Isnin, 13 Julai 2009

DOSA MEMPELAJARI SAINS POLITIK


Adakah BERDOSA jika anda mempelajari Sains Politik? Dan suatu hari kelak anda berpeluang untuk makan percuma di Kem Kamunting lantaran mendapat perintah tahanan dibawah ISA? Atau, jika tidakpun, anda GAGAL memperoleh sebarang pekerjaan untuk jangkawaktu yang panjang kerana ijazah dalam bidang politik tidak punya nilai pasaran? Jadi, apa kesudahannya? Ambil bidang lain. JANGAN belajar ilmu Sains Politik!


Jika diamati dengan teliti, hanya beberapa kerat institusi yang masih tegar dan sudi menawarkan kursus-kursus dalam bidang Sains Politik dalam negara ini. Antaranya, UKM, USM dan UiTM. Itupun mungkin kerana masih ramai lagi profesor, profesor madya atau pensyarah-pensyarah tua bidang ini yang masih liat untuk berpencen. Oleh itu bagi bakal pelajar atau calon yang benar-benar berminat mendalami bidang ini, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM ada menawarkan Sains Politik sebagai pengkhususan utama atau pengkhususan kecil di peringkat Sarjana Muda dan peringkat Sarjana. Inilah waktu terbaik untuk anda mendaftar dan mendalami bidang yang kian dipinggirkan ini.

Selain Sarjana Hubungan Antarabangsa, Hubungan Serantau dan lain-lain, Universiti yang sama turut menawarkan program Sarjana Pentadbiran Awam (SPA) sebagai sub-bidang Sains Politik bagi maksud aplikasi pengurusan sektor awam di peringkat pengurusan pertengahan dan atasan. Pegawai-pegawai PTD dan para birokrat yang bercita-cita tinggi digalak menyambung pengajian pascasiswazah dalam SPA demi memantapkan ilmu dan pemikiran kritis masing-masing. Agar mudah untuk mereka naik pangkat dan darjat. Apatah lagi menerjuni gelanggang politik atau mencari makan sebagai "Think-tank" pihak-pihak yang berkenaan. Demikianlah hebatnya ilmu Sains Politik.


Dalam gelombang saintifik dan teknokrasi yang kencang menghimpit sempadan adat dan ilmu tradisi, status program Sains Politik semakin pudar dan terkeluar dari gelanggang persaingan. Kursus-kursus Sains Politik semakin berhadapan dengan masalah "demand" serta minat yang semakin luntur. Generasi muda rata-rata memburu bidang-bidang ICT, kejuruteraan, perubatan, sains, pengurusan atau setidak-tidaknya perguruan. Masing-masing ingin memastikan bahawa mereka tidak berakhir dalam gelanggang pengangguran. Menganggur - samada sementara atau tidak - adalah suatu yang cukup terhina dan menyiksakan batin. Ia setaraf dengan kemiskinan. Mungkin juga kebuluran.


Arus permodenan kontemporari serta slogan-slogan berkisarkan penciptaan umah teknokrat telah merentap keyakinan masyarakat terhadap program Sains Politik. Tidak cukup dengan itu, mereka telah dimomokkan oleh drama dan sandiwara tragis berhubung konflik politik, kecelaruan hidup para politikus dan kerakusan berpolitik yang tidak bersempadan. Ditambah dengan hayunan anganan nilai-nilai hidup korporat yang menghamburkan kemewahan syurgawi, ibubapa jadi tidak terangsang untuk menggalakkan anak-anak mereka yang belajar di kolej atau universiti mengambil komponen sains politik sebagai kursus elektif mahupun opsyen. Kursus "Pengajian Malaysia" sudah lebih dari cukup?


Jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil bidang sains politik akan lenyap dari lipatan sejarah negara ini. Yang tinggal hanyalah teori-teori lapok yang sering dipakai berulang-ulang kali oleh penganalisis-penganalisis politik yang kekontangan wang di poketnya yang sekadar memberi komentar untuk mendapatkan seringgit-dua. Malah ahli politik sendiri tidak akan menghargai teori-teori tua ini. Eloklah kalau ia langsung lesap dari akal-budi masyarakat. Kelak akan lebih mudahlah hamba rakyat diperolok-olok, diperas atau dibahlulkan. Lantaran jahil, daif serta "amat pemalu" (shy-off) dengan konsep-konsep asas ilmu politik.


Berdosakah kita belajar sains politik? Bukankah kita diutuskan ke dunia sebagai khalifah Allah? Dan bagaimana mampu kita menjadi seorang khalifah yang baik kalau tidak berilmu? Bukankah sains politik merupakan cabang ilmu yang amat penting dalam pembinaan umah? Atau, mungkinkah kita telah menyama-tarafkan bidang ilmu ini dengan fanatisme dan subversif?

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...