Gejala sang kodok (the frog) sebenarnya bukan baru. Seawal Dato' Onn lagi sejarah telah tertulis. Beliau mengasaskan UMNO. Selepas itu beliau memutuskan untuk melompat keluar dan menubuhkan Parti Negara. Tan Sri Razaleigh Hamzah, Ibrahim Ali serta sekutu-sekutunya melompat keluar dan menubuhkan UMNO Baru atau Semangat 46 lewat 1980an. Selepas tu kedua-duanya melompat balik ke UMNO lama. Hari ini Ibrahim cukup berbahagia sebagai wakil bebas di Parlimen. Tak payah fikir kalut-malut menjadi ahli parti politik. Dan Razaleigh pula amat gembira dengan pertapaan politik di Gua Musang. Mungkin gaji bulanan masih tidak memberangsangkan. Kerana bukan sebanyak gaji perdana menteri.
Demikianlah drama politik dalam negeri. Adegan melompat dari PAS ke UMNO, UMNO ke PKR, parti itu ke parti ini, parti pinggan-mangkuk ke parti periuk-belanga berlaku secara spontan dan selamba. Seperti tidak bermaruah. Mungkin kerana adanya restu dikalangan pinggan-pinggan serta mangkuk-mangkuk yang sanggup mencemar duli dan menerima si periuk dan belanga untuk bersekongkol. Ini perkara biasa pada mereka. Agak luar biasa pada pandangan awam (civil society). Bagi rakyat, ini kerja pelik, kalau bukan gila. Mengapa mesti melompat parti walhal tugasan dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh rakyat belum dilangsaikan? Kemana perginya slogan membara ingin memperjuangkan hak rakyat? Adakah kerana pilihanraya sudah berakhir maka agenda pembangunan yang disogok kepada rakyat (demi memancing undi) turut berakhir? Kemana dicampakkan?
Sebab itu soal integriti, amanah, jujur patut menjadi agenda nombor satu dalam dada sesiapa yang mengangan-angankan jawatan politik. Bukannya cita-cita menjadi super-kontraktor, sub-kontraktor, memonopoli apa sahaja, membolot segala apa yang boleh dibolot di depan mata sehingga licin. Jika inilah yang wujud didalam hati-sanubari (walaupun cuma sepintas lalu..), maka eloklah kita undur diri sebelum lebih banyak nilai sosial dan kepentingan rakyat terkorban.
Sang kodok secara natural gemar melompat. Memang wajib melompat demi survival. Kalau duduk statik, maka umurnya mungkin pendek. Jika tidak dilenyek kereta, mungkin dibaham ular atau dipijak-pijak oleh budak-budak nakal. Tetapi mentaliti sang kodok belum sesuai untuk sebuah negara yang masih separa matang dalam budaya berpolitik. Ia akan menggoncangkan kekuatan parti dan tunjang negara disamping mempamirkan senario serta piawai berpolitik yang buruk di mata masyarakat. Mungkin kita dapat menerima keadaan ini pada tahun 2057 nanti - iaitu selepas satu abad kita wujud sebagai sebuah negara merdeka. Selagi masyarakat tidak matang, masih separuh masak, sengaja tidak mahu menjadi matang atau mengambil sikap sambil lewa dalam persoalan politik, lebih baik kita ambil sikap seperti katak dibawah tempurung. Setidak-tidaknya kita lebih fokus terhadap fungsi serta tanggungjawab di depan mata atau dalam lengkungan tempurung kelapa kita itu.
Hari ini persoalan kodok menjadi bahan gurauan pada kaum yang tidak mengerti. Hari esok ia menjadi metod utama dalam berpolitik. Tetapi hari lusa mungkin tiada esok bagimu lagi. Apa yang dijadikan bahan jajaan oleh media massa hari ini akan menjadi sesalan tak berkesudahan bagi generasi mendatang. Dalam situasi sosio-ekonomi yang bergoncang seperti kini kita sepatutnya bersikap lebih profesional. Bukannya seperti sang kodok yang terlalu rajin melompat seraya memanggil hujan. Tahukah apa bencananya kalau hujan turun tanpa henti selama 5 hari? Seluruh Kuala Lumpur akan tenggelam, kecuali menara PETRONAS dan menara Bukit Nanas. Dan negara akan terjejas teruk. Dharurat terpaksa diistiharkan. Hanya Sang kodok yang bisa tersenyum gembira di singgahsana. Tetapi yang merana ialah rakyat jelata, terutama golongan papa kedana.
Terbaru ada pula sang politikus yang mengetengahkan istilah "super-frog" atau "kodok besar". Mungkin si "kodok perkasa" agaknya (sebagaimana superman = orang perkasa...). Dikatakan bahawa super-frog menjadi punca pada kekalutan politik yang berlaku pada saat ini. Adakah ini benar? Atau persepsi sempit, promosi murahan serta permainan sentimen yang sekadar merencamkan lagi "sambal belacan" politik di negara ini - demi untuk menambahkan lagi citarasa asam, garam dan belacan dalam gelanggang politik nasional? Ini sesuatu yang menarik.
Tapi kalau ia cuma seekor kodok, itu mudah dibereskan. Letakkan seekor anakonda dan semuanya akan selesai dalam beberapa saat. Mana pernah dalam sejarah ular sawa dibaham kodok? Tapi jika sang kodok memiliki kekebalan (imuniti) atau Taming Sari, maka tamatlah riwayat sang anakonda. Suatu isu yang mungkin tersembunyi di sebalik wayang kulit parti-parti politik kita ialah kewujudan super anakonda yang separa kebal. Apabila ini terjadi, maka sang kodok pasti bertaburan keluar merentas tempurung kelapa demi survival, demi anakbini, demi sukusakat di kampong halaman, di New York, di Paris, Geneva atau di Belgrad. Bukan senang bekerja sebagai "tukang-tukang ampu politik". Amat berat dan berisiko tinggi. Sentiasa hidup bawah tekanan tempurung kelapa para anakonda atau buaya tembaga yang perkasa.
Sebab itu keupayaan untuk melompat jauh atau melenting tinggi amat penting. Semakin jauh semakin baik. Tapi kalau berupaya menggunakan galah untuk melompat setinggi mungkin, itu lebih dikagumi. Lebih mudah dan sesuai untuk diberikan jawatan besar. Mungkin menteri belia dan sukan. Setidak-tidaknya menteri kerjaraya. Ah, apa-apa menteri pun boleh. Siapa tidak mahu jadi menteri? Orang hilang akal pun mahu.
Disamping itu nyawa sang kodok juga cukup terikat pada tenungan atau "telekan" para bomoh dan "tukang telek" politik disamping tangki-tangki pemikiran (think tanks) yang bernafas dibawah kerakusan buaya-buaya tembaga atau anakonda tadi. Maka ada sesetengah bertukar menjadi kontraktor politik yang terpaksa bergadai nyawa dalam gelombang politik berasaskan wang ringgit. Jika lemas, maka tamatlah riwayat. Mujurlah naluri dan ilmu sepak terajang sang kodok tetap diwarisi dan diamali. Bagi yang pernah menuntut ilmu ikan keli, mereka lebih hebat. Kerana mampu bernafas dalam lumpuran rasuah politik tanpa bantuan gas-mask. Hilang tanpa di kesan BPR. Mungkin ada yang pernah menuntut ilmu ghaib.
Golongan ini boleh terus hidup bergelumangan ringgit yang entah dari mana datangnya. Tahu-tahu semua sudah bertonggok didepan mata. Itulah berkat titik peluh sebagai broker politik. Sama seperti broker kereta atau tanah. Cuma ia lebih glamor tetapi tersembunyi. Menjanjikan pulangan berlipat ganda. Khususnya kalau memiliki saka sesumpah yang boleh bertukar-tukar warna. Semua ini diperlukan kalau mahu ligat dalam gelanggang politik dan tangga-tangga politik. Tetapi jika inilah mentaliti dan perangai yang cuba dipertahankan dalam peradaban politik nasional, maka ia tidak ubah seperti mengarak api dalam sekam yang akhirnya akan membakar negara ini.
Kita wajar pulang ke pangkal jalan. Mengapa kita masuk politik? Apakah tujuan asasi? Kemanakah arah atau haluan yang mahu dibawa rakyat dan negara ini? Sejauh mana aspirasi masyarakat dimengerti dan direalisasikan? Bagaimanakah cara untuk melaksanakannya? Sebab itu kita harus bertanya pada diri sendiri - layakkah aku memimpin rakyat ini? Atau nanti aku sekadar menjadi talibarut kepada imperialis barat dan timur, neokonservatif, zionis, "penyamun quasi" atau pembohong besar negara? Apabila kita rajin mempergunakan akal dan bermuhasabah, insyaallah Tuhan akan memberi jalan. Yang merbahaya ialah jika kita takkabur, tidak jujur pada diri sendiri. Inilah penyakit yang telah menerbitkan harubiru politik di rantau ini dan rantau timur tengah. Segalanya bermatlamatkan kepentingan peribadi. Rakyat dan negara dipinggirkan didalam longkang. Apatah lagi agama!
neosangsapurba..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan