Jumaat, 6 Mac 2009

ANTARA SAMPAH MASYARAKAT DAN SAMSENG TAHI MINYAK

BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG?

Jadi, salah siapa? Salah si bapak yang berperangai seperti bapak ayam - hanya tahu meniduri si mak? Atau salah mak kerana minta ditiduri? Atau kedua-duanya tidak bersalah lantaran semata-mata memenuhi tuntutan alam? Amat menjengkelkan jika tahi minyak bertukar menjadi samseng jalanan yang bebas lepas tiada terkawal. Malahan ibu ayam sendiri akan memastikan anaknya pandai membawa diri di tengah-tengah dunia. Mengapa manusia gagal untuk mencontohi perangai ibu ayam? Sebaliknya manusia lebih suka berlagak seperti bapak ayam yang hanya pandai berkokok.

ANAK MENJADI SAMSENG?

Sesiapapun boleh berkata: Beginilah keadaannya kalau hidup tidak berhaluan dan peribadi tidak dicanai dengan betul sejak usia rebung. Ibarat kapal patah kemudi. Bagai trailer pelari beras haram yang dipandu samseng jalanraya. Umpama bas ekspres yang tak pernah di servis dengan drebarnya yang kuat berdengkur ketika memandu di tengah-tengah malam.

Kecil-kecil cili padi akhirnya jadi sambal belacan jugak. Memang sedap jadi hidangan si penyangak matawang atau broker-broker politik yang tak pernah padam nafsu pembelitnya. Namun yang paling disesali bukanlah krisis politik di Perak atau di Batang Ai. Atau dimana-mana rantau di negara kecil ini. Tetapi budak-budak ingusan yang sudah pandai berlagak sebagai samseng tahi minyak (STM) atau samseng jalanan. Baik di sekolah mahupun di luar. Generasi muda diharapkan sebagai pelapis. Tapi tampaknya nilai mereka tidak lebih dari sepiring kuih lapis yang tampaknya molek tetapi amat meracuni hati dan sanubari bangsanya.

DIMANA SILAPNYA?

Siapa yang harus bertanggungjawab di dunia dan di akhirat nanti? Siapa patut pikul dosa lantaran wujudnya "gangster mentah" di sekolah? Dan sekolah atau institusi pengajian tinggi menjadi pengeluar samseng-samseng pelbagai darjat dan kategori? Mak? Bapak? Guru? Profesor? Menteri? Ketua Polis Negara? Pengarah Pusat Serenti? Atau Ketua Pengarah Penjara?

Kemanakah jari harus dituding? Kepada ibubapa yang hanya tahu membuat anak sahaja? Atau kepada abang-abang dan kakak-kakak yang tak pernah menjentik telinga adik-adik supaya lebih bersopan-santun? Atau kepada tok-nenek yang cuma tahu berbangga dengan cucu-cicit yang bertaburan di keliling pinggang? Atau kepada guru-guru yang tak pernah menampar dan merotan murid-murid lantaran takut disaman? Atau menteri-menteri yang hanya pandai membuat peraturan itu dan ini tetapi tidak mahu memikul dosa dan kesilapan yang terjadi?

CAKAP MEMANG SENANG...

Makan boleh sebarang makan (termasuk batu, kayu, racun tikus?) tapi cakap jangan sebarang cakap. Salah cakap boleh tersumbat dalam ISA. Jadi, cakap biarlah beralaskan fakta, walaupun sedikit. Tetapi fakta yang menyolok mata di sekolah amat kerap menyakitkan hati. Dulu ada cadangan supaya membuka kantor polis di semua sekolah menengah. Barangkali diikuti dengan membina penjara kecil di belakang sekolah. Selepas itu buka serenti mini. Selepas tu dirikan itu, dirikan ini, dirikan yang sinu, dirikan yang sini.

Yang penting, projek harus dicipta dan perlu berjalan demi menyelamatkan kontraktor-kontraktor kelas C ke bawah. Kroni-kroni dan suku-sakat mesti dikenyangkan. Mujurlah cita-cita tinggal cita-cita. Jika tidak, mungkin peluang kerja akan bertambah cerah di kalangan graduan-graduan kelas dua rendah dan kelas ke tiga.

Bagaimana kita dapat menelan hakikat tentang wujudnya gangsterisme di sekolah? Apa yang kurang di sekolah? Guru, ustaz, kaunselor, guru displin, kurikulum, tuisyen, jamban yang cantik, surau yang indah, lanskap yang molek semuanya tersedia. Tapi mengapakan keadaan masih sukar dikawal? PIBG pun ada untuk memperkokoh hubungan diplomasi antara guru dengan makbapak murid.

MENGAPA KEADAAN TIDAK BANYAK BERUBAH?

Salah siapa? Salah polis kerana tidak beroperasi di sekolah? Atau salah makbapak kerana tidak ambil serius isu moral dan agama anak-anak? Makbapak terlalu penat bekerja di siang hari. Mana ada waktu nak mendidik anak? Tapi waktu untuk membuat anak memang tak pernah suntuk. Terserahlah pada TASKA, TABIKA, TADIKA atau apa-apa "KA" lagi nak mendidik anak kecil kita. Nak buat apa pun buatlah. Janji petang nanti aku ambil anak-anak semuanya selamat, sihat, subur dan cergas macam anak-anak kambing.

Tapi kalau anak-anak bertukar menjadi mat rempit dan mat fit, siapa patut aku persalahkan? Salahkan ustaz kerana memberi pendidikan secara songsang? Atau guru sekolah kerana malas, tidak profesional dan lebih mengutamakan kelas tiusyen untuk menjana pendapatan sampingan? Atau sang kaunselor yang lebih pandai berlagak bagai pendita berbanding mencanai akalbudi murid-murid?


PERLU ADA PIHAK YANG MESTI DIPERSALAHKAN?

Tak kira kawan mahupun lawan. Sebagai seorang bapak atau mak, aku tidak bertanggungjawab dengan kebiadaban anak-anak kerana aku sudah hantar mereka ke sekolah. Maka menjadi tanggungjawab penuh sekolah-sekolah untuk mendidik anak-anak aku menjadi orang pandai.

Atau segalanya berpunca pada kegagalan sistem pendidikan. Dasar-dasar pembelajaran yang terlalu lembab dan sekular yang lebih memfokuskan pencapaian akademik atau kurikulum? Sekolah terlalu membebankan murid dengan itu dan ini. Maka peluang untuk menjadi manusia matang sukar dicapai. Pun begitu, yang penting bagi mak dan bapak - anak-anak mesti lulus SPM gred 10 A kalau tidak mampu mencapai 20 A. Soal jahat atau buruk perangai - aku pun waktu budak-budak dulu jahat jugak. Malah lebih buas dari itu!

ANAK ADALAH AMANAH ALLAH

Apabila anak-anak dilahirkan, ia dizahirkan dengan dua potensi: sebagai aset (harta/munafaat) atau libiliti (tanggungan/kerugian). Hatta, terpulanglah kepada ibubapa atau penjaga membentuk dan menentukan upbringing anak-anak. Jika betul caranya, maka jadilah ia seorang "manusia betul". Jika salah asuhannya, maka lahirlah makhluk-makhluk asing yang bukan sahaja menjadi beban kepada keluarga bahkan masyarakat dan negara pada amnya. Ini perlu difahami dengan betul. Rasulullah s.a.w pernah berpesan bahawa anak-anak yang lahir adalah ibarat kain putih - maka terpulanglah kepada ibubapa untuk mencoraknya menjadi yahudi, nasrani atau majusi.

Maka berhati-hatilah wahai ibubapa. Kerana andalah yang bakal membayar saham kejahatan anak-anak anda di mahkamah Al-Hakim nanti. Bukan guru. Bukan profesor. Bukan Menteri atau Ketua Polis Negara. Bukan juga babysitters atau nanny dari Indonesia atau Bangladesh. Mereka mungkin ditanya tentang isu-isu berhubung tugasan-tugasan mereka atau cara mereka berperanan atas dasar sebagai pemakan gaji.

Tetapi anda sebagai orangtua adalah penjawab mutlak pada segala dosa dan kesalahan anak-anak anda. Lantaran kerana andalah yang gagal menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah Taala. Anak-anak bukan dianugerah secara sembrono oleh Maha Pencipta tetapi ia dibekalkan dengan tanggungjawab yang jelas akan dipersoalkan di Akhirat.


KEGAGALAN SEKOLAH, MENTERI ATAU PEMERINTAH?

Hatta, masih lagi mahu menyalahkan sekolah? Menteri? Atau pemerintah yang terlalu sibuk berpolitik? Manusia perlu sedar bahawa pendidikan dan upbringing bukan bermula di sekolah - tetapi di rumah. Kalau rumah diselaputi debu-debu, sampah-sarap, berserabut dengan nilai-nilai yang buruk dan pembawakan yang songsang, maka ia sesuai menjadi foundasi kepada pengeluaran sampah-sampah masyarakat.

Demikian juga kalau anak-anak merupakan makhluk-makhluk "untouchable" yang terlalu dimanja-manjakan dengan kemewahan dan tidak pernah dirotan sejak kecil lagi - agaknya apakah kesudahan mereka nanti? Dalam konteks ini Rasulullah pernah mengingatkan agar memerintah anak-anak bersolat apabila menjejaki usia 7 tahun dan pukullah ia jika enggan solat apabila mencapai umur 10 tahun.

Secara simbolik, kita dipesan supaya berpendirian tegas terhadap anak-anak yang melakukan kesalahan dengan approach atau pendekatan yang bijaksana - agar "Anakku Sazali" atau anak-anak durhaka tidak muncul di tengah-tengah keluarga. Apabila mat rempit, mat fit dan STM muncul dalam rumahtangga anda, apakah yang terlintas di fikiran? Apakah yang tersumbat di akal dan terbenam di jantung? Atau kita tidak merasakan apa-apa perbedaan? Segalanya sama seperti semalam dan kelmarin. Masih lagi mahu bersikap acuh-tak acuh? Atau anda turut merestui pembabitan anak-anak dalam gangsterisme, bohsia, bohjan - maka barulah anak-anak boleh dinobatkan sebagai anak jantan atau anak betina?


ANAK ADALAH TANGGUNGJAWAB MUTLAK IBUBAPA


Seharusnya masyarakat perlu sedar bahawa dunia gangsterisme dan penjenayahan kelas atasan memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu. Rempit, ragut, membelit, menyamun secara kecil-kecilan merupakan bakat-bakat asas yang amat dihargai. Kelebihan ini nanti akan diperluaskan dengan latihan "on-the-job" yang lebih mencabar sebelum benar-benar layak melaksanakan kerja-kerja pencolekan dan perampokan berprofil tinggi. Maka rumahtangga dan sekolah-sekolah bermasalah merupakan gudang-gudang penjenayah. Selama ini kita rajin menyalahkan filem-filem hollywood, tamil dan hindustan lantaran menayangkan aksi yang berlebihan. Selepas ini kita mahu salahkan siapa?

Kita kerap terlupa bahawa pendidikan kekal menjadi tanggungjawab prima dan asasi ibubapa. Walaupun anak-anak mungkin beredar dari satu tangan ke satu tangan yang lain, ia bukan bermaksud orangtua boleh berlepas tangan dan bersikap take for granted. Dan, lihat sahaja tahun ini. Seramai 347,443 dari 442,936 pelajar (90.8%) berjaya memperolehi sijil SPM. Yang mengerikan ialah sebanyak 9.2% atau 95,493 pelajar SPM telah gagal. Apa hendak jadi dengan yang tercicir ini? Kemanakah langkah selanjutnya? Masuk askar? Masuk rekrut polis? Menjadi penjawat peringkat rendah? Jadi buruh estet atau kuli kontrak? Jadi penganggur teras (hardcore unemployed)? Atau jadi penagih, peragut, gangster?

Dan jangan lupa pada beratus-ribu yang berciciran sebelumnya. Apakah kesudahan mereka? Jika tidak menjadi "orang", jadi apa agaknya mereka sekarang? Sudahkah mereka mendaftar diri sebagai kader-kader penjenayah atau terrorist? Jika belum, siapakah yang patut menghalang mereka dari terjerumus ke jurang jahanam itu? Pernahkah perkara ini dikaji dan dihurai masak-masak? Atau serahkan kepada Jabatan Kebajikan, JAKIM, Majlis Fatwa, ustaz, NGO atau kerajaan untuk berfatwa?

ANAK MENJADI SAMPAH MASYARAKAT: SALAH SIAPA?

Lain pula kisahnya di lokasi metropolitan. Beberapa hari lalu agensi pemerintah telah menyerbu sebuah disko untuk menangkap remaja-remaja Muslim berusia 18-20 tahun sedang menjamu arak manakala remaja perempuannya pula berkeadaan separuh bogel. Ini bukan pertama kali. Tidak juga untuk kali terakhir jika mak dan bapak tidak ambil kisah tentang anak-anak. Anak-anak dilepaskan seperti kalkatu atau kambing-kambing yang terlepas dari kandangnya.

Tanpa penyeliaan yang mantap, anak-anak remaja pasti menjadi anjing liar yang membujur lalu melintang patah. Anak-anak remaja boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka. Tiada apa yang bisa membataskan gerak-langkah dan sepak-terajang mereka. Sang bapak dan sang mak tak ubah seperti tunggul kayu yang boleh dilempar ke dalam belukar atau di campak ke dalam unggun api. Demikianlah gambarannya. Betapa tidaknya, makbapak tidak memperdulikan anak. Maka mereka pasti menerima balasan yang serupa. Malah mungkin lebih berat lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...