Tiada yang lebih membebankan selepas gejala sosial dan kerosakan aqidah selain fitnah. Fitnah lebih hebat dari membunuh. Demikian antara ingatan Rasulullah s.a.w. Ia menggambarkan betapa impak fitnah bisa meruntuhkan sistem masyarakat. Jalinan harmoni dan solidariti boleh dibenamkan oleh sebaris kata yang diluahkan oleh bibir mungil dan lidah yang lembut. Sesungguhnya ketajaman mata pedang gagal mengatasi ketajaman lidah seseorang.
Mahu tidak mahu, kita harus akur dengan apa yang telah dipesankan. Fitnah lebih dasyat dari segala bentuk kedasyatan maya. Lantaran ia pencetus kepada huru-hara, kecelaruan, pertelingkahan, permusuhan, peperangan dan kemusnahan. Bukan sekadar api dalam sekam, malah melampaui langgaran tsunami di Banda Acheh atau serangan 11 September yang meranapkan tunjang kebanggaan Amerika. Dalam ertikata lain, ia tidak sepatutnya dijadikan alat berpolitik atau memburu kepentingan peribadi.
Fitnah amat berat dosanya - lantaran parahnya cukup besar. Persoalannya, manusia masih terus mencipta fitnah dengan matlamat yang tersendiri. Mereka tidak gentar pada janji Allah Taala. Malah mereka berani mendabik dada dan bersumpah atas nama apa sahaja asalkan niat tercapai. Inilah antara keberanian-keberanian manusia akhir zaman. Tunggangan mereka ialah media massa (samada arus perdana atau tidak) yang membekalkan perbagai bahan yang berbaur antara kebenaran dan kebatilan. Hingga kita terkeliru - siapakah yang sebenarnya berada dipihak yang benar - Hang Tuah atau Hang Jebat? CNN atau The New York Press? Atau, kesemuanya sama sahaja?
Penutup: Tepuk dada tanya selera. Dunia sedang dilanda bencana akhir zaman yang amat besar. Manusia semakin meminggirkan kepentingan aqal - kerana terjebak dalam belenggu emosi dan persepsi sempit yang hanya membinasakan.
neosangsapurba..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan