Jumaat, 6 Februari 2009

Defunct vs Defunct: Siapa Menang?

Hari ini tanggal 6 Feb 2009 terjadi satu insiden riot di pinggiran Istana sempena pengangkatan sumpah pemuka-pemuka baru pemerintahan Perak. Lantaran kononnya pemuka-pemuka lama dibawah panji Pakatan Rakyat (PR) ketewasan 4 kerusi. Al-kisah, begini ceritanya: Pada suatu hari seorang makhluk dari UMNO telah melompat ke PKR, transit 3-4 hari sebelum insaf and pulang ke pangkal jalan. Tiba-tiba dua makhluk PKR melompat ke atas pagar untuk bermain wayang kulit dalam kem UMNO.

Untuk menambahkan cerewet dan terbelitnya gelanggang politik yang sudahpun tersenget-senget, seorang makhluk DAP berjaya melompat pagar tapi MCA belum sudi membuka pintu belakangnya. Takut nanti anak-anak buah komplen dituruti pelancaran sukan lompat katak secara beramai-ramai. Pun begitu, mungkinkah jagoh-jagoh pelompat parti seperti ini akan diterima baik oleh parti-parti lain? Atau mungkinkah hanya parti pinggan-mangkuk sahaja yang sudi mempelawa - itupun kalau sanggup bayar yuran keahlian.

Dipendekkan ceritera, maka wujudlah apa yang dikatakan sebagai kerajaan baru walau pada logiknya tiada siapapun yang layak memerintah - lantaran situasinya terikat 50 : 50, (BN = 28 : PR = 28). Kalau di padang bola, kena beri waktu tambahan untuk pastikan siapa dapat sumbatkan sebiji-dua gol penentu kemenangan. Jika masih juga berkedudukan seri, kemenangan akan ditentukan secara tendangan panelti.

Jika orang memandang serius dengan pertandingan bolasepak, apatah pula pertandingan politik? Ketentuan MESTI ditentukan. Tiada kedudukan "seri" dalam politik. Salah satu pesaing mesti muncul sebagai juara dan yang lain tersingkir. Ini konsep demokrasi moden. Tiada kerajaan campuran, kecuali kalau demokrasi berasaskan "rojak pasembur". Jadi, bagaimana pandangan anda? Orang tak pergi sekolah pun tahu jawabannya. Siapapun tidak layak membentuk kerajaan kerana ketiadaan simple majority. Kecuali "kerajaan rojak pasembur" yang tidak memenuhi resepi lantaran ketiadaan majoriti 66%.

Tapi, kemunculan the Three Stooges (TS) yang bertinggung di atas pagar yang kononnya bertindak selaku wakil bebas telah menyebabkan kedudukan "seri" sudah "tidak berseri" lagi. Malah akan menambahkan ketidakstabilan mana-mana pihak. TS bebas untuk menyokong atau membantah. Bebas untuk terjuni mana-mana parti atau untuk tidak berparti. Dan, alangkah bahagianya kalau tidak berparti? Tak perlu register, bayar yuran tahunan, bermesyuarat, memikul beban stress, bertanding dalam parti, melayan pelbagai kerenah gila dalam parti politik. Bukankah itu baik untuk kesihatan dan umur panjang?

Paling canggih sebagai Yang Berhormat Atas Pagar ialah elemen de facto yang dimiliki selama penggal berjalan. Peduli apa dengan caci-maki dan ejekan rakyat? Dalam konteks politik Perak terkini, TS menjadi semacam "kuasa penentu" kepada kewujudan mandat pemerintahan. Tanpa simpati mereka, tiada siapa pun punya wibawa untuk membentuk pemerintahan, baik BN mahupun PR. Dalam ertikata lain, pemerintahan yang wujud di situ pada ketika ini ialah kerajaan campuran (kalau bukan rojak pasembur). Bukan kerajaan BN yang genuine seperti yang diwarwarkan.

Rakyat tidak perlu dibohongi lantaran mereka tidak pernah jahil akan sepak terajang politik. Pembohongan sekadar menebalkan kemarahan, kebencian, ketidaktentuan dan ekstrimisme. Semua orang sudah tahu bahawa pemerintah yang wujud itu tidak lebih dari suatu desperado atau situasi terdesak - mungkinkah demi menghindari anarki rakyat serta kerenah anjing-anjing politik yang tak henti-henti menghambat dan menyalak?

Namun rakyat tidak sebodoh itu untuk diputarbelitkan. Dan ia juga membawa mesej bahawa politik Perak tidak akan menjadi lebih stabil dari sebelumnya. Lantaran pada bila-bila masa sahaja set pemerintahan yang baru akan muncul menggantikan yang sedia ada. Ia akan terus bergolak. Khususnya bila geng TS berkonspirasi untuk melakukan "surprise". Sebagai rumusan, agenda politik untuk pembangunan rakyat akan terus terpinggir. Lantaran aktor-aktor yang dipilih rakyat tergelincir di dalam longkang politik yang tiada ketentuan arah. Ini sungguh merugikan masyarakat dan negara.

Bercakap soal politkus atau Yang Berhormat Atas Pagar (YBAP), di Parlimen sendiri sudah ada spesis ini. Bisakah kita menggelar mereka sebagai "Wakil Rakyat"? Rakyat bagaimana yang diwakili? Rakyat yang tak pernah membezakan antara kaca dan permata? Atau rakyat yang dikaburi oleh janji-janji dusta dan palsu? Walaupun tidak ramai yang menjawat jawatan YBAP, dalam senario tertentu mereka masih berupaya mempengaruhi keputusan-keputusan Parlimen. Lantaran dominasi BN di Dewan Rakyat tidak sampai 66%. Dalam ertikata lain, YBAP bolehlah disamakan seperti raja sehari yang bersanding selama satu penggal politik.

Yang menarik, YBAP tak perlu bersusah-payah memerah otak atau memikirkan kos operasi bulanan yang berlebihan lantaran mereka tidak berparti. Mengapa ini terjadi? Barangkali kerana standard parti-parti politik sudah hilang piawai - seakan-akan sama tarafnya dengan parti-parti pinggan-mangkuk? Atau, dengan trend terkini, parti-parti politik dilihat tak ubah seperti sebuah bilik hotel kelas 3 atau mungkin lebih rendah darjatnya dari itu?

Mungkinkah gejala korupsi dan "hubungan pelanggan-penaung" (patronage-clientee relationship) yang melampau telah menyebabkan imej parti-parti politik cukup tercemar di mata semua? Orang dulu kagum dengan parti politik lantaran ketulinan semangat juangnya. Orang sekarang meluat kerana parti politik sudah kehilangan arah dan sesat dari landasan. Parti politik sudah hilang kemurniannya berpunca dari dasar perjuangan yang kabur dan terlalu materialistik?

Berbalik pada keruntuhan hak Pakatan Rakyat untuk memerintah Perak, demikianlah hebatnya pencak-silat kebatinan "Tok Kadok". Diperkukuhkan oleh tendangan broker-broker yang senantiasa kebuluran dan terjelir lidahnya. Sukar dinafikan ramai yang kecewa untuk melihat "hasil karya pembangunan" pemerintah yang tadinya dikatakan berkonsepkan "pakatan rakyat". Gara-gara sang kodok lagi. Bak kata perpatah: Dengan cinta ku bina istana, kau lompat-lompat, runtuh jadi pusara. Selepas ini apa pula yang akan dikuburkan? Berapa banyak? Berapa lama lagi mahu dihidangkan sandiwara hindustan ini? Bukankah sudah terlalu banyak drama di Astro?

Memang hebat poli-tikus zaman ini. Sehebat polybag! Aspirasi serta impian rakyat turut disumbatkan ke dalam polybag tersebut. Adalah suatu kerugian untuk tidak membenarkan PR meneruskan pemerintahan dan merealisasikan agenda pembangunan yang telah dirancang. Kita tidak berpeluang menguji prestasi sebenar pihak yang dulunya dicop sebagai Pembangkang dan melakukan "benchmarking". Bukankah lebih molek kalau diberikan peluang sekurang-kurangnya satu penggal. Barulah terbukti siapa kaca dan siapa sebenarnya permata. Mengapa terlalu loba untuk merampas kuasa? Kemana perginya pemikiran atau "perancangan strategik" yang pernah dipelajari sewaktu di universiti dahulu?

Maka bagi mereka yang terlalu taksub, tragedi ini terlalu pahit untuk ditelan. Seperti menelan hempedu si anakonda. Namun bagi pihak yang lain, inilah peluang terbaik untuk memulihkan kembali tenaga batin yang gersang. Al-maklumlah: jaringan politik pelanggan-penaung cukup mengenyangkan tempolok. Bukankah poketku penuh habuk sejak lebih 10 purnama yang lampau? Hatta, cerahlah biji mata yang malap. Dan belud-belud hitam pasti pulang ke lubuk. Terlalu ramai yang sudah lama terpacak untuk terjun ke dalam lumpuran wang ringgit dan konspirasi yang tidak bertepi. Peduli apa dengan pemerintahan defunct atau kerajaan senget-sebelah?

Perlu diingat bahawa ketiadaan hegemoni atau monopoli kuasa bererti pemerintah menjadi impotent. Ia sudah tentu akan menjejaskan perancangan dan menyebabkan apa sahaja dasar yang mahu digubal tidak akan terlaksana. Jadi, apakah agenda terkini? Dan bagaimana dengan agenda untuk mengenyangkan tempolok kroni dan rakan kontraktor? Selepas itu nanti barulah rangsangan untuk memperbanyakkan katak-katak air, katak hijau dan katak-katak betung terlompat-lompat dapat dilaksanakan. Memadai dengan tertonggok di atas pagar kalau segan ikut pintu belakang.

Kata orang Negri, masuk suku pun jadilah. Ini penting demi survival kerajaan defunct. Lebih tepat lagi demi survival perut, anakbini dan suku-sakat di belakang rumah sana. Lagipun kalau mahu keluar dari belenggu defunct, kita perlukan 41 kerusi, BUKAN 28 + 3. Hai, malang sungguh nasib badan.

Mungkinkah politik atas pagar akan menjadi unsur penting dalam politik negara di masa hadapan? Selepas lebih setengah abad menempuh gelombang sosioekonomi dan politik yang pelbagai, perubahan konsep berpolitik pasti terjadi. Ini kerana manusia cukup dinamik. Apatah lagi manusia yang menjadikan politik sebagai juadah kehidupannya. Sudah tentu fleksibiliti dan progresiviti amat kritikal. Kalau dulu orang merentas parti seperti katak merentas longkang, sekarang mereka melompat pagar dan bertenggek diatasnya seperti sang mengkarung atau melambung hayunan seperti roller-coaster.

Tapi itu bukan isunya. Isu hari ini ialah tercetusnya riot pinggiran istana yang cukup mencemar duli. Kecil atau besar, itu tidak penting. Yang mustahak ialah: Siapakah punca angkara durjana ini? CIA, FBI, Mossad, M16, al-Qaeda atau Spy Leman? Atau si Taliban Dalam Negeri? Atau si Melayu Baru, Melayu Lama, si Melayu Murtad? Sudah agak lama Kem Kamunting kesunyian - sejak kali terakhir pemuka-pemuka Hindraf disumbatkan. Lantai sudah berhabuk. Siling sudah bersawang. Siapa sudi mencuci? Cleaning services mungkin sudah lama dipencenkan lantaran tidak produktif. Memang tidak ceria dan bisa jadi white elephant. Oleh itu penggunaan yang optimum amat diperlukan. Atau lebih baik ditutup sepertimana penjara Guatanamo. Kecuali kalau ada yang sudi register.

Akhirnya, siapakah yang menang? Bak perpatah - menang jadi arang, kalah jadi abu. Apa erti kemenangan kalau sekadar mahu menjadi defunct atau lebih tepat lagi makan gaji buta? Mari kita lihat apakah kesudahan rentak-tari para pesilat handalan di gelanggang yang semakin usang ini. Yang pasti, masyarakat akan menanggung kerugian besar. Jalan-jalan yang berlubang bilakah akan kau tampal? Kemiskinan dan kepapaan bilakah mahu diselesaikan? Generasi muda yang terus gelandangan bila mahu kau berikan panduan dan jawatan?

Semakin lama silat dimainkan, semakin parah luka kebencian terpendam dalam dada rakyat. Oleh itu, sedarlah wahai pesilat. Hidup ini hanya sementara. Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...