Rabu, 20 April 2011

DUNIA TANPA SEMPADAN: KITA BOCOR DAN TERUS BOCOR

DUNIA TIDAK BERSEMPADAN?

SEJAK DICIPTA, dunia sudahpun dibekalkan dengan pelbagai bentuk persempadanan fizikal, guna memastikan ia cukup seimbang dan stabil. Ada tujuan-tujuan khusus mengapa Allah Taala mencipta dunia menjadi sedemikian rupa. Sudah tentu ia untuk menyempurnakan bekalan bagi setiap makhluk yang melata di mukabumi ini. Sebab itu disediakan tanah, sungai, lautan, batu-batan, galian-galian, tumbuhan dan segala-galanya. Ia sebagai pelengkap kepada semua makhluk untuk hidup secara harmoni, aman, sejahtera dan tenteram seadanya.

Allah Taala juga telah menetapkan pantai sebagai persempadanan antara bumi dan lautan. Demikian juga banjaran gunung-ganang dan sungai-sungai sebagai garis pemisah antara wilayah-wilayah. Tasik-tasik besar, selat-selat sempit, pulau-pulau, semenanjung-semenanjung adalah sebahagian dari poses ini. Ia bukan wujud secara kebetulan atau mendadak. Sebaliknya, ia telah dirancang sebegitu indah dan rapi oleh yang Maha Pencipta. Hanya manusia sahaja yang terlalu ingkar untuk beriman kepadaNya.

Disamping itu, Allah Taala juga telah menetapkan apa atau bangsa/sub-etnik yang bagaimana yang akan menghuni di petempatan/negeri yang bagaimana. Ia suatu kesesuaian yang telah ditetapkan sejak azali selaras dengan kehendakNya untuk menguji siapakah yang terbaik dikalangan makhluk-makhluk. Bukan dalam konteks paras-rupa, gaya, kuasa, hartabenda dan materialisme. Tetapi yang terbaik dalam konteks iman dan takwa.

MANUSIA MELETAKKAN SEMPADAN

Ada atau tidak bersempadan, manusia tetap akan mewujudkan batu sempadan masing-masing. Tuan-tuan tanah akan membina tembok-tembok yang mengasingkan tanah mereka dari tanah milik orang lain. Negeri-negeri akan menetapkan garis persempadanan masing-masing. Kekuasaan, kekayaan dan hartabenda akan menjadi tandasempadan yang memisah atau memperluaskan jurang sosial dikalangan manusia. Istilah DARJAT atau kasta yang dicipta oleh pendokong-pendokong materialisme adalah sempadan maya yang kadangkala amat trajis. DARJAT juga dijadikan alasan untuk menjajah kaum, bangsa atau kedaulatan negara-negara lain.

Bermula dengan perletakan batu sempadan, ia diakhiri dengan siri-siri intervensi atau pencerobohan keatas kaum-kaum yang lebih lemah oleh bangsa-bangsa yang lebih kaya dan kuat. Mereka menceroboh dan menjajah demi memperluas sayap pengaruh dan kuasa serta mempertingkatkan lagi kekayaan yang sedia ada. Mereka akan merampas segala apa yang ada dalam negara-negara yang mereka jajah. Mereka akan mencabut apa sahaja yang boleh dicabut, termasuk iman dan aqidah. Demikianlah rakusnya manusia.

Dan, ini dalam situasi dimana wujudnya SEMPADAN. Bagaimana kalau nantinya tiada lagi persempadanan? Adakah dunia akan menjadi tempat yang lebih harmoni dan sejahtera? Atau, bumi ini akan bertukar menjadi neraka jahanam akibat nafsu serakah manusia?

MANUSIA PERLU MENGGUNAKAN AKAL DAN SELALU BERFIKIR

Dalam pada itu, setiap umat itu dituntut untuk sentiasa menggunakan akal serta berfikir. Mereka perlu memperbaiki diri masing-masing dalam apa aspek sekalipun. Begitu juga dengan para pemimpin serta kualiti kepimpinan mereka. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu umat jika umat itu tidak cuba mengubahnya.

Ini merupakan prinsip asas yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap insan dan umat. Tuhan telah membekalkan alam maya ini selengkapnya untuk faedah manusia. Terpulanglah kepada mereka untuk mengurus segala sumber dengan bijaksana, adil dan saksama. Jika mereka bersikap positif, adil dan mematuhi perintah Allah Taala, Insyaallah, bahagia dan tenteramlah umat. Tetapi jika mereka bersikap zalim, mungkar dan khianat, maka sengsaralah rakyat. Pilihan ditangan mereka. Mahu jadikan bumi ini tenteram? Atau "neraka dunia"..?

Lantaran itu, dalam memilih atau melantik manusia sebagai pemimpin dan pengurus (yang akan menguruskan keperluan-keperluan masyarakat), kita hendaklah menggunakan akal yang tajam dan tahap kebijaksanaan tertinggi. Ini kerana kita akan dipersoalkan (nanti) mengapa memilih "syaitan" sebagai pemimpin kita? Kita perlu sedar bahawa bukan semua orang layak menjadi pemimpin, khususnya pemimpin masyarakat, apatahlagi wilayah, negeri dan negara.

Kita perlu mengambil pengajaran mengapa Rasulullah s.a.w enggan memberi jawatan gabenor kepada Abu Hurairah r.a. (salah-seorang Sahabat yang telah dijamin Syurga) walaupun Abu Hurairah merayu untuk mendapatkan jawatan tersebut. Ini soal kepimpinan. Sebagai seorang rasul, baginda tahu bahawa Abu Hurairah tidak akan mampu untuk menanggung beban berat sebagai seorang pemimpin, apatah lagi diperingkat negeri. Beliau akhirnya dilantik menjadi gabenor Madinah di era pemerintahan Muawiyah. (Abu Hurairah merupakan antara perawi hadis yang terkemuka. Beliau dikatakan telah merawi sebanyak 5,374 hadis).

Mengapa proses pemilihan kepimpinan cukup kritikal kepada sesuatu umat? Dan, mengapa Rasulullah s.a.w tidak pernah menentukan siapa yang bakal menggantikan baginda nanti? Ini memberi maksud bahawa umat perlu menentukan sendiri siapa yang hendak mereka berikan mandat dan tanggungkawab untuk memimpin. Ini kerana ia merupakan suatu proses "cukup berat dan bertanggungjawab". Ia menuntut kepada kematangan dan kedalaman berfikir, menilai, menganalisis dan akhirnya membuat keputusan. Jangan sampai kita tersalah pilih. Buruk padahnya nanti.

Pun begitu, kadangkala kita dihadapkan dengan dilema. Kita tidak tahu siapa paling layak untuk jadi pemimpin. Sebab, kerapkalinya kita tidak diberitahu siapa dan apakah latarbelakang si individu yang mencalonkan diri sebagai pemimpin. Adakah mereka seorang yang baik? Atau, syaitan yang bertopeng manusia? Kita kerapkali gagal untuk mengetahui. Lantaran sistem dalam negara ini tidak mewajibkan seseorang calon itu mendedahkan segala rekod-rekod mereka yang terdahulu. Entah berapa kali mereka masuk penjara. Entah berapa banyak rasuah yang mereka babit. Entah berapa perempuan simpanan yang mereka simpan. Dan, entah berapa juta wang rakyat sudah mereka belit. Kita tidak tahu. Kita tidak pernah menatap "resume" atau "curriculum vitae" mereka. Yang kita tahu, makhluk-makhluk tertentu akan berentap menjadi calon bagi wilayah-wilayah tertentu. Tidak lebih dari itu. Bukanlah tidak ada yang bersikap agak telus. Tetapi, hanya berapa kerat?


ADAKAH KITA SUDAH TIDAK BERSEMPADAN?

BOCOR DISANA-SINI. MERATA-RATA. HAMPIR DIMANA-MANA! Bagaikan sudah tidak bersempadan lagi. Tiada had dan batasan. Tikus cencorot sudah lama naik ke beras. Gemok-boroi bagai tikus mondok di longkang-longkang Jalan Raja Laut atau sekitaran Dang Wangi.

KALAU SELUAR DALAM atau poket seluar yang bocor, itu masih boleh diterima. Masih boleh dijahit atau digantikan dengan yang lain. Tetapi jika segala-galanya BOCOR, itu menggambarkan sikap sebenar kita yang tidak pernah ambil pusing terhadap umat dan negara ini. Adakah negara lain yang boleh menggantikan negara ini? Adakah orang lain yan sudi menerima kita sebagai warga merdeka yang sedarjat mereka? Kelmarin Pulau Batu Putih lesap ke tangan orang.

Sebelum itu sumber-sumber ekonomi negara disedut serakus-rakusnya diselatan tanahair. Air kita diimport keluar dengan hanya 3 sen/seribu gelen air mentah (untuk selama 50 tahun dan 99 tahun!). Pasar borong dan pasar tani di Johor Bharu dikerumuni oleh lori-lori negara jiran yang sedia memborong segala yang ada. Dengan "kuasa beli" sebanyak 2.5 kali ganda dari kita, tiada siapa yang mampu menyaingi kerakusan mereka. Dan, bagi masyarakat peniaga di bandaraya itu, perkara pokok ialah wang. Segalanya boleh dijual kalau ada yang sanggup membeli! Termasuklah maruah, hargadiri dan nilai patriotik.

Minyak kita sudah lama bocor. Penyeludupan bahan bakar bagaikan "perilaku yang digalakkan". Subsidi minyak negara bukan sekadar untuk warganegara, malah untuk mengenyangkan temolok orang asing. Entah berapa juta kenderaan asing berlegar dalam negara ini pada sebilang masa. Dan mereka hidup dengan subsidi yang pada asalnya khusus untuk rakyat Malaysia. Tetapi, mengambil peluang kelemahan pihak pemerintah yang terlalu sibuk berpolitik dari cuba memecah kebuntuan bodoh dan mencipta strategi yang jitu memperbetulkan ekonomi negara, makhluk-makhluk asing ini memerah dan mengaut segala-galanya selagi ia sempat dibolot.

Kerajaan baru sedar untuk menetapkan "hanya" RON97 boleh dijual kepada orang asing. Siapa peduli? Siapa akan kuatkuasa? Siapa akan periksa siapa nak beli apa? Adakah sekadar cukup dengan akta larangan menjual minyak di sempadan? Bagaimana kalau orang asing menjadi pelanggan tetap kepada stesen-stesen minyak negara? Dan, bagaimana kalau ini memang digalakkan oleh negara masing-masing (sebagai salah-satu strategi untuk mengurangkan indeks inflasi bagi minyak negara (sebagaimana "pemborongan" pasar-pasar borong dan pasar tani di Johor dapat menurunkan kadar inflasi bagi bahan makanan bagi negara berkenaan). Kita mungkin tidak pernah mempelajari ilmu ekonomi. Tetapi itu bukan alasan untuk kita menjadi terlalu "naif", "bebal" dan "jahil" dalam "common sense".   

DAN KITA TERUS BOCOR SEMAHU-MAHUNYA

BAYANGKAN. Kita berbelanja sebanyak RM350,000 sehari untuk mengendalikan pusat tahanan yang memenjarakan pendatang-pendatang haram (PATI) yang terbabit dengan jenayah di negara ini. Ini bermaksud kita terpaksa berbelanja sebanyak RM10.5 juta sebulan atau RM126 juta setahun untuk sesuatu yang langsung tidak memberikan sebarang faedah kepada negara! Bukankan lebih baik peruntukan itu dijadikan biasiswa untuk pelajar-pelajar miskin atau membantu ibu-ibu tunggal serta si papa kedana yang terlantar?

Bukankah lebih bijak kalau wang yang sebanyak itu digunakan untuk membina jalan-jalan kampong atau memperbaiki sekolah-sekolah buruk di hulu-hulu? Apakah faedah atau hasilnya kita memelihara makhluk-makhluk yang tidak mendatangkan hasil ini? Bukankah lebih bijak jika dipulangkan terus ke negara asal masing-masing (melalui duta masing-masing, supaya kita tidak perlu berbelanja untuk menguruskan transportasi yang pasti membabitkan wang yang banyak!). Atau, jikapun mahu dihukumi (lantaran kesalahan jenayah yang berat), sila pendekkan waktunya. Gantikan dengan rotan. Dalam ertikata lain, perbanyakkan hukuman rotan (secara nisbah) berbanding penjaraan.

Bukan itu lebih praktikal dan masuk akal? Kadangkala orang tidak belajar di penjara. Tetapi rotan akan cepat menginsafkan mereka dari mengulangi kesilapan. Jangkawaktu penjara yang panjang hanya membazirkan kos operasi. Kos yang sepatutnya boleh disalurkan kepada pendidikan, kebajikan atau pembangunan masyarakat termiskin terpaksa dibazirkan kepada penjaraan yang tidak menyumbangkan  faedah. Kalaupun kita memberi alasan bahawa banduan-banduan penjara ada melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan (community services), benarkah ia berkesan?

Adakah ia benar-benar memberi faedah (sebagaimana kes Serenti) ? Dan, Serenti. Kita memiliki sebanyak 28 pusat Serenti di seluruh negara. Laman rasmi PEMADAM bertarikh 1 Januari 2005 memaparkan bahawa negara kerugian hampir RM100 juta setahun untuk membiayai pusat serenti. Jumlah sebanyak ini boleh disalurkan untuk membina sekurang-kurangnya 15 buah sekolah yang serba lengkap. Ini ialah angka tahun 2005. Bagaimana dengan angka sekarang? Dan, apakah strategi yang lebih berkesan selain serenti? Kos atau implikasi ekonomi sahaja sudah mencapai RM100 juta setahun. Bagaimana dengan kos sosial atau kos jangka panjang?

Kita tidak akan membicarakan kes pembalakan haram yang tidak habis-habis dibongkar di Pahang, Sarawak dan lain-lain kawasan. Begitu juga dengan pencurian pasir di Melaka, Negri Sembilan dan lain-lain lokasi. Begitu juga dengan penyeludupan minyak masak dan lain-lain. Adakah kerana lemah dalam konteks strategi dan penguatkuasaan? Atau, kegilaan terhadap suapan sudah mencapai tahap tegar seperti penagihan narkotik?

Atau kita sudah kehilangan ilham untuk melakukan sesuatu yang lebih berfaedah dengan kekayaan ekonomi yang kita ada? Kita kebocoran dan terus bocor. Wang atau dana awam (public fund) yang begitu banyak bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah TANGGUNGJAWAB. Dan WAJIB diuruskan dengan BERSIH, CEKAP dan AMANAH! Walaupun Tun Mahathir tidak lagi berkuasa dinegara ini, tetapi "slogan" beliau itu masih relevan dan wajar diterima-pakai oleh "kawan" atau "lawan" beliau. Tak kisahlah samaada slogan itu telah "diimport" atau "diciplak" dari mana-mana karya. Yang penting, ia relevan!

Dengan gelombang jenayah kolar putih yang semakin tersebar di kalangan pemuka-pemuka korporat dan birokrasi berprofil tinggi, kadar kebocoran akan menjadi bertambah luas dan dalam. Korupsi dikalangan pegawai-pegawai kanan Kastam, Imigresyen dan lain-lain adalah angkubah tambahan kepada angkubah-angkubah telah sedia ada dan sedia maklum. Selepas ini, entah jabatan atau agensi mana pula akan menganggotai kelab makan suap ini. Ini semua adalah petanda-petanda awal kepada keruntuhan moral dan etika dikalangan kita dan negarabangsa ini.

 
KESIMPULAN

Siapa kata dunia tidak bersempadan? Jika benar demikian, kita tidak akan melihat banyak konflik dan krisis muncul di kalangan masyarakat dunia. Masing-masing sibuk mempertahankan agenda geopolitik masing-masing. Masing-masing sibuk mempertahankan sempadan masing-masing. Kalaulah ditakdirkan sempadan-sempadan itu boleh dibawa masuk ke lobang kubur, pasti akan dibawa bersama. Barangkali itulah yang pernah difikirkan oleh Firaun suatu masa dahulu. Kekayaan, kekuasaan dan pengaruh harus dibawa mati bersama-sama sebagaimana aspirasi Shi Huang Di (pengasas wangsa Qin dan peneraju pembinaan Tembok Besar China). Dan, mengapa Tembok Besar Negeri China diasaskan dan terus diperpanjangkan? Walaupun tujuan asal ialah untuk menghindari kaum barbarian, hakikatnya persempadanan itu penting untuk kedaulatan dan kelangsungan hidup negara. Siapa mahu menafikan?

Dengan adanya persempadanan yang diperkukuhkan kawalannya, maka barulah kebocoran boleh ditegah atau setidak-tidaknya dikurangkan. Tetapi, unsur yang paling pokok ialah kebocoran-kebocoran moral dan spiritual yang menjurus kepada sikap zalim, perilaku sumbang, pendusta dan pengkhianat bangsa, agama dan negara. Hakikatnya, jiwa yang tidak diikat oleh batas-sempadan yang berpandukan kekuatan iman adalah perosak bangsa dan tanahair.


PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...