Selasa, 8 Mac 2022

KASTA DALAM BIROKRASI: Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) vs Pegawai Tadbir Am (PTA)

(Nota ini telah siap ditulis pada 20 Okt 2010 jam 1155 pagi - hampir 12 tahun yg lampau. Mari kita renung samada ia masih relevan dgn realiti sekarang atau samasekali tidak relevan...)

Dalam kesibukan pemerintah cuba mentransformasi konsep tadbirurus negara dan kerajaan, masih ada lagi suara-suara sumbang atau separa-sumbang yang mengetengahkan pelbagai isu yang menyinggung kepentingan peribadi atau sekumpulan orang. Ada yang menyuarakannya secara terbuka. Ada juga yang menggunakan NGO sebagai platform perjuangan.

Pokoknya, ada banyak lagi persoalan yang masih belum terlerai. Memang wajar pun. Sebab idea transformasi ini masih baru. Ia mungkin memerlukan waktu. Samaada pendek atau panjang, itu bergantung pada kompetensi semua pihak di semua peringkat. Termasuklah pihak swasta, rakyat serta masyarakat kontemporari yang wujud dalam negara pada umumnya. Semuanya perlu memikul tanggungjawab sesuai dengan status-quo serta peranan masing-masing. Semua perlu komited dan bekerja keras dengan penuh integriti.

Dalam konteks badan utama kerajaan iaitu birokrasi, faktor sumber manusia amat penting. Birokrasi sebagai tulang belakang serta jentera penggerak segala dasar serta perancangan negara perlukan reformasi serta transformasi yang berterusan sesuai dengan kehendak zaman. Para birokrat (samaada golongan PTD atau PTA) adalah aset utama pentadbiran awam yang perlukan kekuatan, kecekapan serta kejujuran yang diperkukuhkan. Tanpa unsur-unsur asas ini, kumpulan birokrat tidak lebih dari besi buruk yang hanya membebankan sistem pentadbiran negara.

Tetapi tulisan kali ini sekadar ingin memberi tumpuan kepada pertembungan antara kelompok Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dengan kelompok Pegawai Tadbir Awam biasa (PTA). Ia merupakan isu yang sering cuba diketepikan. PTD (atau dahulunya di gelar MCS atau Malayan Civil Services) adalah hasil tinggalan penjajah British yang berjaya ditanam sehingga berakar-umbi menjadi seperti "duri dalam daging" kepada kelompok-kelompok perkhidmatan awam yang lain. "Duri" yang tidak mungkin mampu dibuang buat beberapa lama lagi.

PTD dianggap sebagai elit birokrasi. Pegawai-pegawai PTD sentiasa memiliki peluang terbaik dalam pelbagai aspek samaada kenaikan gred, kenaikan pangkat, darjat dan sebagainya. Mereka juga sentiasa berpeluang untuk ke luar negara dan merangkul posisi-posisi tertinggi dalam birokrasi. Peluang untuk mereka menyelinap ke dalam pelbagai kementerian atau jabatan senantiasa ternganga luas. Lantaran berada dalam kelompok istimewa atau darjat "inner circle" dalam sektor birokrasi maka mereka berada dalam gerombolan "birokrat ultra" yang sentiasa terjaga kerjaya dan masadepannya berbanding PTA serta penjawat-penjawat awam lain.

Berbanding dengan pegawai-pegawai pengurusan profesional yang lain, kelompok "ultra" inilah yang menguasai hampir semua posisi terkanan dalam sektor awam. Sebut sahaja jawatan Ketua Pengarah atau Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, siapa lagi yang bersekongkol dengan jawatan tersebut kalau bukan golongan PTD. Jawatan-jawatan kanan yang berprofil rendah akan diserahkan kepada kasta PTA atau mana-mana yang sedarjat dengannya.

Maka tidak hairanlah kalau golongan JUSA didominasi oleh kasta PTD, selain dari profesor-profesor, pengetua-pengetua sekolah atau pengarah institusi-institusi yang terpilih, atau mereka yang mempunyai rangkaian yang erat dengan penguasa-penguasa politik serta pihak berkuasa atasan. Hanya sebilangan kecil pegawai PTA berpeluang melompat ke darjat JUSA. Itupun untuk maksud persaraan jika bernasib baik. Ini kerana darjat JUSA lazimnya cukup bergantung kepada corak permainan politik oleh pihak-pihak yang empunya wewenang.

Dalam konteks kenaikan gred contohnya, golongan PTD bermula dengan gred M41 tetapi waktu yang diperlukan untuk melangkau ke Gred M48 cuma disekitar 6 ke 7 tahun perkhidmatan. Dan bagi golongan PTD kasta "lorong laju", mereka boleh mencapai tahap M52 atau M54 sebelum tahun ke 10 perkhidmatan. Pada tahap usia semuda 33 atau 34 tahun, mereka telahpun menyandang jawatan Timbalan Pengarah atau Timbalan Pengarah Kanan dan memimpin unit atau jabatannya sendiri. Sedangkan rakan-rakan seangkatan yang boleh bertugas sebagai guru DG41 atau penolong pendaftar N41 masih berserabut merebut peluang gred DG44 atau N44.

Tidak ramai yang melihat jurang perbezaan yang kian meluas ini. Dan tidak ramai yang percaya bahawa "sistem kasta" yang disahkan oleh undang-undang negara ini boleh melumpuhkan birokrasi apabila tiba ketikanya. Unsur-unsur ultravirus, korupsi serta penyelewengan-penyelewengan lain yang berlaku di jabatan-jabatan awam mungkin ada kaitan dengan kewujudan "sistem kasta" ini. Ini belum mengambil kira rasa tidak puas hati dikalangan penjawat-penjawat awam yang melihat golongan PTD dianak-emaskan hampir dalam setiap aspek. Suatu penyelidikan yang holistik dan mendalam perlu dilaksanakan sebelum kudis menjadi pekong yang memakan diri serta mengembang-biakkan "ulat-ulat birokasi".

Jika dikaji, apakah yang terlalu hebat dengan PTD? Hinggakan mereka boleh ditempatkan hampir dimana-mana sekalipun. Lihatlah dimana-mana. Ada-ada sahaja jawatan untuk PTD. Terutamanya yang melibatkan kewangan. Malah di Jabatan Pendidikan Negeri pun ada "wakil" atau segerombolan PTD. Jangan sebut pejabat-pejabat setiausaha kerajaan negeri. Apatah lagi jabatan-jabatan awam, agensi-agensi yang bertaburan disana-sini. Jangan sebut kementerian-kementerian, lantaran itu semua adalah kubu, sarang atau sawang-sawang mereka.

Setelah lebih setengah abad merdeka, maka sudah tiba ketikanya "sistem kasta" dimansuhkan dari lanskap birokrasi negara ini. Sistem tinggalan penjajah ini mungkin sudah terlalu usang untuk dipertahankan. Kita bercakap soal transformasi. Maka inilah ketika terbaik untuk membasmi "kudis tua" ini. Jadikan PTD dan PTA itu sama. Jangan diasingkan. Hapuskan jurang-jurang yang wujud dalam sektor birokrasi. Sesiapa sahaja dalam perkhidmatan sektor awam perlu diberi peluang yang serupa. Wujudkan kesaksamaan dalam sistem kerajaan awam.

Sudah tiba masa untuk kita menoleh kiri dan kanan serta ke belakang. Hentikan amalan-amalan karut serta konsep-konsep sempit yang selama ini dijadikan amalan kerana ia sekadar melembab, menyesatkan dan mencipta hipokrasi dalam organisasi. Selain iatu ia juga akan menjatuhkan moral dan mengecewakan mereka yang benar-benar kompeten dan kaya integriti.

Selama ini kita kerap menaruh syak terhadap sektor awam. Kita terlalu mudah menuduh yang bukan-bukan terhadap birokrasi dengan tohmahan-tohmahan yang pelbagai. Walhal kita lupa bahawa sebilangan besar jabatan-jabatan ini diperintah oleh golongan PTD yang terkadang terlalu mentah untuk memimpin dan membuat keputusan. 

Lantaran terlalu percayakan ketinggian darjat PTD, kita sanggup mengorbankan moral dan kecekapan jabatan serta kakitangannya. Kita selalu alpa bahawa kekerapan kegagalan jabatan-jabatan awam berfungsi secara tangkas ialah sikap serta mentaliti golongan PTD yang terlalu mentah dengan pengalaman selain dari kegemaran mereka berpolitik dan menjaga kepentingan kerjaya masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...