Selasa, 19 Oktober 2010

KALAU MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

Baru-baru ini kes perbicaraan DSAI disambung semula. Diketika yang sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadualkan akan menghadapi pilihanrayanya. Pilihanraya yang dijangka akan merombak paradigma kepimpinan yang sedia ada dalam parti itu. Itupun kalau ada yang berminat untuk merombak-rombak paradigma tersebut. Tetapi gaya berpolitik di Malaysia selalunya agak tradisional, kalau bukan ortodok. Mereka lebih berminat untuk "bermain secara selamat" (play save) berbanding melakukan revolusi.

Jarang-jarang kita dengar orang Melayu terlalu berani. Mungkin ada. Tapi tak berapa banyak. Jebat menderhakai rajanya. Maharaja Lela membunuh James Birch. Mat Kilau memberontak di Pahang. Tok Janggut "mengganas" di Kelantan. Penentangan Malayan Union oleh massa Melayu. Kebangkitan Melayu secara tegas sewaktu krisis 13 Mei 1969. Mencetuskan pengharaman UMNO hingga menyebabkan perpecahan UMNO kepada UMNO Baru dan Semangat 46. Begitu juga sewaktu penjajahan Jepun dan zaman Dharurat. Memang Melayu cukup berani pada ketika itu. Tetapi apabila telah terdesak. Kata orang, apabila terhumban dalam keadaan desperado. Jika tidak, Melayu akan menyarung jersi lamanya yang lapuk, layu dan lemah gemalai bagai dara pingitan di zaman purbakala.

Namun begitu sejarah kebangkitan dan kegemilangan Melayu selepas perang mungkin akan terpadam dari teks sejarah jika kita tidak berhati-hati. Sebagaimana Lee Kuan Yew memusnahkan sejarah Singapura. Sejarah negara ini juga boleh terseleweng. Dan kita jangan lupa berapa ramai kader-kader Lee Kuan Yew di negara ini yang siap-sedia untuk menyelewengkan sejarah negara dan hikayat Melayu. Berapa ramai yang dengan tidak tahu malu sudah pandai mempersoalkan hak istimewa orang-orang Melayu, ekuiti 30 % bumiputra, ketuanan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi dan utama negara ini?

Tetapi terkadang Melayu tidak ambil pusing dengan sejarah. Hari ini orang Melayu semakin takkabur, lantaran buta sejarah. Mereka pantas bercakap berdegar-degar dan berapi-api di segala bentuk platform, pentas dan gelanggang. Tidak cukup di peringkat kampong, di peringkat negeri mereka kelentong. Tidak puas dalam negara, di peringkat global pun mereka sebat. Namun segalanya itu mungkin sekadar mampu merobohkan pondok durian di kaki Bukit Berapit atau dihulu-hulu kampong. Itupun kalau dibantu oleh ribut dan taufan yang datang melanda. Ini satu dunia sudah tahu.

Tetapi persoalan pokok yang ingin dikongsikan disini ialah kekelabutan yang dicetuskan oleh akbar-akbar arus perdana terhadap rumahtangga PKR yang sedang hangat kini. Paling menghairan. Bukan PKR yang berserabut, tetapi akbar-akbar itu yang berperangai bagai cacing-cacing kepanasan. Terutamanya akbar-akbar milik parti-parti yang berkuasa atau yang bertindak sebagai proksi parti-parti berkenaan. Bagai serampang dua mata, dapat untung besar (kerana ramai pembeli) dan dapat menyebarkan dakyah serta propaganda demi kepentingan "boss" masing-masing. Tidak memadai dengan suratkabar. Media-media lain termasuk radio, television, SMS dan internet turut diperalatkan.

Dan, sebagai pelengkap kepada semua itu, kemunculan blogger-blogger yang bertindak sebagai proksi bagi parti-parti berkenaan. Sesetengah blogger ini terlalu hebat kerana dapat merakamkan detik-detik serta hujah-hujah yang dihujahkan dalam mahkamah yang mengendalikan kes DSAI (misalnya) dengan cukup terperinci. Lantas diluahkan bulat-bulat segala hujahan itu melalui blog masing-masing. Kita patut angkat topi atau memberi tabik hormat kepada blogger-blogger seperti ini. Kerana mereka mampu menyelinap masuk bagai tikus-cencorot ke tempat-tempat strategik dan terkawal demi maklumat-maklumat sensasi! Lokasi-lokasi yang sepatutnya tidak boleh masuk kecuali diberi akses, mereka boleh terlepas. Memang hebat!

Akibatnya, dari sehari ke sehari masyarakat sivil dimomokkan oleh berita-berita gempar. Terkadang cukup menghiris. Betapa tidaknya. Melayu ganyang Melayu. Kalau Melayu hentam bangsa lain atau bangsa lain ganyang Melayu, itu terlalu mudah untuk diselesaikan, iaitu melalui ISA atau proses perundangan. Tetapi ini tidak. Melayu memperlekehkan bangsanya sendiri! Ini terlalu hina. Juga negatif akibatnya. Dan, ia bukan sebarang hentaman. Hentaman yang bakal meninggalkan impak buruk untuk beberapa lapisan generasi. Sudahlah generasi muda Melayu kini kian terpinggir, banyak yang selekeh dan tersingkir dari sudut pendidikan, akhlak dan peluang pekerjaan. Ini ditambah dengan sikap buruk yang dipertontonkan oleh generasi Melayu yang berprofil tinggi dan sedang bertahta di tampuk kekuasaan.

Kita seolah-olah tidak pernah membaca teks SEJARAH MELAYU. Betapa kuasa Melayu di Melaka roboh sebagai sejarah pahit gara-gara angkara Melayu itu sendiri? Dan serangan Portugis hanyalah sekadar pelengkap kepada kemusnahan itu. Jikapun Portugis tidak menyerang Melaka, kerajaan tetap akan runtuh melalui pemberontakan oleh rakyat yang sudah jelak dengan perangai, skandal, kezaliman serta kebuasan si pemerintah.

Mungkin teks Sejarah Melayu sekadar tergolong sebagai bahan sastera genre sejarah yang digelumangi mitos serta lagenda. Namun masih ada intipati penting yang boleh dijadikan suri-teladan dan pengajaran untuk orang-orang Melayu. Atau, Melayu memang suatu bangsa yang sombong dan enggan belajar dari sejarah?

Apakan daya. Kita masih berkewajiban memikirkan untung nasib dan jatuh bangun bangsa ini. Siapa lagi yang sudi menentukan untung nasib Melayu kalau bukan kita sendiri? Bangsa Melayu yang menggelarkan dirinya sebagai "TUAN" di bumi sekeping ini, mampukah ia berdiri kalau kekuatannya bukan diasaskan oleh orang-orang Melayu? Atau, kita kontrakkan sahaja sokongan itu kepada etnik lain? Ingatlah, kelemahan sesuatu umat itu kerap-kalinya berpunca dari faktor dalaman. Sebagaimana umat lain, umat Melayu kontemporari juga kian diancam oleh bangsanya yang rakus, berpenyakit hati dan lebih mementingkan diri sendiri.

Kalaulah Melayu boleh bertoleransi kepada etnik-etnik lain, mengapa tidak kepada bangsa dan rumpunannya sendiri? Melayu sanggup bersikap akomodatif kepada bangsa-bangsa asing. Tetapi kenapa tidak sudi dengan umat sendiri? Mengapa kita masih suka meniru perangai si Kitol dan lain-lain? Kita lebih terpengaruh dengan kepetahan Raja Mendeliar atau Pateh Karma Wijaya dari cuba mencari kebenaran.

Ingatlah. Neo-Raja Mendeliar dan Neo-Pateh Karma Wijaya bersepah disana-sini. Berselirat di sekeliling kita. Mereka muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mereka menjanjikan agenda-agenda besar dan harapan-harapan agong untuk kita. Kita adakalanya (kerapkalinya?) kenal dengan mereka. Tetapi sampai bila kita harus diperdayakan oleh syaitan-syaitan dalam bentuk manusia ini? Oleh itu, berhati-hatilah apabila menangguk di air yang keruh. Bukan sekadar sang buaya, mungkin raja segala naga sudah lama menunggu anda..

Rabu, 28 Julai 2010

JIKA MELAYU HILANG KUASA


Saya tertarik dengan lidah pengarang salah-satu suratkabar prima dinegara ini yang bertajuk: "Cuba bayangkan jika Melayu hilang kuasa!". Karangan tersebut dimulakan dengan nada berikut:

"Peringatan demi peringatan dikeluarkan tentang Melayu mungkin hilang kuasa pada pilihanraya umum akan datang. Lalu gesaan demi gesaan juga dilontarkan supaya orang Melayu dan Islam bersatu dan saling bekerjasama."

Di perenggan empatbelas beliau menegaskan agar pemimpin-pemimpin Melayu terutama dalam UMNO dan PAS perlu mencari titik temu dan meletakkan faktor keutamaan ditempat yang betul. Lidah pengarang diakhiri dengan tegasan berikut:

"Sebagaimana disarankan oleh Mufti Perak agar UMNO dan PAS perlu memberi keutamaan pada agama dahulu berbanding politik. Malah kenapa kita harus bermusuhan sedangkan Islam tidak menyuruh kita membenci sesama umat sebaliknya diseru kasih-mengasihi sesama ummah. Bersatulah Melayu!"

Sekali imbas kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan lidah lembut yang ditakdirkan tidak bertulang ini. Kita sebenarnya tidak tahu siapa, pengarang atau ahli redaksi yang mana telah memancarkan karangan tersebut. Kita tidak pasti apa kelulusan akademik mereka dan entah apa kepakaran sebenar mereka selain dari memutarbelitkan fakta atau kata-kata. Sukar untuk dipastikan samaada ia lahir dari hasrat yang benar-benar ikhlas. Atau tulisan tersebut juga merupakan salah satu dari dakyah politik yang tidak habis-habis cuba membelit akal bijak orang-orang Melayu.

Mengapa terjadi demikian? Ini kerana apabila karangan itu menyarankan agar kita mengutamakan agama dahulu berbanding politik, ia jelas menggambarkan bahawa pengarang/penulis atau sidang redaksi itu masih kabur dan buta terhadap makna politik itu sendiri. Apabila beliau/mereka gagal merangkumkan politik sebagai sebahagian dari tanggungjawab agama maka ini bererti mereka ini benar-benar rabun atau buta politik (political iliterate). Tetapi lagak mereka mengalahkan juara-juara, broker-broker atau saudagar-saudagar politik sendiri.

Bagi golongan ini, saya ingin sarankan agar cepat-cepat masuk kelas malam dan belajarlah dulu asas-asas sains politik. Sampai bila kita harus menjadi kambing gurun yang segan (atau terlalu sombong) untuk beramah-tamah dengan kambing-kambing di hulu kampong? Belajarlah mengenal huruf-huruf awal sebelum benar-benar cuba mengupas isu politik. Hentikanlah ajaran-ajaran songsang yang menyesatkan orang-orang Melayu. Kita terlalu lama berlagak bagai ayam jantan. Sekadar pandai berkokok, tetapi sebiji telor pon tak mampu dikeluarkan. Baik jadi ayam betina! Sekurang-kurangnya pandai bertelur walaupun tidak reti berkokok! Kita terlalu banyak menipu. Sebab itulah Melayu jadi semakin kalut, melalut dan mengarut!

Betapa tidaknya? Suratkabar Melayu yang bergelandang pada hari ini lebih merupakan gelanggang untuk pertarungan politik! Apa yang terhidang atau terhias dalam lembaran-lembaran kertas lebar berwarna kelabu asap itu kadang-kala tidak lebih dari sampah-sarap yang keluar dari otak penyangak politik yang memang sudah kelabu asap! Apa yang tersurat atau tertulis itu hanya sekadar untuk menambah lagi kerosakan pada saraf otak yang sudah tersedia rosak dek kecanduan rokok dan alkohol! Jadi, bagaimanakah otak yang kelabu asap dapat membayangkan bagaimana jika Melayu hilang kuasa?

Hakikatnya Melayu memang sudah lama HILANG KUASA gara-gara rentak-tari serta putar belit segelintir Melayu yang GILA KUASA. Cuba tanya diri anda, adakah anda memiliki apa-apa kuasa? Kalau ada, berapa banyak? Sebesar mana? Seluas atau sedalam mana ia dapat menjangkau atau mempengaruhi keputusan-keputusan sosial atau menjuarai kepentingan-kepentingan rakyat? Jika tidak, jangan cakap banyak. Itu bermakna anda memang TIDAK ADA KUASA!

Itulah HAKIKAT yang sebenarnya berhubung Melayu hari ini. Mereka cuma bimbangkan kuasa politik mereka tumbang menyembah bumi sepertimana pokok balak yang rebah dek kerakusan syaitan-syaitan kayu balak di negara ini. Mereka hanya takut kehilangan undi dalam pilihanraya-pilihanraya. Mereka takut kehilangan jawatan dan segala hak istimewa, gaji, elaun dan ganjaran sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Mereka sangat ngeri untuk kelesapan gelaran "Yang Berhormat", peluang meraih "Datuk", "Datuk Seri", "Tan Sri" dan entah apa-apa lagi. Dan, yang paling pokok, mereka amat takut untuk HILANG KUASA! Lantaran HILANG KUASA bererti hilang segala peluang untuk membolot kekayaan dan memenuhi kegelojohan masing-masing!

Saya bukannya mahu menolak pentingnya perpaduan Melayu. Jauh sekali untuk menolak Islam dari Melayu. Tetapi adakah kita benar-benar jujur dan ikhlas apabila memperkatakan politik Melayu dan arahtuju orang-orang Melayu? Kita sudah lebih setengah abad merdeka dari penjajahan. Tetapi mengapa Melayu terus ketinggalan dalam ruanglingkup pengaruhnya sendiri? Mengapa majoriti Melayu kita terus tersisih dan kian terpinggir dari pembangunan dan kemajuan? Kenapa ekuiti Melayu terus lesap dari genggaman dari hari ke hari? Dan akhirnya kita menjadi di bangsat di tanah air sendiri?

Selama ini kita berkuasa. Dan pada hari ini kita masih lagi menjadi pemegang mandat utama politik negara. Tetapi dimana silapnya? Mengapa kita terus tewas dalam konteks sosioekonomi? Mengapa kita gagal? Mengapa hanya segelintiran Melayu sahaja yang menjadi juara ekonomi sedangkan yang lain terbungkang menjadi juara-juara bangsat? Kita memang ramai jaguh-jaguh akademik, pakar-pakar kejuruteraan, tekong-tekong ekonomi dan macam-macam lagi. Tetapi apakah yang sebenarnya terjadi? Mengapa juara-juara ini tidak dirangkumkan dan kepakaran-kepakaran mereka digembling dalam merealisasikan cita-cita kemajuan umat Melayu? MENGAPA? MENGAPA TIDAK DILAKUKAN?

Kita sering membebel dan mengigau bila membicarakan persoalan kuasa. Bagaimana kalau Melayu benar-benar hilang kuasa? Soalnya, pernahkah umat Melayu kehilangan kuasa di negara ini? Pernahkah tercatat dalam sejarah bahawa Melayu hilang kuasa? Melayukah atau si aristokrat, si borjuis, si tuan-tuan tanah kedawung atau raja-raja laut dan raja-raja darat yang kehilangan kuasa dan tampok masing-masing? Sebelum menjawab persoalan ini, adakah anda tahu pengertian "KUASA"? Dan, bagaimana KUASA boleh MUNCUL? Serta, SIAPAKAH yang BERHAK pada KUASA itu? BAGAIMANA mereka boleh bangkit dan berani mendabik dada bahawa mereka BERHAK untuk BERKUASA serta MEMPERALATKAN kuasa itu mengikut kehendak hati mereka?

Saya jelaskan secara ringkas: KUASA ialah suatu WEWENANG (otoriti) atau mandat yang diamanahkan yang boleh digunakan untuk menentukan atau mempengaruhi sesuatu keputusan dan tindakan. Ini dalam konteks politik. Ia sebagaimana kuasakuda yang memacu sesebuah jentera. Semakin besar kapasiti kuasakuda, maka semakin hebat pacuannya. Bezanya ialah, kuasa politik terlalu hebat impaknya. Cukup mengerikan. Semakin tinggi kuasa politik, maka semakin dasyat keputusan sosial yang boleh dirangka dan dibuat. Dan, yang paling merungsingkan, kuasa politik cukup korup! Kecuali untuk mereka yang benar-benar ikhlas ingin mengorbankan jiwa dan raganya untuk masyarakat. Tetapi yang kerap terjadi adalah sebaliknya. Ada yang masuk politik untuk mengorbankan orangramai! Itulah yang dilakukan oleh Stalin, Hitler, Bush, para yahudi dan ramai lagi.

Sebenarnya Melayu memang sudah kehilangan banyak kuasa. Jika dikaji lebih jauh, alam Melayu Nusantara yang disebut sebagai MALAYSIA oleh para penjajah eropah di abad ke 15 dahulu merupakan rangkuman wilayah yang cukup luas meliputi keseluruhan kepulawan Indonesia, selatan Siam, keseluruhan Filipina, Irian Jaya, New Guinea, utara Australia dan Tanah Melayu. Inilah wilayah kuasa dan pengaruh umat Melayu yang sebenar yang kini cuma tinggal nama kecil yang di gelar Malaysia. Jika empayar Melayu Melaka ditakdirkan tidak roboh, mungkin istilah NUSANTARA akan digantikan oleh sebuah wilayah yang cukup luas dan paling berkuasa di Asia Tenggara yang digelar negara MELAKA!

Tetapi loba dan ketamakan terhadap kuasa telah meruntuhkan segala-galanya. Potensi empayar Melaka untuk menjadi salah satu kuasa besar di rantau Asia hanya tinggal sejarah dan mimpi kosong. Tidak mungkin kuasa militer Melayu Melaka akan bangkit lagi hingga kiamat. Itulah gara-gara kegilaan yang melampau batas terhadap kuasa atau mandat yang telah diamanahkan oleh DEMANG LEBAR DAUN kepada SANG SAPURBA melalui KONTRAK SOSIAL yang telah dipersetujui bersama. Penyalahgunaan yang menjadi sesalan untuk umat Melayu sehingga mati!

Rabu, 9 Jun 2010

PARA PENGAMPU PERLU DISINGKIRKAN

Benarkah para pengampu perlu disingkirkan? Wajarkah mereka dihapuskan sebelum wabak kronisme, nepotisme dan pelbagai "isme" menjadi barah dalam masyarakat? Namun, sebelum itu, siapa itu PENGAMPU? Bolehkah kita kenal mereka? Adakah warna kulit serta rambut mereka sama dengan apa yang ada pada tubuh badan kita? Dapatkan kita membezakan siapakah para PENGAMPU di kalangan kita? Ataupun, rupanya kita sendiri adalah salah seorang dari PENGAMPU yang berkarisma atau PENJILAT PUNGGUNG berkasta tinggi?

PENGAMPU berasal dari perkataan AMPU, iaitu alat atau benda yang digunakan untuk menyokong sesuatu binaan, barangan, orang atau apa-apa sahaja jasad hidup atau mati atau objek yang memerlukan sokongan untuk memastikan ia stabil dan berada kukuh di tempatnya. Oleh itu PENGAMPU merupakan benda atau alat penting dalam membantu pengukuhan dan kestabilan sesuatu benda dari bergerak-gerak dan runtuh ke bawah.

Namun apabila ia dipakaikan kepada manusia, makna yang tersurat amat berbeza dari maksud yang tersirat. Ini adalah gara-gara tabiat manusia sendiri yang berani mencemar manusiawi serta kemuliaan mereka sendiri. Mereka tidak malu-malu menjatuhkan maruah masing-masing dengan bermuka-muka, bersikap hipokret dan munafik seperti yahudi dan lain-lain. Mereka sanggup menjual apa sahaja asalkan apa yang diimpikan itu tercapai. Perangai mereka digambarkan tidak ubah seperti anjing-anjing jalanan yang terjelir lidahnya yang sentiasa kehausan air. Mentaliti mereka adalah sedarjat dengan mentaliti pecacai-pecacai pengangkat najis di era penjajahan dan tahun 1960an dahulu yang berlumba-lumba siapa berjaya memenuhkan tong najis masing-masing dengan secepatnya dan siapa yang berjaya mengumpul najis terbanyak pada hari berkenaan.

Demikianlah gambaran untuk si PENGAMPU. Terlalu hina. Tapi, siapa peduli? Dan, amat jelas. Status ini masih tidak memadai untuk mengubah sesuatu ke arah kebaikan. Mereka tidak peduli dengan apa saja tanggapan mahupun gelaran yang bakal diberi orang. Yang penting, matlamat tercapai. Kepentingan persendirian terpenuh. Cita-cita peribadi termakbul. Yang lain peduli apa? Masakan status "anjing pecacai" dapat mengatasi gelaran "Datu", "Datuk Seri", "Tan Sri", "Tun" atau apa-apa sahaja darjat "keinderaan" yg lain..?

Demikianlah yang terjadi. Jika kita tidak cukup bijak dan berhati-hati dalam mengurus diri-sendiri, kita juga mungkin akan tercampak ke dalam jurang pengampuan dan penjilatan yang cukup mengerikan. Dan kita akan cepat berdebat serta menegakkan benang basah masing-masing: "...demi survival. Demi hidup..!" Walhal, memang seronok untuk jadi pengampu. Banyak faedah dan keuntungannya!

Sejarah telah menceritakan bagaimana Raja Mandeliar serta pecacainya Si Kitol mengampu para aristokrat kesultanan Melaka yang berakhir dengan pembunuhan Bendahara Tun Mutakhir sekeluarga. Hanya Tun Fatimah yang terselamat, lantaran mahu diperisterikan oleh sultan. Gambaran pembunuhan berprofil tinggi ini cukup menyayat hati lantaran ia merupakan permulaan kepada keruntuhan empayar Melaka pada keseluruhannya. Bendahara atau Perdana Menteri yang menggantikan Tun Mutakhir tidak cekap untuk menangani isu-isu dalam yang terlalu korup selain dari isu-isu serangan tentera Portugis yang silih berganti.

Portugis yang datang dengan persenjataan modern dan terkini (di zaman itu) pada peringkat awalnya berjaya dipatahkan. Namun kepupusan nilai patriotism dikalangan rakyat Melaka serta kebencian mereka yang lama terpendam terhadap kezaliman raja-rajanya akhirnya terbayar dengan cara memberi sokongan serta informasi kepada pihak penjajah. Akhirnya, empayar Melaka berkubur dalam teks Sejarah Melayu. Demikianlah bahayanya pengampu.

Namun hari ini bukan sekadar gelagat pengampuan dan penjilatan. Malah ia lebih para dari itu. Materialisme sudahpun menjadi pegangan hidup sesetengah golongan. Kronisme yang diburukkan oleh nepotisme telah melahirkan pemikiran yang terlalu taksub, despotik dan fanatik terhadap keduniaan. Dan ini memperlengkapkan pakej individu sebagai ahli barisan pengampu yang cukup berkaliber dan berpengaruh. Soalnya, jika pemerintah tidak cukup pandai menyaring barisan pemuka-pemukanya untuk menerajui wilayah, negeri mahupun negara, maka golongan pengampu ini bakal memenuhi rongga keahlian dalam jemaah exco wilayah, negeri atau negara.

Keadaan ini bukan sekadar mengundang bencana, malah lebih dari itu. Kalaulah sip egampu ini berkelayakan dan berkepakaran dalam pentadbiran awam, mungkin balanya dapat diminimakan. Tetapi jika beliau hadir dari kalangan pengampu dan penjilat kelas satu yang hanya berlagak pandai, nantikanlah balak yang bakal menimpa masyarakat yang diperintahnya.

Machiavelli dalam suratnya kepada pemerintah Itali di zaman beliau pernah mengingatkan raja tentang bahaya jika salah pilih menteri. Yang beliau maksudkan ialah para pengampu yang memenuhi ruang istana, yang lebih suka mengurus diri sendiri dan gemar berselindung diri hingga sukar untuk mereka untuk tidak terjerumus dalam skandal. Dan andainya jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan menerima tamparan atau risiko dipermalukan.

Lantaran itu beliau mencadangkan agar raja perlu pragmatik dengan memilih jalan tengah. Seorang raja atau pemerintah yang pintar akan melantik tokoh-tokoh yang bijaksana untuk mentadbirurus pemerintahan dan akan menentukan hanya mereka sahaja yang boleh memberi pendapat dalam hal-hal yang diizinkan. Dalam pada itu, raja perlu responsif, terperinci dan menjadi pendengar yang baik dan teliti sebelum membuat sesuatu keputusan.

Menurut Machiavelli, raja harus menampilkan suatu sikap yang boleh mendorong dewan penasihat serta setiap individu penasihatnya tergalak untuk bersikap lebih terbuka, bebas bersuara serta berbahas dan punya rasa yakin untuk tunduk kepada pengaruh raja. Namun begitu, sebagai seorang chauvinis politik, maka Machiavelli tidak dapat lari dari mengetengahkan sokongan terhadap feudalisme dan monarki tulin yang sedia mengalir dalam dirinya.

Mungkin apa yang diketengahkan oleh Machiavelli itu hanya pendapat peribadi beliau. Namun ada asasnya. Sebagai orang yang pernah menjawat pegawai tinggi dalam pemerintahan negara, beliau menggunakan pengalaman serta pengetahuannya itu untuk faedah kerajaan yang wujud pada ketika itu. Jadi, terpulanglah kepada mereka - mahu mendengar atau cuma memekakkan telinga. Tetapi jika para pengampu dibiarkan bermaharajalela di singgahsana, rajalah yang bakal menanggung azab, selain dari rakyat yang bakal menjadi korban.

Dalam senario hari, para pengampu lebih berbisa berbanding di zaman feudal. Mereka membina sesawang pengaruh yang terlalu kental untuk dicantas. Dengan membabitkan tokoh-tokoh utama dalam politik dan merangkul leher tokoh-tokoh korporat dalam persekongkolan mereka, gabungan ini menjadi terlalu mantap untuk dicabar. Dan, perhubungan akrab dengan kerabat-kerabat berdarjat brahma melengkapkan persekongkolan ini selengkapnya hingga sukar diburaikan.

Pengampu atau "anjing pecacai" inilah yang seringkali merosakkan keharmonian dalam sesuatu organisasi. Dengan nilai-nilai hipokrasi, nepotisme, kronisme, korupsi, ultravirus serta rangkaian sesawang yang cukup luas dan lebar, tiada siapapun yang boleh selamat dari cengkamannya. Kecuali mereka yang benar-benar ikhlas dalam langkah dan perjuangannya.

Untuk membuktikan ini, cuba lihat berapa ramai pengampu-pengampu di keliling anda sekarang, terutama yang menyandang jawatan-jawatan penting. Cuba kaji perangai mereka dengan terperinci. Kaji latarbelakang mereka, termasuk "Resume" masing-masing. Selepas itu, buatlah kesimpulan sendiri. Adakah mereka cukup kompeten untuk menyandang jawatan-jawatan berkenaan. Adakah kelulusan, pengalaman dan kepakaran mereka itu relevan dengan status-quo mereka? Atau, selama ini mereka asyik mengampu dan berpolitik untuk naik ke atas?

Haruskah kita membiarkan para pengampu ini terus wujud dalam organisasi-organisasi dan jabatan di negara ini? Patutkah kita membiarkan "kaki-kaki kelentong" dan pembelit-pembelit besar ini terus hidup bernyawa? Bagai cacing-cacing pita yang menghisap darah sekandang khinzir? Wajarkah kita membiarkan diri dilayani serta diperbodohkan seperti itu? Sedang si pengampu dibiarkan membolot segala-galanya dari mukabumi ini?

Sebab itu, para pengampu perlu disingkirkan!

Jumaat, 19 Mac 2010

APABILA PARLIMEN JADI PENTAS BERTELAGAH

Dapatkah diterima akal kalau bilik darjah dijadikan tempat berperang mulut? Bukan sekadar berkelahi, malah pembabitan bahasa atau perkataan-perkataan lucah dan biadab. Mungkin masih boleh diterima akal jika sekolah terletak di hujung kampong atau dipinggir-pinggir hutan yang mungkin dikerumuni haiwan-haiwan liar dan buaya-buaya ganas. Tetapi bukan di kota atau di bandar, yang mana masyarakatnya dianggap lebih bertamadun, "exposed" kepada ilmu-ilmu maju, beretika serta bersopan santun.

Ini kalau kisah "budak-budak" di sekolah. Bagaimana kalau di Dewan Undangan Negeri (DUN)? Betapa lagi kalau di Parlimen, yang merupakan mercu serta tunggak kepada perancangan, perundangan, pentadbiran, pemerintahan serta "kelangsungan hidup" negara ini? Bagaimana kalau dewan-dewan yang mulia ini (samaada DUN atau Parlimen) dipenuhi oleh makhluk-makhluk yang terencat akal atau cacat akhlak? Apakah kesudahannya bagi negara ini? Mampukah kita kekal untuk seabad-dua lagi? Cuba fikirkan.

Saya ingin bertanya: Apa itu Parlimen? Apa yang sewajarnya dilakukan didalamnya? Siapakah yang berhak menjadi ahli-ahlinya? Apakah yang wajar dibincang serta dirumuskan demi kemaslahatan rakyat? Dan, apakah nilai akhlak yang wajar diterampilkan didalam dewan yang mulia itu walaupun mungkin dahulunya (sebelum ceburi politik..) mereka pernah menjadi perompak, penyamun, penipu, pembelit, perogol, penyeludup, pembuli, penagih dadah atau bapak ayam. Para pengundi mungkin telah "mengampuni serta melupakan" segala rekod kesilapan-kesilapan lampau wakil masing-masing.

Wakil-wakil yang dipilih dianggap sebagai terbaik dari yang terbaik. Mereka inilah "role model", tempat sandaran serta gantungan harapan cita-cita kemajuan, kebajikan, keadilan serta kesejahteraan rakyat. Impian-impian ini adalah terlalu murni untuk dicemarkan. Namun begitu, melihat kepada ragam serta gelagat yang dipamerkan oleh wakil-wakil ini, mungkin tidak keterlaluan jika disimpulkan bahawa rakyat mungkin telah tersalah pilih.

Atau, mungkinkah mereka tiada banyak pilihan? Lantaran tiada undang-undang yang mewajibkan calon-calon mengemukakan "curriculum vitae" lengkap merangkumi rekod terperinci jumlah aset, harta karun, jumlah isteri, jumlah anak, jumlah jenayah dan apa-apa sahaja yang para pengundi/masyarakat perlu tahu. Perlembagaan tidak menetapkan ketelusan dan kemurnian akhlak sebagai unsur utama untuk menjadi calon pilihanraya, ahli parlimen atau ADUN. Sesiapapun boleh asalkan mereka bertaraf warganegara dan bebas dari penjara. Mudah, bukan?

Kita sewajarnya bersikap lebih serius dan tegar terhadap perilaku orang-orang yang kita pilih sebagai wakil samaada di DUN atau di Parlimen. Lantaran kelak kita akan turut disoal di dalam kubur atau di kemudian hari kelak mengapa memilih makhluk yang tidak layak (disqualified) dan tidak berkelayakan untuk memimpin negeri atau negara bertuah ini. Ini bukan soal main-main. Melantik pemimpin (walau dimana-mana tahap atau untuk apa-apa perjawatan dan dimana-mana lokasi sekalipun) bukan isu remeh-temeh atau tangkap-muat seperti mencuri telur ayam atau merompak getah sekerap. Sekali lagi ingin ditegaskan, ia soal survival bangsa, agama dan negara.

Tetapi apakah kesudahannya jika gelagat buruk dan tidak terpuji amalan barat dan sesetengah negara timur menjadi model kita di Parlimen? Kita faham bahawa bukan semua wakil-wakil yang dipilih ke Parlimen atau ke DUN berkelulusan tinggi. Dan, kita juga tidak perlu risau jika mereka berasal dari penjual burger, penoreh getah, peniaga pakaian bundle atau pencuci tandas sebelum mengambil keputusan mencuba nasib dalam "perniagaan politik" (political business). Tetapi yang perlu diperhatikan ialah nilai moral, integriti, etika serta matlamat asasi mengapa mereka mahu menjadi wakil kita di Dewan Rakyat atau Dewan Negeri. Adakah kerana wang ringgit dan habuan yang menanti atau kerana benar-benar hendak berbakti kepada kita?

Ini mesti disoal. Jangan sekali-kali meremehkan perkara ini. Jangan sampai kita diperbodoh-bodohkan seperti Pak Pandir dan Lebai Malang yang tergadai di buminya sendiri. Jadi, wajarkah anda membenarkan wakil-wakil anda bertelagah dan bermaki-hamun di dewan-dewan mulia berkenaan seperti mat rempit atau samseng jalanan yang terencat akal atau terencat pendidikan? Fikirkanlah. Kita yang memilih mereka (dengan niat yang suci serta harapan yang menggunung tinggi). Tetapi, inikah "balasan" atau "habuan" yang diberi setelah segala mandat dan angan-angan diserahkan kepada "kacang-kacang yang cepat lupakan kulit" ini? Namun kita masih enggan berpijak di bumi nyata malah masih gemar mengampu orang yang sepatutnya menjadi "kuli" kita?






Selasa, 19 Januari 2010

APABILA SURATKABAR JADI PROPAGANDA

Apa nak jadi kalau suratkabar menjadi alat propaganda dan indoktrinasi politik? Sepanjang hari apabila menatap samaada sukarkabar versi perdana atau tabloid, akal fikiran kita akan cuba disumbati agenda-agenda politik yang pelbagai. Para broker politik seolah-olah menjadikan otak-otak si pembaca suratkabar bagai "taufu sumbat" yang dipaliti dengan cili sos dari negeri Siam. Maka jadilah mentaliti mereka itu bagai taufu sumbat yang padat dengan taugeh rendam, sos pedas dan timun dihiris lencung. Enak dimakan, tetapi belum pasti berapa lama arsenite dan pengawet beracun yang terkandung dalam timun lencung, taugeh, sos dan taufu itu akan membaham nyawa si pemakannya.
Sewaktu di sekolah menengah dahulu guru sering mengingatkan saya untuk membaca suratkabar. Matlamat utama ialah untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu?) dan memantapkan ilmu dalam konteks pengetahuan umum. Atas nasihat itu, saya menganggap akbar sebagai bahan bacaan yang penting dan terhormat. Tidak terlintas untuk memikirkan selain dari itu. Barangkali mungkin kerana itulah agaknya maka (tidak hairanlah jika) ada makhluk yang sanggup membelek suratkabar hingga berjam-jam lamanya di warong-warong kopi. Hinggakan iklan-iklan kecil dan besar habis dibacai dan dihafali.

Saya juga terdorong untuk membaca karya-karya sastera yang banyak dipaparkan oleh akbar-akbar Melayu pada ketika itu. Shahnon Ahmad, Keris Mas, Arenawati masih lagi aktif berkarya, selain dari tokoh-tokoh baru seperti Anwar Ridhwan, Muhammad Hj Salleh dan ramai lagi. Mungkin kerana itu agaknya saya boleh memahami pelbagai genre sastera termasuk karya-karya klasik. Dan penguasaan saya dalam "Bahasa Melayu" pun masih boleh bertahan hingga sekarang meskipun cuma dapat C3 untuk subjek Bahasa Malaysia untuk MCE dan Principal "C" waktu ambil STPM. Suratkabar jadi sandaran utama lantaran ketiadaan teks-teks "Contoh Jawapan" sebagaimana sekarang. Tambahan, akbar-akbar di zaman itu tidak banyak memaparkan isu-isu kalut yang memeningkan seperti kecamuk politik atau ideologi berbanding sekarang. Zaman itu tidak banyak kontroversi berlegar disekitar politik dalaman dan luaran selain dari penentangan keras ke atas ideologi komunisme, sosialisme dan entah apa "isme-isme" yang lain.

Saya masih ingat ketika "Tiga Dollah" di sumbat ke Kem Kamunting (dibawah ISA) kerana disyaki terbabit dalam gerakan subversif di era Tun Razak. Ia dianggap sebagai suatu berita yang menggegar minda masyarakat di ketika itu lantaran ketiga-tiga manusia ini merupakan pejuang-pejuang kemerdekaan serta tokoh yang cukup berpengaruh dalam arus perdana politik negara di era tersebut. Mereka disyaki terbabit dalam gerakan sosialisme komunisme "bawah tanah" (underground?). Tidak cukup dengan itu, mereka juga dipaksa untuk membuat pengakuan langsung melalui kaca television hitam-putih pada ketika itu. Dan, saya terpaksa ke rumah abang ipar untuk menonton pengakuan khas itu lantaran tidak mampu membeli suratkabar secara tetap.

Tetapi senario kini sudah jauh berbeza. Harga suratkabar sudah meningkat walaupun masih boleh dianggap rendah. Malangnya, kualiti inipatinya merosot dan terus merosot seiring dengan peredaran waktu. Ia digantikan oleh perkara-perkara yang tidak bermutu, tidak konsisten dengan kehendak masyarakat dan kadangkala langsung tidak relevan untuk dikabarkan kepada umum. Terkadang amat menjijikkan untuk ditatap. Dan terkadang lagi, ia dipenuhi jaringan perangkap. Agenda demi agenda yang dibentangkan secara implisit, eksplisit atau diselitkan di pelbagai sudut ialah untuk memerangkap minda pembaca. Ini diburukkan lagi dengan bangkitnya Internet sebagai gergasi maklumat yang cukup dominan sekarang. Implikasinya, suratkabar menjadi bahan tatapan "berpengutamaan rendah" (low priority).

Mungkin orang-orang kampong masih setia kepada suratkabar. Manakala orang-orang bandar hanya berminat untuk menatap berita saham jatuh, harga minyak turun-naik, artis mana yang bercerai-berai, politikus mana yang kawin di Siam atau pasang satu lagi, atau pasukan mana yang menang bola malam tadi. Mereka hanya ada masa selama 15-20 minit untuk "glance through" suratkabar yang dibeli dengan harga tak lebih RM1.50 itu. Inilah gambaran sekarang. Lantaran akbar sudah kehilangan dominasi dan taringnya dalam penyebaran berita dan maklumat, maka ia terdedah kepada kemungkinan menjadi rangkaian alat-alat perlumbaan politik.

Mengambil peluang keadaan masyarakat yang masih rendah dalam akses kepada kemudahan siber, maka akbar masih relevan untuk tujuan politik. Memang sukar dinafikan hakikat ini. Suratkabar arus perdana atau tabloid, kedua-duanya sama sahaja. Bedanya terletak pada SIAPA yang mengeluarkan akbar-akbar tersebut. Kalau parti politik atau organisasi-organisasi yang ada saham atau ada "bau-bau stokin" dengan politik, memang SAH - ia akan menjadi platform utama dalam menjuarai propaganda para politikus serta kuncu-kuncu dan para pecacai-nya. Seolah-olah para pengarang serta sidang wartawannya sudah kebankrupan modal. Dan seolah-olah mereka sudah buta terhadap peranan dan tanggungjawab kewartawanan. Berita dan ulasan-ulasan yang diterbitkan bukan lagi berasaskan sumber prima sebaliknya sekunder. Hinggakan tulisan berbahasa tunggang-langgang si blogger-blogger picisan dan biadab habis di plagiat dan dicetak ke dalam akbar-akbar masing-masing.

Dalam ertikata lain mereka hanya membaca blog dan seterusnya mengulas apa yang ditulis oleh blogger-blogger berkenaan. Tidak lagi seperti dulu dimana mereka menyerbu ke sumber-sumber berita yang asasi demi memperolehi maklumat sebenar dan mutakhir - sebagaimana kelkatu menyerbu lampu neon di waktu malam kerana terpikat dengan kilauan cahayanya. Jadi, kerja sesetengah wartawan hari ini ialah terpelesok di bilik berhawa dingin melihat blog dan seterusnya mengarang ulasan dangkal tanpa dokongan kajian. Tidak perlu lagi berpanas, berhujan atau mencurah keringat hangit untuk memperoleh maklumat.

Lebih kotor dan memalukan lagi jika maklumat diperoleh melalui SMS, Internet atau sumber-sumber yang ditulis oleh si-"golongan ingusan" yang langsung tidak berotoriti. Tetapi, inikah "standard" yang cuba diketengahkan sekarang? Selain dari diselangselikan dengan kisah-kisah artis yang sengaja dikontroversikan (sebagai pelaris suratkabar) dan adegan-adegan sukan yang tidak habis-habis dengan isu politik dalaman (untuk memanaskan keadaan), topik-topik yang "redundant" dan "berkarat" bertompok-tompok disana-sini agar pembaca akan terus merengkuk dalam kecelaruan.

Demikianlah buruknya mutu piawai akbar-akbar tertentu yang bertebaran pada hari ini. Jika tidak kerana adanya berita-berita selingan seperti sukan, berita niaga, bencana alam, ehwal antarabangsa serta iklan, maka akbar tidak lebih dari lidah-lidah buaya yang memperalatkannya untuk kepentingan politik sempit. Dalam ertikata lain, punca kerendahan mutu suratkabar-suratkabar hari ini tidak lain dari "mental block" yang dialami oleh para "penguasa" akbar-akbar ini. Hinggakan yang tersedia buta menjadi bertambah buta dan tuli. Dan yang baru belajar untuk menjadi kelabu-asap terus menjadi rabun ayam di waktu malam.

Demikianlah buruknya bahana kalau masyarakat tidak lebih berhati-hati dalam membelek suratkabar harian. Lambat-laun mereka juga akan berubah menjadi tidak berhati-perut seperti singa yang kelaparan. Awasi serta berhati-hatilah apabila memegang suratkabar. Pastikan anda memasang "mode" tapisan intelektual pada tahap paling wajar (kalau bukan yang terbaik). Jika tidak, anda pasti kecundang di tengah jalan lantaran kebodohan sendiri. Anda mungkin menjadi "ahli fitnah" sebagai "ahli-ahli fitnah" yang lain. Sanggupkah anda memamah daging saudara anda sendiri? Singa yang kebuluran sekalipun tidak tergamak memakan daging bangsanya sendiri. Kalau tidak percaya, buatlah kajian!

Rabu, 6 Januari 2010

HAK ASASI DALAM AMALAN DEMOKRASI NEGARA

PENGERTIAN DEMOKRASI

Demokrasi berasal dari perkataan Yunani iaitu Demos (bermaksud rakyat) dan kratein (bermaksud memerintah). Oleh itu demokrasi bermakna rakyat memerintah. Kamus Oxford mentakrifkan demokrasi sebagai sebuah negara yang diperintah oleh rakyat atau wakil yang dilantik[i]. Disamping itu, unsur-unsur utama dalam sebuah demokrasi ialah kebebasan berpolitik, hak menubuhkan persatuan, hak bersuara, hak beragama dan berpolitik, hak golongan majoriti dalam proses membuat keputusan dan hak golongan minoriti menentukan kehidupan mereka[ii].

Abe Lincoln (1931) pula mendefinisikan demokrasi sebagai "a people's government, a government by the people, for the people." Profesor Carl Cohen dari University of Michigan melalui bukunya Democracy (1971) mentafsir demokrasi sebagai satu bentuk kerajaan komuniti yang mana warganya boleh terlibat secara sama rata dan saksama dalam menentukan keputusan-keputusan yang mempunyai implikasi langsung kepada rakyat.

Ringkasnya, demokrasi ialah suatu bentuk pemerintahan dalam mana setiap warganegaranya mempunyai hak untuk membentuk kerajaan dan memerintah negara samada secara langsung atau melalui pemberian mandat kepada wakil-wakil rakyat, rakyat mempunyai hak untuk membentuk pertubuhan-pertubuhan, hak untuk menyuarakan pendapat politik mahupun sosio-ekonomi, hak beragama dan hak golongan minoriti untuk hidup bebas sebagaimana yang dikecapi oleh golongan majoriti.

DIMENSI DAN PERSPEKTIF DEMOKRASI

Walaupun pada awalnya demokrasi bukan sejenis pemerintahan yang popular dalam sejarah dunia tetapi akhir-akhir ini pemerintahan berbentuk demokrasi dianggap paling dominan. Terdapat tiga klasifikasi atau perspektif utama demokrasi yang wujud ialah Natural Rights Democracy, Democratic Liberalism dan Contemporary Democracy [iii] . Natural Rights Democracy merupakan asas kepada demokrasi yang menjadi amalan hari ini. Teori awal ini diambil dari undang-undang alami (law of nature) yang telah diletakkan oleh Tuhan dimana semua manusia dianggap sebagai warga alam semesta.

Wujud satu kod semesta yang menegakkan hak dan kebenaran dalam konteks ini. Dalam Kod kebenaran ini, semua insan mempunyai hak yang sama untuk bebas dan terlibat dalam proses pemerintahan negara. Sebenarnya idea ini pernah diketengahkan oleh John Locke (1632-1704) melalui tulisannya, Second Treatise of Government.

Walaubagaimanapun, idea awal ini berubah kepada apa yang dikenali sebagai Democratic Liberalism pada abad ke-19 apabila sistem demokrasi mula mendapat tempat dalam komuniti kebanyakan masyarakat Eropah dan Amerika Utara. Teori ini berpendapat bahawa demokrasi hendaklah berasaskan kepada konsep untuk mencapai kegembiraan manusia atau kebaikan mutlak untuk jumlah terbesar: the greatest good for the greatest number. Ini secara tidak langsung bermaksud golongan minoriti akan terpinggir dalam arus politik negara.

Selain itu, wujud pendapat yang menyokong idea Natural Rights Democracy iaitu manusia harus bebas dan sama rata. Walaubagaimanapun, konsep ini menolak kepentingan ketuhanan dan kuasa alam semata. Mereka berpendapat bahawa elemen bebas dan sama rata ini sudah cukup untuk menjadi asas kepada satu masyarakat yang diimpikan oleh semua.

Seperti teori awal demokrasi, teori Democratic Liberalism juga mengalami proses evolusi. Di akhir abad ke-19 dan awal ke-20, ahli demokrat liberal mengakui perlunya keadaan kebebasan positif dan negatif. Ruang lingkup kebebasan individu itu adalah mutlak dan peribadi. Walaubagaimanapun, perlu diadakan ruang lingkup yang boleh 'dicerobohi' atau campur tangan kerajaan demi melindungi orangramai seperti mewujudkan prasarana asas umpama sekolah, industri, kebajikan sosial dan lain-lain. Namun demikian, timbul pula persoalan sejauh manakan kerajaan boleh campur tangan dalam urusan-urusan ini.

Teori kontemporari memperlihatkan wujudnya dua mazhab di bawah teori Contemporary Democracy iaitu democratic capitalism dan democratic socialist. Democratic capitalism bersandarkan kepada prinsip-prinsip yang memperakui campur tangan pemerintah dalam aspek ekonomi tetapi memberi penekanan penting terhadap kebebasan individu dalam aktiviti ekonomi atau persyarikatan sebagaimana hujah Burke dan Bentham.

Democratic sosialism pula menitikberatkan perubahan radikal struktur masyarakat dan menekankan perlunya pengawalan komuniti yang lebih daripada keadaan lazim serta kerjasama dalam mencapai objektif ekonomi yang sama. Ini merupakan teori Hobhouse dan Dewey. Kedua-dua teori ini mengekalkan komitmen dalam menyokong idea-idea asas demokrasi dan prosedur-prosedur di dalamnya.

KONSEP KEBEBASAN BERSUARA

Kebebasan bersuara bermaksud bebas untuk menyuarakan apa sahaja pendapat, samada melalui lisan mahupun tulisan. Dalam konteks Malaysia, ia merupakan salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan negara seperti yang termaktub dalam Fasal 10, Perlembagaan Malaysia[iv]. Walaupun begitu, ini bukan bermaksud rakyat boleh bertindak secara anarkis tanpa mematuhi undang-undang. Orangramai juga perlu menjaga sensitiviti terutamanya persoalan hak istimewa Melayu, kerakyatan jus soli, ketuanan Melayu dan isu-isu keagamaan. Isu-isu ini amat sensitif dan mudah mencetuskan konflik perkauman. Lantaran itu Akta Hasutan[v] telah digubal bertujuan untuk mencegah orangramai dari mempermain-mainkan isu-isu racism dan isu-isu yang dinyatakan tadi.

Dalam batas-batas yang diterima sebagai satu konvensyen, hak bersuara merupakan saluran bagi seseorang menyampai dan menerima maklumat bagi pembangunan dan kebaikan semua pihak. Perkembangan dan kemajuan intelek rakyat di negara-negara yang menghormati hak bersuara ini jelas dapat dilihat di negara maju sementara negara yang menghadkan kebebasan bersuara ternyata mundur dari segi perkembangan minda rakyatnya.

Dalam konteks Malaysia, kebebasan bersuara telah dinikmati sejak merdeka dalam tingkat kebebasan yang berbeda-beda bermula dari zaman pemerintahan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman hingga sekarang. Ringkasnya, hubungan antara demokrasi dan hak bersuara masih relevan. Walaupun semakin terbatas, hak bersuara masih terpelihara di bawah Perlembagaan negara dan Parlimen tidak boleh sesuka hati membatalkan atau meminda sesuatu undang-undang berhubung hak ini.

KEBEBASAN MENGUNDI

Undi adalah penentu siapa yang nantinya layak untuk di lantik dan diberi mandat untuk mewakili rakyat bagi sesuatu kawasan konstituensi. Lantaran itu proses pengundian perlu dilaksanakan secara adil, bebas, saksama serta tanpa sebarang desakan fizikal mahupun tekanan emosi dari mana-mana pihak. Oleh itu proses pengaruh-mempengaruhi dari mana-mana pihak yang berkepentingan tidak sepatutnya timbul dalam proses ini.

CORAK DEMOKRASI AMALAN MALAYSIA

Malaysia mengamalkan konsep Demokrasi Berparlimen [vi] di mana Parlimen merupakan badan legislatif yang berkuasa dalam menggubal rang undang-undang negara. Selain itu Parlimen merupakan tempat utama dimana proses-proses seperti membuat undang-undang, akta, mengawal dan mengawasi perbelanjaan am kerajaan ditentukan.

Walaubagaimanapun, hak-hak rakyat terpelihara di bawah Perlembagaan Negara dan Parlimen tidak boleh sesuka hati membatalkan sesuatu undang-undang seperti yang dilakukan oleh Parlimen Britain. Ini adalah kerana Parlimen Malaysia memperolehi peruntukan kuasa dari Perlembagaan[vii]. Dengan ini, hak-hak dan undang-undang yang termaktub dalam Perlembangan adalah terjamin.

Walaubagaimanapun, adakah negara telah benar-benar mengamalkan konsep demokrasi sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara democratic capitalism barat? Yang nyata, Malaysia telah mengamalkan konsep-konsep berikut:

· Negara mengamalkan corak demokrasi berparlimen di mana Parlimen merupakan badan yang amat berkuasa di dalam negara dan mampu melakukan perkara-perkara seperti membuat undang-undang atau akta, mengawal dan mengawasi perbelanjaan am kerajaan.

· Demokrasi berparlimen wujud di negara ini apabila kerajaan yang memerintah dipilih melalui sistem pilihanraya. Dalam konteks Malaysia, ia dijalankan pada setiap lima tahun berpandukan ketetapan dalam perlembagaan. Oleh itu Perlembagaan merupakan tonggak kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Struktur Parlimen merangkumi Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

· Maksud Raja Berperlembagaan ialah Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu secara bergilir-gilir untuk terma lima tahun sahaja. Yang DiPertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

· Demokrasi di Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk memilih wakil dalam membentuk pemerintah disamping menuntut hak-hak rakyat dari segi politik, sosial dan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan.

Ringkasnya, berdasarkan kepada contoh tadi ialah demokrasi di negara adalah demokrasi terkawal atau demokrasi terbatas tetapi kawalan itu wujud untuk melindungi kedudukan dan kepentingan umum yang lebih besar jumlahnya, sama seperti konsep dalam Democratic Liberalism - the greatest good for the greatest number.

KEBEBASAN BERSUARA DI MALAYSIA

Dalam masyarakat yang telah mencapai kematangan demokrasi yang agak tinggi, tulisan yang kritis lagi mencabar minda sentiasa digalakkan dan menghiasi halaman akhbar dan majalah atau ruang TV dan radio. Malah, dalam kebanyakan akhbar yang berwibawa, satu halaman besar dikhaskan untuk para pembaca yang prihatin dan berminat meluahkan pandangan mereka mengenai satu-satu isu, pro dan kontranya. Ini selain daripada media itu berbuat laporan yang seadil mungkin.

Melalui pendekatan demokratik, wacana politik boleh dipertingkatkan supaya warga masyarakat yang berkenaan dapat mengetengahkan isu-isu yang luas dan lebih pokok dan membincangkannya secara terperinci. Inilah juga cara untuk mengangkat martabat politik dan budaya intelek tanah air ke peringkat yang boleh dibanggakan.

Ini bukanlah bermakna rintihan rakyat, misalnya, mengenai longkang yang tersumbat, atau lampu jalan tidak bernyala tidak mempunyai tempat dalam wacana media ini. Tetapi cara rintihan ini dipersembahkan oleh media arus utama (mainstream) di negara kita kadangkala membayangkan usaha untuk menjauhkan rakyat dari perkara yang lebih pokok lagi. Maksudnya, sampah yang terbiar itu, misalnya, mungkin ada kaitannya dengan dasar baru pemerintah tertentu, tetapi gambaran luas ini tidak disediakan kepada khalayak ramai untuk pengetahuan dan pemahaman mereka yang menyeluruh dan mendalam.

Walaupun diberi hak kebebasan bersuara oleh Perlembagaan, ia bukan bermaksud rakyat boleh melakukan sesuatu sesuka hati dan bertindak secara tidak rasional. Sebagai contoh, penyuaraan pendapat adalah dibenarkan dalam negara kita tetapi jika pendapat yang dikeluarkan adalah berbentuk hasutan dan boleh mengancam kestabilan negara maka beliau boleh di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA - Internal Security Act)[viii] dan kebebasan hak bersuara beliau telah menjadi void kerana tindakannya itu.

KESIMPULAN

Untuk mendapatkan suasana intelek yang positif ini, pembaca dan penulis serta warga negara lain memerlukan keadaan di mana perasaan takut atau malu tidak boleh membelenggu mereka. Malah mereka harus berasa yakin dan bangga dengan pandangan yang diluahkan dalam media arus utama. Walaubagaimanapun, unsur-unsur anarkis mungkin sukar di terima. Kesimpulannya, bolehlah kita katakan bahawa Malaysia masih mengamalkan konsep demokrasi dengan mengasaskan kepada konsep demokrasi berparlimen. Selain itu, orangramai masih bebas bersuara walaupun peluang untuk menyuarakan sesuatu itu kian terbatas lantaran pelbagai peraturan-peraturan baru yang dikeluarkan oleh pemerintah dari semasa ke semasa.
Nota Akhir:


[i] Oxford Dictionary, Oxford University Press, 1981, pg 337.
[ii] Ibid,.
[iii] K.Ramanathan, Asas Sains Politik, Penerbitan Fajar Bakti, 1987, ms 337.
[iv] Perlembagaan Malaysia, Malaysia Law Publisher, 1992, ms 5.
[v] Akta Hasutan, Malaysia Law Publisher, 1987, ms 24.
[vi] Op cit, ms 26.
[vii] Op cit, ms 27.
[viii] Internal Security Act, Malaysia Law Publisher, 1994, ms 11.

PRU 14: PERLUNYA REFORMASI DALAM POLITIK NEGARA

INTRODUKSI (Nota ini telah siap ditulis pada 15 Mac 2016 jam 1520 ptg) Apabila Tanah Melayu dibebaskan oleh penjajah British pada tahun ...