Baru-baru ini kes perbicaraan DSAI disambung semula. Diketika yang sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadualkan akan menghadapi pilihanrayanya. Pilihanraya yang dijangka akan merombak paradigma kepimpinan yang sedia ada dalam parti itu. Itupun kalau ada yang berminat untuk merombak-rombak paradigma tersebut. Tetapi gaya berpolitik di Malaysia selalunya agak tradisional, kalau bukan ortodok. Mereka lebih berminat untuk "bermain secara selamat" (play save) berbanding melakukan revolusi.
Jarang-jarang kita dengar orang Melayu terlalu berani. Mungkin ada. Tapi tak berapa banyak. Jebat menderhakai rajanya. Maharaja Lela membunuh James Birch. Mat Kilau memberontak di Pahang. Tok Janggut "mengganas" di Kelantan. Penentangan Malayan Union oleh massa Melayu. Kebangkitan Melayu secara tegas sewaktu krisis 13 Mei 1969. Mencetuskan pengharaman UMNO hingga menyebabkan perpecahan UMNO kepada UMNO Baru dan Semangat 46. Begitu juga sewaktu penjajahan Jepun dan zaman Dharurat. Memang Melayu cukup berani pada ketika itu. Tetapi apabila telah terdesak. Kata orang, apabila terhumban dalam keadaan desperado. Jika tidak, Melayu akan menyarung jersi lamanya yang lapuk, layu dan lemah gemalai bagai dara pingitan di zaman purbakala.
Namun begitu sejarah kebangkitan dan kegemilangan Melayu selepas perang mungkin akan terpadam dari teks sejarah jika kita tidak berhati-hati. Sebagaimana Lee Kuan Yew memusnahkan sejarah Singapura. Sejarah negara ini juga boleh terseleweng. Dan kita jangan lupa berapa ramai kader-kader Lee Kuan Yew di negara ini yang siap-sedia untuk menyelewengkan sejarah negara dan hikayat Melayu. Berapa ramai yang dengan tidak tahu malu sudah pandai mempersoalkan hak istimewa orang-orang Melayu, ekuiti 30 % bumiputra, ketuanan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi dan utama negara ini?
Tetapi terkadang Melayu tidak ambil pusing dengan sejarah. Hari ini orang Melayu semakin takkabur, lantaran buta sejarah. Mereka pantas bercakap berdegar-degar dan berapi-api di segala bentuk platform, pentas dan gelanggang. Tidak cukup di peringkat kampong, di peringkat negeri mereka kelentong. Tidak puas dalam negara, di peringkat global pun mereka sebat. Namun segalanya itu mungkin sekadar mampu merobohkan pondok durian di kaki Bukit Berapit atau dihulu-hulu kampong. Itupun kalau dibantu oleh ribut dan taufan yang datang melanda. Ini satu dunia sudah tahu.
Tetapi persoalan pokok yang ingin dikongsikan disini ialah kekelabutan yang dicetuskan oleh akbar-akbar arus perdana terhadap rumahtangga PKR yang sedang hangat kini. Paling menghairan. Bukan PKR yang berserabut, tetapi akbar-akbar itu yang berperangai bagai cacing-cacing kepanasan. Terutamanya akbar-akbar milik parti-parti yang berkuasa atau yang bertindak sebagai proksi parti-parti berkenaan. Bagai serampang dua mata, dapat untung besar (kerana ramai pembeli) dan dapat menyebarkan dakyah serta propaganda demi kepentingan "boss" masing-masing. Tidak memadai dengan suratkabar. Media-media lain termasuk radio, television, SMS dan internet turut diperalatkan.
Dan, sebagai pelengkap kepada semua itu, kemunculan blogger-blogger yang bertindak sebagai proksi bagi parti-parti berkenaan. Sesetengah blogger ini terlalu hebat kerana dapat merakamkan detik-detik serta hujah-hujah yang dihujahkan dalam mahkamah yang mengendalikan kes DSAI (misalnya) dengan cukup terperinci. Lantas diluahkan bulat-bulat segala hujahan itu melalui blog masing-masing. Kita patut angkat topi atau memberi tabik hormat kepada blogger-blogger seperti ini. Kerana mereka mampu menyelinap masuk bagai tikus-cencorot ke tempat-tempat strategik dan terkawal demi maklumat-maklumat sensasi! Lokasi-lokasi yang sepatutnya tidak boleh masuk kecuali diberi akses, mereka boleh terlepas. Memang hebat!
Akibatnya, dari sehari ke sehari masyarakat sivil dimomokkan oleh berita-berita gempar. Terkadang cukup menghiris. Betapa tidaknya. Melayu ganyang Melayu. Kalau Melayu hentam bangsa lain atau bangsa lain ganyang Melayu, itu terlalu mudah untuk diselesaikan, iaitu melalui ISA atau proses perundangan. Tetapi ini tidak. Melayu memperlekehkan bangsanya sendiri! Ini terlalu hina. Juga negatif akibatnya. Dan, ia bukan sebarang hentaman. Hentaman yang bakal meninggalkan impak buruk untuk beberapa lapisan generasi. Sudahlah generasi muda Melayu kini kian terpinggir, banyak yang selekeh dan tersingkir dari sudut pendidikan, akhlak dan peluang pekerjaan. Ini ditambah dengan sikap buruk yang dipertontonkan oleh generasi Melayu yang berprofil tinggi dan sedang bertahta di tampuk kekuasaan.
Kita seolah-olah tidak pernah membaca teks SEJARAH MELAYU. Betapa kuasa Melayu di Melaka roboh sebagai sejarah pahit gara-gara angkara Melayu itu sendiri? Dan serangan Portugis hanyalah sekadar pelengkap kepada kemusnahan itu. Jikapun Portugis tidak menyerang Melaka, kerajaan tetap akan runtuh melalui pemberontakan oleh rakyat yang sudah jelak dengan perangai, skandal, kezaliman serta kebuasan si pemerintah.
Mungkin teks Sejarah Melayu sekadar tergolong sebagai bahan sastera genre sejarah yang digelumangi mitos serta lagenda. Namun masih ada intipati penting yang boleh dijadikan suri-teladan dan pengajaran untuk orang-orang Melayu. Atau, Melayu memang suatu bangsa yang sombong dan enggan belajar dari sejarah?
Apakan daya. Kita masih berkewajiban memikirkan untung nasib dan jatuh bangun bangsa ini. Siapa lagi yang sudi menentukan untung nasib Melayu kalau bukan kita sendiri? Bangsa Melayu yang menggelarkan dirinya sebagai "TUAN" di bumi sekeping ini, mampukah ia berdiri kalau kekuatannya bukan diasaskan oleh orang-orang Melayu? Atau, kita kontrakkan sahaja sokongan itu kepada etnik lain? Ingatlah, kelemahan sesuatu umat itu kerap-kalinya berpunca dari faktor dalaman. Sebagaimana umat lain, umat Melayu kontemporari juga kian diancam oleh bangsanya yang rakus, berpenyakit hati dan lebih mementingkan diri sendiri.
Kalaulah Melayu boleh bertoleransi kepada etnik-etnik lain, mengapa tidak kepada bangsa dan rumpunannya sendiri? Melayu sanggup bersikap akomodatif kepada bangsa-bangsa asing. Tetapi kenapa tidak sudi dengan umat sendiri? Mengapa kita masih suka meniru perangai si Kitol dan lain-lain? Kita lebih terpengaruh dengan kepetahan Raja Mendeliar atau Pateh Karma Wijaya dari cuba mencari kebenaran.
Ingatlah. Neo-Raja Mendeliar dan Neo-Pateh Karma Wijaya bersepah disana-sini. Berselirat di sekeliling kita. Mereka muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mereka menjanjikan agenda-agenda besar dan harapan-harapan agong untuk kita. Kita adakalanya (kerapkalinya?) kenal dengan mereka. Tetapi sampai bila kita harus diperdayakan oleh syaitan-syaitan dalam bentuk manusia ini? Oleh itu, berhati-hatilah apabila menangguk di air yang keruh. Bukan sekadar sang buaya, mungkin raja segala naga sudah lama menunggu anda..