Khamis, 20 Januari 2011

CELAKANYA PERJANJIAN BANGKOK

MUNGKIN tidak ramai yang mampu mengingati sejarah Perjanjian Bangkok (1909) yang dimeterai oleh British dan Siam. Ia menyaksikan peralihan kuasa penjajahan negeri-negeri Melayu utara dari Siam kepada pihak British. Selama ini Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis berada dibawah autonomi Siam dan diwajibkan membayar ufti tahunan kepada HEGEMON tersebut. Perjanjian ini juga telah memastikan persempadanan yang mutlak antara Tanah Melayu dan Siam hingga ke hari ini. Persempadanan yang pada hakikatnya AMAT MENGUNTUNGKAN Siam untuk hari ini (mungkin juga untuk selama-lamanya).

Apabila negeri-negeri ini beralih ke tangan British, mereka diletakkan dibawah kategori 'Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu' (NNMTB). Ini kerana mereka dikatakan tidak memiliki institusi-institusi pemerintahan yang lengkap sebagaimana Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan tidak boleh "dipersatukan" sebagai satu wilayah sebagaimana NNMB. Adakah British menyangka bahawa wilayah-wilayah ini tidak lebih dari sarang-sarang penyamun Melayu tradisional? Demikianlah bijaknya politik British dalam konsep "pecah dan perintah"-nya di Tanah Melayu.

Pada ketika yang sama, Negeri-negeri Selat (Strait Settlements) kekal dengan statusnya (sejak Perjanjian Anglo-Belanda 1824) dan Johor (diletakkan dibawah protektorat British sejak tahun 1885) dipaksa untuk menerima "Penasihat Khas" pada tahun 1905. Pada akhirnya, kesemua wilayah-wilayah ini terpaksa akur kepada "tuan-tuan penasihat" (atau residen British). Dan hegemoni British kekal hingga negara ini dimerdekakan.

Hakikat sejarah negeri-negeri Melayu di utara tidak banyak direkodkan dan digali secara mendalam. Prasasti-prasasti yang ditemui para antropologis tidak cukup untuk membekalkan maklumat yang jitu dan saintifik berhubung kerajaan-kerajaan awal di wilayah tersebut. Sesetengah pengkaji menggunakan teks Sejarah Melayu untuk mengetahui apa yang wujud di wilayah-wilayah ini. Lebih malang lagi, ada sarjana-sarjana sejarah masih terpengaruh dengan karya R O Windsteadt, carta Ptolemy, catatan sejarawan-sejarawan India dan barat. Sebelum itu, wilayah-wilayah ini (seperti wilayah-wilayah Tanah Melayu yang lain) di-cop sebagai tidak lebih dari penempatan habitat-habitat Melayu proto seperti Senoi, Semang dan Negrito. Demikianlah "tertinggal"-nya kita dalam mengkaji dan merekodkan sejarah bangsa sendiri.

Akibatnya negeri-negeri ini dikatakan sebagai wilayah-wilayah Melayu dibawah hegemoni Siam (jika bukan sebahagian dari wilayah Siam Selatan). Sebelum itu wilayah-wilayah Melayu utara dicatatkan sebagai wilayah-wilayah kerajaan Melayu hindu dan budha sehinggalah kedatangan Islam di Tanah Melayu. Ini kata sejarah (yang tercatat dalam buku sejarah dan disogokkan kepada semua pelajar sejarah atau pengajian tempatan). Benar atau tidak, wallahualam. Bolehlah diperbahaskan hingga kiamat.

Kemalasan kita dalam mengkaji dan mencatatkan sejarah telah menyebabkan banyak isu-isu yang tertunggak tidak dapat diselesaikan dengan baik, bijak dan holistik. Isu Pulau Batu Putih (yang kini telah lesap ke tangan Singapura) adalah contoh terbaik betapa kita terlalu mengabaikan sejarah dan pencatatan sejarah. Mungkin banyak lagi pulau-pulau kecil atau besar lain akan dibaham oleh pelbagai pihak dari masa ke masa. Ini kerana kita tidak ambil kisah untuk mendokumentasi perkara-perkara penting yang terjadi dalam lingkungan wilayah dan bangsa sendiri. Kita terlalu sibuk berpolitik, berpolitik, berpolitik. Isu penjualan (pengeksportan?) pasir ke Singapura contohnya langsung tidak diambil hirau. Walhal dengan pasir itulah negara yang bersikap bagai duri dalam daging ini telah mengambil kesempatan penuh memperluas wilayah daratannya hingga menyempitkan Selat Johor pada suatu tahap yang tidak masuk akal. Selepas ini duri kecil yang kian membesar ini akan memperluas wilayah daratannya hingga ke Pulau Batu Putih. Jika ia menang dalam tuntutanya mendapatkan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), inilah tindakan pertama yang akan dilancarkan. Memang padan dengan muka kita!

Mungkin ada kebenarannya komen sesetengah orang. Kita tidak gemar mengkaji sejarah. Suatu ketika dahulu kita hampir-hampir mencampakkan matapelajaran Sejarah keluar dari kurikulum sekolah. Mujurlah perkara itu tidak sempat terjadi. Jika tidak, tiada dapat dibayangkan apa akan terjadi pada sarjana-sarjana dan guru-guru sejarah. Mungkin mereka terpaksa berhenti kerja dan mencari peluang jadi peneroka-peneroka FELDA, FELCRA, penoreh getah upahan atau jadi balaci-balaci upahan penarik kereta-kereta yang gagal dibayar ansuran bulanan. Mungkin juga mereka terpaksa menjadi penyamun, penyangak dan pembelit kerana terpaksa menyara diri dan keluarga masing-masing.

Berbalik pada Perjanjian Bangkok yang telah merugikan negara dan bangsa hingga ke hari ini. Kita mungkin pernah dengar tentang PULO (Pattani United Liberation Organization) yang diiktirafkan oleh Siam sebagai pengganas (terrorist) sebagaimana Filipina memertabatkan MNLA (Mindanao Nationalist Libration Army) sebagai pengganas hingga ke hari ini. Kedua-dua organisasi ini merupakan wakil kepada pemerintahan asal wilayah-wilayah berkenaan. Sejarah mencatatkan bahawa selatan Siam (Pattani hingga ke Segenting Kra) adalah milik kesultanan Melayu Islam Pattani. Manakala Mindanao adalah milik otonomi kesultanan Melayu Islam Mindanao sebelum dijajah oleh Sepanyol dan Amerika Syarikat. Hatta, apa yang sebenarnya terjadi di wilayah-wilayah tersebut bukanlah keganasan membabi buta. Sebaliknya ia merupakan suatu rantaian jihad yang tidak akan berkesudahan yang cuba mengembalikan otonomi dan kemerdekaan di wilayah-wilayah terbabit. Siam merampas Pattani dan Filipina adalah perampas Mindanao.

Ini adalah hakikat sejarah yang cuba dipadam oleh kedua-dua "penyamun" ini (dengan sokongan Amerika Syarikat). Oleh itu, setiap anggota-anggota PULO atau MNLA yang terkorban dalam "konfliks" ini, mereka gugur sebagai gugurnya seorang mujahid. Tetapi perkara yang tertunggak ini tidak patut dipandang sepi oleh kita. Jika kita boleh berpolitik tanpa mengira waktu, tempat dan batasan moral, mengapa tidak untuk memikirkan isu ini? Bukankah kedua-dua isu tadi membabitkan darah dan nyawa orang-orang Melayu? Pattani dan Mindanao kedua-duanya pada asalnya merupakan wilayah orang-orang Melayu Islam. Ini bukan perkara olok-olok atau omongan kosong. Kecuali kalau kita buta sejarah atau terlalu membencinya gara-gara guru/pengajar yang tidak kompeten mengajar matapelajaran tersebut di sekolah atau di universiti. Itu bukan alasan yang boleh diterima.

Tetapi kita bukanlah bermaksud untuk memperbesarkan wilayah negara ini dengan mengimpikan pulau Mindanao atau Pattani agar masuk menjadi negeri dalam persekutuan Malaysia. Bukan begitu. Wilayah kita sekarang adalah memadai dan cukup cantik saiznya. Kita sekadar mahu memaklumkan bahawa demikianlah celakanya kalau kita terjajah. Bukan sekadar wilayah akan menjadi lebih kecil dan sempit, malahan anak-anak bangsa kita yang dahulunya bersatu dalam persamaan budaya, sosioekonomi, geopolitik dan agama terpisah jauh dan hidup tersiksa melarat hingga ke hari ini. Kesedaran inilah yang patut diwujudkan dalam diri anak-anak bangsa kita terutamanya generasi muda.

Sebagaimana kaum Melayu yang semakin terhimpit di Singapura, malapertaka bisa terjadi pada bila-bila masa sahaja jika kita terlalu lalai dan leka. Pulau Batu Putih yang berselaput dengan tahi burung camar kini tinggal kenangan pahit yang amat menghiris kalbu. Pattani dan Segenting Kra memang sudah lama lenyap dari lipatan buku sejarah SPM atau STPM. Tidak banyak yang boleh ditangiskan. Mungkin kita mengesali kebebalan, kedunguan dan ketamakan generasi yang lampau. Tetapi kita lupa bahawa sejarah boleh berulang. Dan ia akan terus berulang-ulang hingga kiamat. Hanya kita sahaja yang benci untuk kenal sejarah.


PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...