Tidak masuk akal. Malah orang gila sekalipun akan mengatakan ini kerja gila. Samada dalam filem hollywood, Hong Kong atau bollywood, penyamun pasti tewas ditangan Hero dan bukan sebaliknya. Lain pula kisahnya di Malaysia. Mitosnya ialah: Seorang penyamun kereta mewah mati sewaktu dalam tangkapan polis. Belumpun sempat dibicara, dibuktikan prima facie dan dijatuhi hukuman. Ratusan malah mungkin ribuan manusia menghadiri upacara pengembumian yang juga melibatkan kehadiran kereta mewah. Amat mengagumkan. Mengalahkan seorang menteri. Gugur sebagai hero atau wira yang memperjuangkan hak-hak untuk bebas menyamun di negara ini - lantaran berjaya meraih simpati kelompok masyarakat yang fanatik dan berpandangan sempit.
Gejala menobatkan penjenayah sebagai hero merupakan fenomena yang agak baru (walaupun sudah basi difilemkan orang). Botak Chin, Mona Fendy serta ramai lagi samseng dan penjenayah tumbang dalam memperjuangkan genre penjenayahan masing-masing. Ada yang difilemkan semula untuk maksud komersial. Ada yang lenyap dari lipatan sejarah. Penjara Pudu yang suatu ketika menjadi kurungan utama kini hanya tinggal monumen untuk tatapan pelancong asing - betapa negara ini juga tidak mahu ketinggalan dalam indeks jenayah dunia. Namun, amat merbahaya kalau agensi penguatkuasa yang ditugaskan untuk membenteras jenayah dilebalkan sebagai Penjahat. Kecuali jika berlaku ultravirus atau penggunaan kuasa yang melampau - yang disebut sebagai penyalahgunaan kuasa. Ini memang tidak boleh diterima.
Timbul persoalan. Seandainya berlaku kematian sidituduh, suspek atau sesiapa yang ditangkap sewaktu dalam kustodian/tangkapan/reman agensi penguatkuasa, salah siapa? Mungkin commander on the ground agensi berkenaan perlu menjawab. Masyarakat ingin tahu kenapa dan mengapa perkara seperti itu bisa terjadi. Adakah kerana sakit luarbiasa, pembunuhan terancang atau kematian berpunca dari kaedah interogasi yang terlalu luar batasan dan ekstrim. Ini semua perlu diperjelaskan dengan telus. Jika tidak, integriti badan berkuasa akan terjejas. Keyakinan masyarakat akan pudar. Akhirnya pihak berkuasa di cop sebagai bermentaliti korup, gangster dan penjahat seperti dalam filem-filem hindustan dan barat. Ini tentunya sesuatu yang amat merosakkan.
Etika profesional menegaskan tentang perlunya sikap yang cukup teratur dan profesional dalam melaksana tugas. Standard Operational Procedures (SOP) perlu dibaiki dan diperkukuhkan. Tiada kompromi. Setiap kakitangan agensi penguatkuasa perlu memiliki ilmu dan kompetensi yang mendalam dalam skop tugasannya. Perlu mampu menjalankan tanggungjawab tanpa melakukan kesilapan khususnya dalam konteks mengendalikan manusia. Ini bukan perkara main-main. Jangan bermain api. Seandainya terbakar, ia berupaya melenyapkan sebuah metropolitan sebesar Los Angeles dalam beberapa jam sahaja. Jangan menduga apatah lagi mencuba. Lihat kes Altantunya. Berapa banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dibazirkan? Semata-mata untuk mengenalpasti angkara siapa semua ini? Begitu juga dengan kes pembunuhan Norita. Siapakah lelaki bertubuh besar berbau hangit yang dikatakan paling akhir meninggalkan bilik wanita malang itu? Hingga hari ini suspek masih bebas seolah-olah kes ini sudah selesai. Walhal ia masih terlalu jauh dari penyelesaian.
Semua ini bukan kerja mudah. Bergantung pada niat atau nawaitu. Namun, lebih berbahaya kalau kita ambil sikap sambil lewa (take for granted) atau mengambil jalan pintas. Keadilan tidak terbangun dengan sendirinya. Keadilan ialah suatu nilai dan tanggungjawab yang diwajibkan untuk setiap warganegara membina, menyempurna serta mempertahankannya. Tiada yang boleh lari dari tanggungjawab ini. Memang ia menagih pengorbanan. Tetapi bukannya pengorbanan dari seorang pencuri atau penyamun..
neosangsapurba...
aku pon penyamon jugak. Tapi aku maju jadi penyamun kelas tiga aje. Boleh tak?
BalasPadamBagus. Sebaik-baik penyamun ialah penyamun kelas ketiga. Sejahat-jahat penyamun ialah penyamun kelas satu atau kelas atasan.
BalasPadam