Khamis, 29 Januari 2009

Binatang Politik vs Ahli Politik?

Sarjana sains politik pernah menyebut bahawa manusia ialah "binatang" atau "haiwan politik". Binatang bermaksud haiwan. Mengapa binatang? Mengapa tidak makhluk politik? Bukankah lebih bersopan-santun? Atau, ia sekadar menggambarkan sikap azali manusia bila berpolitik atau apabila berpeluang untuk terbabit dalam gejala politik - tingkah-laku bermiripkan seekor binatang? Sebenarnya ini suatu isu yang cukup menarik untuk diperbahaskan. Hatta, sampai ke dini hari pun orang kampong sanggup bertelagah menegakkah benang basah masing-masing.

Siapa peduli? Soalnya, mengapa manusia disama-tarafkan dengan binatang? Memang saintis politik sengaja mencari penyakit apabila mengeneralisasikan manusia sebagai haiwan politik. Atau haiwan ekonomi. Atau haiwan dalam segala hal? Ini harus difikirkan. Mengapa cerdik-pandai menyimpulkan bahawa manusia ialah binatang itu dan ini? Bukankah lebih baik jika kita lebih beradap dalam soal manusiawi? Jika demikian andaian "si pandai politik", maka orang-orang yang terbabit dalam politik atau menjadikan politik sebagai periuk-nasi perlu lebih berhati-hati dan bersopan santun. Bunyinya mungkin terlalu janggal dan sumbang.

Politik adalah suatu unsur yang tertalu kuno - suatu gejala purba yang masih relevan sehingga kini. Haiwan mergastua sudah lama berpolitik. Politik bagi mereka sudah menjadi asam garam. Perhatikan sahaja kepada semut, lebah, singa, gajah, apa sahaja binatang. Kecil-besar semuanya memiliki hirarki politik yang cukup tersendiri. Ratu lebah bukan sekadar bertanggungjawab menentukan kelangsungan hidup ummahnya., bahkan memperluaskan peranannya untuk kemaslahatan "binatang" yang digelar manusia. Begitu juga kambing, kerbau serta segala macam binatang yang berterbangan atau melata. Ini jelas membuktikan bahawa siasah yang dimainkan mereka adalah mulia, suci dan cukup bertanggungjawab. Survival bangsa dan keturunan adalah matlamat pokok. Bukan seperti manusia - menompokkan harta, wang ringgit, tempolok sendiri atau menyerang negara lain atas alasan yang sasau dan gila.

Jadi, siapa sebenarnya binatang? Manusia atau haiwan? Jika benar manusia lebih berhak dimuliakan, mengapakah mereka tidak ragu-ragu untuk menindas sewaktu di tampuk kuasa? Kenapa mereka tidak silu untuk menjadi hegemon yang kejam ke atas umat manusia? Walhal binatang sekecil lebah tidak pernah menindas bangsanya walaupun terpaksa berhempas-pulas bekerja sepanjang siang. Mereka akur kepada sistem hidup yang profesional. Bagi mereka keharmonian adalah objetif utama kehidupan, selain keinginan untuk terus berbakti hingga akhir hayat. Adakah manusia sanggup mencontohi lebah atau semut kerengga? Atau manusia akan kekal sebagai keturunan yang angkuh dan takkabur?

Pendapat ada mengatakan: "Power is corrupting. Absolute power corrupt obsolutely". Mungkin benar, mungkin tidak. Malangnya lebih banyak kebenaran berbanding kepalsuan. Kegilaan untuk terus kekal di tampuk kuasa, sikap loba yang tidak berbatasan kadangkala membangkitkan kebencian yang ekstrim. Mugabe yang sudah mencecah 85 tahun masih belum puas untuk berkuasa. Suharto pula terpaksa dilucutkan kuasanya secara terhina oleh rakyatnya sendiri setelah cara demokrasi tidak berkesan. Lebih malang bagi Shah Iran dan Marcos yang terpaksa menjadi pelarian di Amerika Syarikat. Ini semua menggambarkan bahawa terkadang kuasa de jure terpaksa diruntuhkan oleh kuasa de facto. Bukan bermaksud orang tidak lagi dapat menghormati undang-undang atau perlembagaan negara. Sebaliknya ia memberi gambaran bahawa rakyat atau civil society adalah penguasa sebenar bagai mana-mana negara.

Adalah suatu kebodohan jika kita menyalahkan rakyat sebagai pencetus segala permasalahan. Di mana-mana negara sekalipun, segala kekalutan berpunca dari sikap pemimpin (atau lebih tepat lagi para politikus) yang diberikan mandat untuk memerintah dan menguruskan negara. Dan mereka dipilih khusus untuk mewakili dan merealisasi impian rakyat. Ini bukan isu baru. Julius Caesar akhirnya terpaksa dibunuh demi menamatkan penderitaan rakyat gara-gara sikapnya yang gilakan perang. Monarki Charles dan Maria Antonette diakhiri di mesin gilutin untuk memberi laluan kepada kemunculan sebuah republik. Tzar Russia dan banyak lagi monarki turut tumbang lantaran rakyat sudah jelak dengan perangai raja-raja yang zalim dan penindas. Hanya tinggal berapa kerat lagi. Mungkinkah bomoh-bomoh politik seperti Rasputin amat diperlukan demi kelangsungan monarki dunia? Jika benar begitu, para monarkis terpaksalah berkongsi kuasa dengan rakyat - demi memastikan takhta mereka tidak berakhir di muzium atau dalam teks sejarah tingkatan 3.
Segalanya perlu ada batasan. Jika pemerintah mengganggap rakyat jahil, daif dan naif, tunggu sahajalah waktunya bila rakyat telah cukup matang dalam permainan siasah. Kegoncangan politik yang melingkari Thailand contohnya menggambarkan betapa rakyat sudah tidak sanggup diperolok-olokkan. Tidak perlu kita menunggu terlalu lama untuk menikmati debarannya. Dan, tidak perlu kita menantikan majlis saintis politik mengistiharkan dalil mengapa fenomena "kalut politik" terbangkit. Ia memang sudah berakar-umbi dalam diri setiap insani sejak akil-baligh.
Rakyat tidak pernah jemu dan akan senantiasa menyoroti setiap derap-langkah atau sepak-terajang wakil-wakil mereka di parlimen atau dimana-manapun mereka itu bertakhta. Masyarakat sentiasa prihatin terhadap kacang-kacang yang gemar lupakan kulit. Terutamanya kacang-kacang hantu yang apabila diberi amanah atau mandat gemar memutarbelitkannya dengan pelbagai hujah dan alasan. Rakyat dimana-mana negara sekalipun ingin melihat janji-janji ditunaikan. Bukan apabila diberikan jawatan maka mereka bertukar menjadi haiwan yang tidak kenal halal dan haram, kawan mahupun lawan. Masyarakat tidak berapa kisah kalau wakilnya itu hanya seorang yang bodoh yang cuma tahu berniaga minyak urat atau akar-akar kayu sahaja. Kerapkalinya mereka mahukan orang yang jujur, matang, bijaksana, berwawasan dan paling penting bermaruah dan amat menitikberatkan integriti dan agama. Itu sudah memadai, walaupun cuma lulus SPM gred 3 sahaja.

Sebagaimana sang semut atau sang lebah, mereka tidak kisah membanting tulang pagi dan petang lantaran akur bahawa dasar kehidupan amat bergantung kepada elemen integriti dan maruah diri - yang tidak boleh diperniagakan seperti rokok kretek haram di pasar malam. Arakian, tepuk dada tanyalah selera. Terserahlah kepada hati-budi mereka yang bersiasah itu sendiri. Apa yang sebenarnya mereka kejar? Berapa banyak kuasa atau jawatan politik yang mahu disandang? Berapa banyak harta-karun yang mahu dibolot untuk dibawa ke lubang kubur? Dan, mungkinkah kita akan berpeluang melihat firaun-firaun akhir zaman berlumba-lumba membina pyramid lebih besar? Atau mungkin kita telahpun melihatnya tetapi pura-pura tidak melihat?

Agaknya kemanakah perginya kekayaan-kekayaan negara selama ini? Selepas lebih setengah abad merdeka, nampaknya ia masih belum muncul sepenuhnya. Golongan bumiputra masih bergelut untuk memenuhi kuota 30% ekuiti dalam negaranya sendiri. Masih ramai warga yang terpinggir di setinggan-setinggan tanpa air bersih, makanan secukupnya, kepapaan, terbelenggu, tercicir dalam serba kedaifan. Walhal wakil-wakilnya sibuk mengejar bola golf di Genting, Fraser Hill atau Royal Club Golf yang bertabur disana-sini.

Apa inikah aspirasi rakyat? Untuk melihat wakil-wakilnya bergelak-ketawa bersorak-sorai di padang golf, di hotel-hotel 5 bintang atau di kelab-kelab eksklusif? Atau membazirkan wang negara di luar negeri atas nama promosi atau mencari rakan dagang? Sedangkan si miskin terus terlantar tanpa pembelaan. Malah mungkin mereka tiada masa untuk kenal siapa wakil yang sepatutnya datang membela - lantaran terlalu sibuk melayani perutnya yang kelaparan?Terpinggir dari akses terhadap kemajuan. Dan, apa ertinya modenisasi kalau perut tidak mampu di isi? Persetan dengan menteri, raja, ketua pengarah, penghulu, apa-apa sahaja. Bagi mereka yang penting ialah kesengsaraan yang terpaksa ditanggung sendiri! Hinggakan upaya untuk membeli kain kafan sendiri atau membayar upah lubang kubur mereka masih diragui - mampukah aku atau aku terpaksa mengharap belas dari jiran sekampong. Dan ini akan menjadi bahan gelak ketawa di radio, di padang golf, di hotel 5 bintang atau di parlimen suatu hari nanti?
Kengerian seorang politikus ialah kecundang dalam pilihanraya. Tetapi kengerian rakyat ialah tersalah pilih wakil. Lantaran mereka tidak pernah tahu asal-usul calon-calon yang disenaraikan bertanding - samada wakil yang dipilih nanti boleh diharap atau tidak. Jika tersalah pilih, buruklah padahnya. Sesal kemudian tiada gunanya. Kerana undian hanya dijalankan 4-5 tahun sekali. Maka tunggulah di akhir penggal. Mudah-mudahan akan muncul mereka yang benar-benar layak untuk diberi mandat. Apa beginikah cara masyarakat berfikir. Mungkin di zaman Hang Tuah ianya dapat diterima. Tetapi jangan lupa. Hang Jebat muncul di zaman Hang Tuah. Apatah lagi di zaman ini? Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Pilih wakil berhati-hati, pilih parti jangan sekali?

Ramai lulusan-lulusan pelbagai institusi telah menjadi tunjang kepada kebangkitan intelligensia di Thailand dan Indonesia. Tidak terkecuali di Singapura dan Malaysia. Kebangkitan kelas menengah terpelajar ini bukan baru. MPSI (sekarang UPSI) merupakan antara kilang-kilang terawal yang mengeluarkan nasionalis-nasionalis yang menjana kemerdekaan negara dari British. Semangat Hang Jebat akan tetap menular dalam diri rakyat. Hanya waktu sahaja yang bakal menentukan kebangkitan sebenar mereka. Tetapi semangat ini telah diperluaskan kepada semua walaupun subjek sains politik sudah seperti tidak bernilai akibat serangan subjek-subjek sains, teknologi dan pengurusan selain kekangan-kekangan birokrasi jahiliah.

Ironi, biarpun kian tersisih, sains politik tetap bertakhta di hati sebagai perkara nombor satu terutama dikalangan mereka yang mabuk dan gilakan kuasa. Maka golongan intelligensia akan bertindak sebagai penstabil kepada pengaruh penguasa-penguasa politik - demi mencegah rasukan politik yang menggila. Demi menentukan pemuka-pemuka politik tidak sewenang-wenangnya memutarbelitkan mandat yang diberi atau berpendirian songsang seperti si penagih dadah. Dan, yang paling kritikan - demi memastikan ahli politik tidak bertukar menjadi binatang politik. Jika binatang politik dibiarkan bermaharajalela, ia akan membiakkan ultravirus yang melampau, penindasan dan korupsi yang tidak terkawal. Mungkin berakhir dengan revolusi yang didalangi oleh ekstrimis.

Kita perlu menolak fanatism mahupun ekstrimism. Islam menegaskan tentang peri-mustahaknya bersikap moderate. Pun begitu, keadaan senantiasa berubah. Senario politik di timur dan barat pasti mempengaruhi sikap, pemikiran serta ideologi individu. Sikap terorism yang kian menulari pendirian politik hari ini pada asasnya bermula sejak wujudnya tamaddun manusia. Bererti ia suatu yang teramat kuno tetapi tetap relevan dengan perkembangan zamandan diterima oleh sesetengah masyarakat sebagai gagasan berpolitik. Bagaimana kita mampu menolak sesuatu yang sudah tercatat dalam lipatan sejarah? Manusia akan terus mengganas selagi kemahuan atau tuntutan asasi mereka tidak dipenuhi. Sebagaimana sang singa, ia akan terus mengganas selagi perutnya tidak dipenuhkan!

Lantas, jika anda mahu bersiasah, bersiasahlah dengan akal yang waras. Dan jika sudah diberi mandat, bersikaplah sebagai seorang hamba yang tahu bersyukur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...