Apa nak jadi kalau suratkabar menjadi alat propaganda dan indoktrinasi politik? Sepanjang hari apabila menatap samaada sukarkabar versi perdana atau tabloid, akal fikiran kita akan cuba disumbati agenda-agenda politik yang pelbagai. Para broker politik seolah-olah menjadikan otak-otak si pembaca suratkabar bagai "taufu sumbat" yang dipaliti dengan cili sos dari negeri Siam. Maka jadilah mentaliti mereka itu bagai taufu sumbat yang padat dengan taugeh rendam, sos pedas dan timun dihiris lencung. Enak dimakan, tetapi belum pasti berapa lama arsenite dan pengawet beracun yang terkandung dalam timun lencung, taugeh, sos dan taufu itu akan membaham nyawa si pemakannya.
Sewaktu di sekolah menengah dahulu guru sering mengingatkan saya untuk membaca suratkabar. Matlamat utama ialah untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu?) dan memantapkan ilmu dalam konteks pengetahuan umum. Atas nasihat itu, saya menganggap akbar sebagai bahan bacaan yang penting dan terhormat. Tidak terlintas untuk memikirkan selain dari itu. Barangkali mungkin kerana itulah agaknya maka (tidak hairanlah jika) ada makhluk yang sanggup membelek suratkabar hingga berjam-jam lamanya di warong-warong kopi. Hinggakan iklan-iklan kecil dan besar habis dibacai dan dihafali.
Saya juga terdorong untuk membaca karya-karya sastera yang banyak dipaparkan oleh akbar-akbar Melayu pada ketika itu. Shahnon Ahmad, Keris Mas, Arenawati masih lagi aktif berkarya, selain dari tokoh-tokoh baru seperti Anwar Ridhwan, Muhammad Hj Salleh dan ramai lagi. Mungkin kerana itu agaknya saya boleh memahami pelbagai genre sastera termasuk karya-karya klasik. Dan penguasaan saya dalam "Bahasa Melayu" pun masih boleh bertahan hingga sekarang meskipun cuma dapat C3 untuk subjek Bahasa Malaysia untuk MCE dan Principal "C" waktu ambil STPM. Suratkabar jadi sandaran utama lantaran ketiadaan teks-teks "Contoh Jawapan" sebagaimana sekarang. Tambahan, akbar-akbar di zaman itu tidak banyak memaparkan isu-isu kalut yang memeningkan seperti kecamuk politik atau ideologi berbanding sekarang. Zaman itu tidak banyak kontroversi berlegar disekitar politik dalaman dan luaran selain dari penentangan keras ke atas ideologi komunisme, sosialisme dan entah apa "isme-isme" yang lain.
Saya masih ingat ketika "Tiga Dollah" di sumbat ke Kem Kamunting (dibawah ISA) kerana disyaki terbabit dalam gerakan subversif di era Tun Razak. Ia dianggap sebagai suatu berita yang menggegar minda masyarakat di ketika itu lantaran ketiga-tiga manusia ini merupakan pejuang-pejuang kemerdekaan serta tokoh yang cukup berpengaruh dalam arus perdana politik negara di era tersebut. Mereka disyaki terbabit dalam gerakan sosialisme komunisme "bawah tanah" (underground?). Tidak cukup dengan itu, mereka juga dipaksa untuk membuat pengakuan langsung melalui kaca television hitam-putih pada ketika itu. Dan, saya terpaksa ke rumah abang ipar untuk menonton pengakuan khas itu lantaran tidak mampu membeli suratkabar secara tetap.
Tetapi senario kini sudah jauh berbeza. Harga suratkabar sudah meningkat walaupun masih boleh dianggap rendah. Malangnya, kualiti inipatinya merosot dan terus merosot seiring dengan peredaran waktu. Ia digantikan oleh perkara-perkara yang tidak bermutu, tidak konsisten dengan kehendak masyarakat dan kadangkala langsung tidak relevan untuk dikabarkan kepada umum. Terkadang amat menjijikkan untuk ditatap. Dan terkadang lagi, ia dipenuhi jaringan perangkap. Agenda demi agenda yang dibentangkan secara implisit, eksplisit atau diselitkan di pelbagai sudut ialah untuk memerangkap minda pembaca. Ini diburukkan lagi dengan bangkitnya Internet sebagai gergasi maklumat yang cukup dominan sekarang. Implikasinya, suratkabar menjadi bahan tatapan "berpengutamaan rendah" (low priority).
Mungkin orang-orang kampong masih setia kepada suratkabar. Manakala orang-orang bandar hanya berminat untuk menatap berita saham jatuh, harga minyak turun-naik, artis mana yang bercerai-berai, politikus mana yang kawin di Siam atau pasang satu lagi, atau pasukan mana yang menang bola malam tadi. Mereka hanya ada masa selama 15-20 minit untuk "glance through" suratkabar yang dibeli dengan harga tak lebih RM1.50 itu. Inilah gambaran sekarang. Lantaran akbar sudah kehilangan dominasi dan taringnya dalam penyebaran berita dan maklumat, maka ia terdedah kepada kemungkinan menjadi rangkaian alat-alat perlumbaan politik.
Mengambil peluang keadaan masyarakat yang masih rendah dalam akses kepada kemudahan siber, maka akbar masih relevan untuk tujuan politik. Memang sukar dinafikan hakikat ini. Suratkabar arus perdana atau tabloid, kedua-duanya sama sahaja. Bedanya terletak pada SIAPA yang mengeluarkan akbar-akbar tersebut. Kalau parti politik atau organisasi-organisasi yang ada saham atau ada "bau-bau stokin" dengan politik, memang SAH - ia akan menjadi platform utama dalam menjuarai propaganda para politikus serta kuncu-kuncu dan para pecacai-nya. Seolah-olah para pengarang serta sidang wartawannya sudah kebankrupan modal. Dan seolah-olah mereka sudah buta terhadap peranan dan tanggungjawab kewartawanan. Berita dan ulasan-ulasan yang diterbitkan bukan lagi berasaskan sumber prima sebaliknya sekunder. Hinggakan tulisan berbahasa tunggang-langgang si blogger-blogger picisan dan biadab habis di plagiat dan dicetak ke dalam akbar-akbar masing-masing.
Dalam ertikata lain mereka hanya membaca blog dan seterusnya mengulas apa yang ditulis oleh blogger-blogger berkenaan. Tidak lagi seperti dulu dimana mereka menyerbu ke sumber-sumber berita yang asasi demi memperolehi maklumat sebenar dan mutakhir - sebagaimana kelkatu menyerbu lampu neon di waktu malam kerana terpikat dengan kilauan cahayanya. Jadi, kerja sesetengah wartawan hari ini ialah terpelesok di bilik berhawa dingin melihat blog dan seterusnya mengarang ulasan dangkal tanpa dokongan kajian. Tidak perlu lagi berpanas, berhujan atau mencurah keringat hangit untuk memperoleh maklumat.
Lebih kotor dan memalukan lagi jika maklumat diperoleh melalui SMS, Internet atau sumber-sumber yang ditulis oleh si-"golongan ingusan" yang langsung tidak berotoriti. Tetapi, inikah "standard" yang cuba diketengahkan sekarang? Selain dari diselangselikan dengan kisah-kisah artis yang sengaja dikontroversikan (sebagai pelaris suratkabar) dan adegan-adegan sukan yang tidak habis-habis dengan isu politik dalaman (untuk memanaskan keadaan), topik-topik yang "redundant" dan "berkarat" bertompok-tompok disana-sini agar pembaca akan terus merengkuk dalam kecelaruan.
Demikianlah buruknya mutu piawai akbar-akbar tertentu yang bertebaran pada hari ini. Jika tidak kerana adanya berita-berita selingan seperti sukan, berita niaga, bencana alam, ehwal antarabangsa serta iklan, maka akbar tidak lebih dari lidah-lidah buaya yang memperalatkannya untuk kepentingan politik sempit. Dalam ertikata lain, punca kerendahan mutu suratkabar-suratkabar hari ini tidak lain dari "mental block" yang dialami oleh para "penguasa" akbar-akbar ini. Hinggakan yang tersedia buta menjadi bertambah buta dan tuli. Dan yang baru belajar untuk menjadi kelabu-asap terus menjadi rabun ayam di waktu malam.
Demikianlah buruknya bahana kalau masyarakat tidak lebih berhati-hati dalam membelek suratkabar harian. Lambat-laun mereka juga akan berubah menjadi tidak berhati-perut seperti singa yang kelaparan. Awasi serta berhati-hatilah apabila memegang suratkabar. Pastikan anda memasang "mode" tapisan intelektual pada tahap paling wajar (kalau bukan yang terbaik). Jika tidak, anda pasti kecundang di tengah jalan lantaran kebodohan sendiri. Anda mungkin menjadi "ahli fitnah" sebagai "ahli-ahli fitnah" yang lain. Sanggupkah anda memamah daging saudara anda sendiri? Singa yang kebuluran sekalipun tidak tergamak memakan daging bangsanya sendiri. Kalau tidak percaya, buatlah kajian!