahulu? Sekadar slogan kosong dan kuno?

Demikianlah. Bukankah lebih wajar jika bekalan tersebut disalurkan ke Selangor dan lain-lain tempat yang kebuluran air dalam negara sendiri? Ini tak ubah seperti bidalan: "Kera di hutan disusukan, anak di buaian mati kelaparan". Maka silapkah jika disimpulkan bahawa kita masih terus terjajah dalam pelbagai aspek? Terutamanya penjajahan minda dan pendirian. Tidak cukup dengan air. Tahun lalu Pulau Batu Putih. Dan sekarang negara kecil itu sedang berura-ura untuk melanjutkan zon eksklusif ekonominya hingga ke pinggir pantai selatan Johor. Para penggubal dan pembelit undang-undang negara itu sedang sibuk mengumpul data dan dokumen untuk dimajukan ke International Court of Justice (ICJ).

Tetapi kita pula sedang sibuk dengan sidang dewan undangan bawah pokok, pilihanraya demi pilihanraya kecil yang tak berkesudahan, pakej rangsangan ekonomi, politik wang yang tak habis-habis dan macam-macam titik-bengik. Hingga kita lupa bahawa seekor lintah di bawah kaki seluar sedang sibuk mempertajam tombak dan beliung untuk melanyak kita. Dalam teori hubungan antarabangsa, kita tahu bahawa hubungan antara negara banyak dipengaruhi oleh kekuatan militer serta kekuatan melobi dan mempengaruhi. Dan lintah itu ada semua ini. Perdampingan yang akrab dengan Amerika Syarikat amat dimunafaatkan.


Selain pakar-pakar perang yang didatangkan khas dari yahudi Israel, akses lintah itu ke atas negara ini cukup tidak terkawal. Dimana-mana sahaja kita boleh lihat elemen intelligent berlegar tanpa batas. Mungkin ada yang sudahpun menjawat jawatan awam atau tentera di peringkat pucuk pimpinan. Satelit atau high-end CCTV sudah lama terpasang untuk merompak apa sahaja maklumat.

Dan, kita tidak pernah serius dalam urusan memantau orang asing di negara ini. Semuanya dianggap pelancong dan perlu dilayani dengan senyuman paling menawan. Out-of-the blue, 70,000 jawatan kosong untuk makhluk-makhluk asing sudah tersedia. Terlalu lembut dan amat pemurah. Sebab itulah angkatan PATI bertali arus mendarat di pantai negara ini. Lantaran mereka tahu kita pasti menadah tangan sambil tersenyum sumbing kalaupun tidak cukup lebar. Dan sikap longgar dan take for granted ini pasti akan dimunafaatkan sepenuhnya oleh kawan mahupun lawan, khususnya musuh dalam selimut. Kita terlalu takut untuk bertegas lantaran NGOs hak asasi ciptaan neoimperialis sudah lama berkubu untuk menyalurkan cadangan indeks hak asasi negara ini. Pun begitu, indeks kita tidak pernah naik. Malah kerap dikatakan negara ini mengamalkan diskriminasi yang agak melampau ke atas PATI dan golongan yang setaraf dengannya.

Ini mungkin ada kaitan dengan kedudukan kita di PBB. Tidak seperti negara-negara kuasa veto atau negara-negara pengganas atau pelesit seperti Israel dan sekutu-sekutunya di barat, kita jauh ketinggalan dalam konteks pengaruh dan status quo. Jika memiliki kuasa veto dan mempunyai senjata nukliar, maka barulah semua orang harus tunduk pada kemahuan dan telunjuk kita. Dalam ertikata lain dan dengan alasan apa sekalipun, kuasa militer terkadang menjadi penentu kepada herarki dan hegemoni negara-negara di gelanggang dunia. Kalau negara lemah, politik kucar-kacir, ekonomi merempat, masyarakat senantiasa dalam belenggu konflik domestik, maka bererti tiada integriti dan tidak akan mampu mempertahankan diri dari terjajah atau disepak-terajang.

Terlalu banyak contoh dapat diperhatikan. Dan jika memiliki sistem militer yang besar tetapi politik dalaman sentiasa bergolak, itu juga tidak akan memberikan hasil kepada kedaulatan negara. Apatah lagi jika rakyat sudah hilang jatidiri dan tidak mengenal nilai patriotik. Itulah yang pernah berlaku di Iraq dan Afghanistan. Rakyat tidak benar-benar bangkit menentang penjajahan tajaan samseng terbesar - Amerika Syarikat. Ramai yang lebih rela merempat sebagai pelarian atau mati katak dibaham peluru sesat daripada mati sebagai syahid. Iman kian pudar lantaran terlalu materialistik. Lantaran itu sehingga kini kedua-dua negara itu masih terus terjajah selaras dengan matlamat neo-konservatisme. Objektif sebenar para neo-kon tidak lain ialah menghancurkan negara-negara tersebut (termasuk anak-bangsanya) secara total dari peta dunia. Barulah zionisme bisa menunggangi wilayah Timur Tengah semahu-mahunya.

Apakah semua ini hanya sekadar untuk tontonan semata-mata? Tidak pernahkah terlintas untuk kita bangkit dan memikirkan sesuatu? Adakah jiwa kita sudah terlalu longlai lantaran dilanda kemewahan, materialisme serta mimpi-mimpi palsu duniawi? Tanggungjawab memerdekakan Palestine bukan tanggungjawab masyarakat Palestine sepenuhnya. Tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama. Dan ia merupakan tanggungjawab mutlak sesiapa yang mengaku dirinya Muslim. Mahu tidak mahu, hakikat ini adalah jelas.

Tetapi bagaimana mahu memerdekakan sebuah wilayah yang terlalu jauh kalau pulau yang sekangkang kera pun tidak mampu dipertahankan? Salah siapakah sebenarnya ini? Tanyalah pada diri anda sendiri. Jawabannya ada disitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...