Ahad, 14 Jun 2009

JERUNG VS AKTA ANTI KORUPSI 1957

Apabila projek-projek mega ciptaan parti politik yang memerintah retak atau tumbang menyembah bumi, adakah ini bermaksud korupsi telah terjadi? Suratkabar The Star bertarikh 11 Jun 2009 memaparkan berita penangkapan beberapa orang pengarah syarikat termasuk tiga yang berpangkat “Datuk” pada 5 Jun 2009 berkaitan kontroversi MRR2. Mungkinkah ramai lagi jerung-jerung skala sederhana dan skala besar sedang menanti giliran untuk dicekup oleh MACC? Atau mungkin mereka sempat memperbaharui paspot antarabangsa untuk lima tahun lagi atau memperoleh visa sebagai “residen tetap” di Australia dan Negara-negara pengamal rasuah dan riba’ yang lain?


Ketiga-tiga Datuk yang malang ini telah dipertuduhkan dibawah Akta Anti rasuah 1957 atau AAK 1957. Dalam diam, rupa-rupanya AAK 1957 sudah berusia lebih 52 tahun - yaini sebaya dengan usia kemerdekaan Tanah Melayu dari jajahan British. Mungkinkah akta itu sendiri masih terjajah atau setidak-tidaknya masih padat dengan legasi tinggalan penjajah yang menyebabkan ia tidak begitu efektif dan dihormati? Lantaran inikah maka para aristocrat dan golongan bourgueis tidak ambil pusing dengannya? Jika demikian, letaklah pakar atau gajikanlah siapa sahaja untuk menguruskan hal-hal rasuah – ia mungkin berakhir dengan kegagalan. Selagi AAK 1957 tidak dihalusi dan di reformasi, ia tidak akan menggerunkan sesiapa khususnya golongan jerung-jerung berpuaka yang cekap membelit undang-undang.


Lihat sahaja kes terbaru di Trengganu. Bayangkan kalau ratusan penonton sedang bersorak-sorai tiba-tiba ranap dimamah runtuhan bumbung stadium yang bernilai lebih dari RM 100 juta itu. Dan bayangkan kalaulah ada pembesar-pembesar dan raja-raja sedang sama-sama menonton sukan yang dipertandingkan. Pernahkah para jerung-jerung besar dan kecil memikirkannya? Atau sekadar lebih berminat memperhitung laba serta gelaran “Datuk” secara “short-cut” ? Bangunan yang belum pun tamat usia waranti sudahpun tunduk menyerah akibat terlalu beratnya bala korupsi yang harus dipikul.





Sudah lebih tiga minggu runtuhan terjadi. Masih belum terdengar kabar yang responsive atau penangkapan-penangkapan. Atau mungkinkah ada pihak sedang giat melaksanakan “cover-up” ? Dan, mungkinkah ada yang telah bersiap-sedia dengan visa “permanent resident” di Negara-negara jahiliah? Juga, wajarkah kita sekadar berdiam diri dan berpeluk tubuh menonton perangai lincah jerung-jerung daratan ini? Atau kita turut memberi “endorsement” ke atas scenario serta tingkah-laku celaka ini?

Kes Highland Towers yang tumbang pada 1993 masih belum selesai. Kisah bersiri insiden tanah runtuh di perbukitan golongan elit di Selangor masih terbengkalai. Samaada projek itu atas dasar persendirian, swasta atau pemerintah, peraturan tetap peraturan. Etika tetap etika. Nyawa yang melayang, harta-benda dan wang-ringgit yang ranap bukan jatuh tergolek dari langit biru. Ia datang dari sumber yang khusus. Nyawa datang dari Tuhan. Harta-benda, modal dan wang-ringgit datang dari keringat dan tulang empat-kerat yang dipulas sehingga tenat. Apatah lagi projek-projek pemerintah yang datangnya dari wang rakyat. Ia wajib diuruskan dengan betul – tiada persoalan lagi.


Oleh itu agenda-agenda keuntungan materialistic dan kepentingan peribadi wajib diketepikan seratus-peratus dari terselit dalam sebarang projek pembangunan. Selagi ianya berbaur dengan unsur-unsur peribadi, selagi itulah kita terus berhadapan dengan masaalah. Apa lagi yang dimahukan? Tidakkah cukup dengan gaji, elaun bulanan, tuntutan pelbagai, pangkat dan darjat, kemudahan-kemudahan serta prestej yang disajikan? Tidak cukupkah dengan janji-janji perkhidmatan, kemudahan pencen yang amat memberangsangkan apabila bersara nanti? Begitu juga dengan para jerung kecil dan besar. Tidak puaskah dengan harta karun yang bertaburan disana-sini dan di merata dunia? Adakah lakunan-lakunan melalui drama CSR sudah memadai kalau wang rakyat terkubur dalam beberapa saat sahaja?


Kebelakangan ini kita dihidangkan dengan teori-teori pengkorpratan agensi-agensi kerajaan dengan perlantikan “task forces” atau “badan bertindak” dari kalangan NGO atau kombinasi NGOs. Pendekatan yang hebat. Tetapi, kita mahu melihat keputusan yang juga hebat. Jangan sampai wang rakyat sekali lagi dibazirkan atas teori-teori corporate governance atau pendekatan-pendekatan ad-hoc seperti ini. Bolehkah agensi-agensi kerajaan atau pentadbiran sector awam bertindak sebagai entity perniagaan? Atau, adakah cara lain untuk pemerintah menguruskan perniagaan selain dari Dasar Pengswastaan dan Dasar Pengkorporatan atau dasar-dasar ekonomi yang lain? Mungkinkah ada orang yang sanggup memfotokopi cara mana PETRONAS (salah satu GLC terpenting Negara) menguruskan operasi hariannya?

Atau kita masih terpengaruh dengan pemikiran jerung-jerung yang memakai jersi yang pelbagai? Ingatlah, jerung bukan sejenis. Dan, bukan sekadar datang dari dalam Negara sahaja. Kita juga perlu sedar – ekonomi kita masih belum terlepas dari belenggu neoimperialisme barat dan timur. Yang menjadi persoalan ialah keahlian dalam Badan Bertindak berkenaan. Negara ini tiada kekurangan professor, penyelidik, pakar-pakar dalam ekonomi dan pengurusan. Yang kurang ialah appresiasi terhadap kepakaran mereka dan kemahuan kita untuk mempergunakan, mengembeling atau mengintegrasi kepakaran-kepakaran ini menjadi suatu “super task force” yang cukup mantap dalam menghadapi dan menangani cabaran dalaman dan luaran yang semakin genting. Kita terlalu gemar “working in silos” dan meminggirkan golongan akademik hinggakan para professor serta pakar-pakar akademik dilihat tidak lebih dari pendokong teori-teori usang semata-mata.

Kita mungkin pernah mengeksploitasi kepakaran mereka tetapi dalam skala yang terhad dan terpencil. Sebaliknya kita lebih taksub terhadap khidmat-nasihat konsultan-konsultan barat khususnya. Dan kita lebih rela membayar para konsultan dengan harga yang tinggi dari memberi sedikit imbuhan kepada golongan cerdik-pandai tempatan atas khidmat perundingan mereka. Dan, usah kita lupa. Disebalik jerung-jerung yang berkeliaran itu ada “super jerung” yang memerhatikan dan mengawasi. Mereka juga muncul dalam pelbagai jersi dan gaya. Hari ini mereka berlagak sebagai professional. Esok mereka menjadi pakar runding atau konsultan berwibawa. Lusa mereka menjadi politikus tersohor. Hari-hari seterusnya mereka menjadi tokoh-tokoh yang berbeza-beza seperti mengkarung hijau. Mereka memiliki pelbagai jenis topi dan tongkat serta muncul dalam pelbagai bentuk dunia berotoriti, berkasta, kebal dengan pengaruh. Mereka adalah “super jerung” yang paling pintar, cukup berprestej dan paling berpuaka.

Orang mudah tumbang bila berhadapan dengan mereka – lantaran kekayaan dan pengaruh ekonomi-politik yang dimiliki. Kita telah melihat bagaimana TNB berhadapan dengan kerugian bulanan melebihi RM10 juta berpunca dari scenario dimana ia terpaksa bersaing dengan pengeluar-pengeluar tenaga persendirian yang sudahpun wujud sejak TNB dikenali sebagai LLN. Dan sekarang pengeluar-pengeluar tenaga ini masih mengekalkan cengkaman masing-masing yang mengakibatkan TNB gagal untuk menyalurkan hampir 20% tenaga lebihannya secara optimum. Berbeda dengan gas atau petroleum, tenaga elektrik bukan boleh disimpan dalam tangki atau gudang apatah lagi kalau tenaga itu dalam voltan yang terlalu besar. Lebih menjahanamkan, kebanyakan pengeluar-pengeluar tenaga persendirian telah diberi lesen jangkamasa operasi yang terlalu panjang (dan tidak masuk akal) oleh “pihak pemberi lesen”. Sekali lagi, mungkinkah ada “super jerung” di sebalik lesen-lesen tersebut? Hinggakan TNB tidak berdaya berbuat apa-apa kecuali menaikkan tariff demi menstabilkan kos operasi. Dan, sekali lagi rakyat menjadi mangsa keadaan.


Ketika ini rakyat Selangor sedang diseksa oleh kemungkinan catuan bekalan air. Takungan yang kian kontang di Hulu Kelang cukup membimbangkan semua orang. Adakah ini suatu bala dari Tuhan? Atau balak yang sengaja ditempah? Semakin hebat suara-suara protes terhadap aktiviti penebangan hutan-pedalaman dan belukar, semakin menjadi-jadi kawasan-kawasan ini ditebus-guna dengan sewenang-wenangnya. Seolah-olah tiada kawalan atau mungkinkah pihak berwajib telah kehilangan wibawa lantaran kronism dan nepotism? Bukit-bukit semakin digondolkan atas kehendak pembangunan. Soalnya, pembangunan untuk apa dan buat siapa? Siapakah atau jerung yang pula seterusnya meraih durian runtuh hasil dari projek-projek kurang waras kalaupun bukan gila ini? Pernahkan perkara-perkara ini diperincikan dari masa ke masa?


Kadang-kala projek-projek mega agak sukar untuk diketepikan. Tetapi biarlah berperaturan atau menurut prioriti (keutamaan). Lihat sahajalah kes air di Selangor atau kesesakan jalanraya di bandaraya-bandaraya negara ini yang sudah mencapai tahap kritikal tanpa menunggu musim perayaan lagi. Bukankah lebih wajar kalau kita memperuntukkan wang untuk untuk keperluan asas seperti memperbaiki sistem sungai atau bekalan air di mana-mana sahaja negeri yang bermasaalah? Atau memperbesarkan lagi keseluruhan jaringan jalanraya di negara ini demi kebaikan semua? Kita mungkin terlalu berhati-hati dalam memilih projek. Namun akhirnya kita tetap memilih sesuatu yang memeranjatkan masyarakat. Adakah wajar kita meneruskan idea membina laluan ke tiga untuk ke Singapura? Apakah yang terlalu signifikan dengan negara tersebut maka kita perlu akur lantas sanggup mengorbankan sejumlah besar wang negara untuk suatu projek mega yang sebenarnya menguntungkan orang lain? Haruskan kita bersikap seperti Pak Pandir yang menang sorak dan lari bertelanjangan walhal kampongnya tergadai?


Terlalu padat sasterawan dahulu-kala menggarap serta menceriterakan kisah-kisah pahit kebodohan orang dahulukala. Manusia-manusia Luncai, Pak Pandir dan Lebai Malang bukan sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau gelak-ketawa. Seharusnya cerita-cerita purba ini patut merangsang pemikiran masyarakat kontemporari untuk lebih berhati-hati dalam mentadbir-urus ummah serta negara ini. Jangan sampai kita menjadi "super Luncai" atau "super Pandir" di belakang hari dek kerana keangkuhan kita sendiri. Kita mungkin seorang teknokrat tersohor. Tetapi kita bukan makan besi, batu atau konkrit. Bukankah kita juga makan nasi sepertinya Luncai, si Lebai Malang atau si Pandir?


Apa yang perlu ialah kesedaran - yang nantinya akan menjana keinsafan untuk bersikap lebih terbuka, telus, ikhlas serta kesediaan berkorban untuk masyarakat dan negara ini. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadam dan ditelan. Tanpa adanya kesungguhan untuk berfikir dengan serius, tidak banyak yang dapat dilakukan. Dan kita tidak mungkin berubah kalau sekadar duduk berdoa dan bertawakal. Peluru berpandu atau bom nukliar yang digugurkan tidak akan melayang ke tempat lain kalau tiada usaha untuk cuba menangkisnya.


PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...